BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, September 23, 2013

DEQWAN BURGER- SENAWANG, N.SEMBILAN


MOHD. Razuan Abd. Rashid menunjukkan antara hidangan burger bakar yang dijual 
di premisnya di Jalan Seri Pagi 7, Taman Seri Pagi, Senawang, Seremban.

APABILA menyebut mengenai burger bakar sudah pastinya ramai di antara kita yang sudah terbayang keenakkan rasanya ketika masih panas.
Bagi penulis pula yang dikategorikan sebagai penggemar daging tegar pula melihat kehadiran menu ini sebagai satu ‘hadiah’ terbaik apatah lagi kedai seumpamanya kini mula menawarkan menu ini kepada orang ramai.
Begitupun bagi pengamatan penulis yang mempunyai cita rasa yang cukup tinggi untuk makanan berasaskan daging ini, aspek wajib ada dalam sesuatu hidangan adalah dari segi tekstur kerana gah mana nama menu tetapi tanpa elemen berkenaan, ianya tidak mempunyai sebarang makna.
Bagaimanapun selera penulis dicuit dengan hidangan burger bakar di Deqwan Burger, bukan sahaja menepati cita rasa malah ia agak unik dengan menawarkan pelbagai jenis burger bakar.
Bertepatan dengan tagline “Makan, Minum, Lepak, Surfing, Gelak dan Sembang" premis terbuka ini terletak di No. 244 Jalan Seri Pagi 7, Taman Seri Pagi, Senawang, Seremban.

PENGUNJUNG boleh menikmati burger bakar Deqwan sama ada dengan rendaman 
sup cendawan ataupun sos lada hitam.

Dengan menawarkan lebih 49 hidangan pelbagai saiz dan lebih 40 minuman, pengunjung boleh menikmatinya dengan harga yang berpatutan.
Pemiliknya, Mohd. Razuan Abd. Rashid, memberitahu, restoran itu dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 2 pagi.
Jelasnya, antara hidangan burger bakar yang ditawarkan termasuklah, ayam, daging lembu, kambing dan juga rusa pelbagai saiz dari pati 100 gram sehinggalah 1 kilogram dengan harga antara RM 5 hinggalah RM 200.
‘‘Antara saiz yang ditawarkan saiz biasa seberat 100 gram, king 200 gram, kingkong 500 gram dan gergasi seberat 1 kilogram yang mana mereka boleh memilih sama ada mereka mahukan rendaman sup cendawan ataupun sos lada hitam bagi mereka yang mahukan kepedasan.
‘‘Malah kita juga menawarkan roti arang (charcoal bread) yang berwarna hitam bagi mereka yang merasai kelainan kerana kita mahu memberi sedikit kelainan dari roti konvensional," katanya ketika di temui di sini baru-baru ini.
Kata Mohd. Razuan lagi, saiz yang ditawarkan membolehkan pengunjung merasai kepelbagaian saiz mengikut kemampuan selera mereka.
Malah Mohd. Razuan memberitahu, kedainya juga turut menawarkan kemudahan tempahan.
Ditanya mengenai maklum balas, Mohd. Razuan menjelaskan sambutan yang diterima cukup menggalakkan.
‘‘Sebelum ini juga kami telah menganjurkan pertandingan Man VS 2 Kilogram Burger pada Jun lalu yang mana menarik perhatian ramai pelanggan yang mencuba nasib dengan burger gergasi kami.
‘‘Malah kita juga telah membuka beberapa cawangan di beberapa lokasi anatarnya di Bahau selain cawangan yang akan dibuka di Port Dickson tidak lama lagi," katanya.
Bagi pelanggan yang berminat untuk menempah atau mencuba kelainan boleh menghubungi Deqwan Burger di talian 0192467059 dan 0136861660 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

BATH SALTS DADAH PALING BAHAYA


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi kemasukan dadah ke negara ini termasuk dadah terbaharu dikenali sebagai Bath Salts (Garam Mandi) yang dikategorikan sebagai dadah paling bahaya di Amerika Syarikat, Britian dan Eropah kerana boleh merangsang penagih menjadi zombie.
Dadah sintetik dinamakan sempena garam yang digunakan dalam mandian itu bertindak merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah selsius (107 Fahrenheit).
Keadaan itu menjadi punca halusinasi dan perlakuan ganas yang ekstrem menyebabkan penagih yang mengambil dadah ini hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh dan memakan daging manusia atau menyakiti mangsa sampai mati.
Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, beban dihadapi oleh PDRM dalam menangani masalah dadah kini berganda apabila terpaksa berhadapan dengan ancaman dadah tradisional dan moden.
Beliau berkata, dadah terdapat dalam pasaran di negara ini terdiri daripada dadah tradisional seperti heroin dan ganja serta dadah moden jenis sintetik seperti pil psikotropik dan Eramin 5.
“Bagaimanapun di Amerika Syarikat, Britian dan Eropah sudah wujud kebimbangan penularan penggunaan dadah baharu dikenali sebagai Bath Salts yang dikatakan cukup bahaya kerana penagih boleh bertukar ganas sehingga sanggup memakan manusia.
“Perkara ini pernah dibincangkan dalam persidangan antarabangsa mengenai dadah yang dihadiri oleh saya di Vienna, Austria pada Mac lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Setakat ini menurut Jamaludin, PDRM belum mengesan penagih tempatan mengambil Bath Salts tetapi pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi mengelak dadah itu diseludup masuk dan menular penggunaannya di negara ini.
Beliau berkata, penggunaan apa sahaja jenis dadah terutama Bath Salts harus disekat kerana bahan haram itu memudaratkan masyarakat terutama generasi muda.
Katanya, keadaan membimbangkan kerana dadah sintetik yang suatu ketika dahulu dikategorikan hanya mampu ambil oleh golongan elit, sekarang mampu dibeli oleh semua penagih.
Sementara itu, pencarian maklumat di internet mendapati Bath Salts yang dihasilkan dengan kombinasi beberapa bahan kimia seperti ‘amphetamine’ terutama ‘mephedrone’, ‘MDPV’ dan ‘methylone’ mula diperkenalkan pada 2009 dan terus menular penggunaannya di Britian, Amerika Syarikat dan Eropah sehingga sekarang.
Siasatan akhbar tabloid The Sun di United Kingdom mendapati, dadah yang boleh dibeli melalui internet itu berjaya mempengaruhi penggunanya supaya memakan daging manusia.
Laporan akhbar itu menyatakan, bilangan panggilan ke Pusat Kawalan Racun Amerika Syarikat membabitkan kes dadah itu meningkat kepada 6,138 pada 2011 berbanding hanya 304 kes pada tahun sebelumnya menyebabkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Britian berusaha memberhentikan jualannya.
Kes pertama membabitkan penagih Bath Salts ialah seorang remaja Scotland, Alex Herriet, 19, yang maut selepas membeli dadah jenis itu dengan harga bersamaan RM50, manakala seorang lagi remaja perempuan, Katie Wilson, 19, bertindak membogelkan dirinya di Pasar Raya Tesco di United Kingdom sejurus selepas mengambil dadah itu.
Insiden paling sadis adalah serangan terhadap seorang lelaki gelandangan, Ronald Poppo, 65, yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana dimakan penyerang berbogel, Rudy Eugene, 33, yang mengambil dadah itu di Miami, Amerika Syarikat pada 29 Mei tahun lalu.
Polis terpaksa menembak mati Eugene di sebuah lebuh raya selepas dia tidak mengendahkan arahan anggota polis supaya berhenti menggigit wajah Poppo sebaliknya mendengus seperti haiwan liar dan akibat kejadian itu, Poppo menjadi separuh buta.
Seorang doktor yang berpengalaman selama lebih 30 tahun di bahagian kecemasan, Dr. James Wright memberitahu, Bath Salts adalah satu daripada 10 jenis dadah paling bahaya di dunia kerana pengambilan yang berlarutan selama beberapa jam akan mengakibatkan pengguna menjadi gila dengan 85 peratus akan pulih dalam tempoh 30 hari manakala 15 peratus lagi kekal gila sampai mati.

Thursday, September 19, 2013

PERLAKSANAAN HSR KL-SINGAPURA TEPAT PADA MASANYA

Alstom menawarkan kepakaran teknologi kereta api berkelajuan tinggi syarikatnya kepada Malaysia dan Singapura.

SINGAPURA 18 Sept. - Alstom, pemimpin global dalam penjanaan kuasa dan infrastruktur rel, menganggap keputusan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur, sebagai keputusan yang tepat oleh kedua-dua negara.
Dianggap oleh banyak pihak sebagai pembangunan strategik dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran, cadangan kereta api berkelajuan tinggi itu diumumkan pada Februari lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Projek itu yang jangka siap pada 2020, mampu memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit.
Dengan anggaran kos sebanyak AS$12 bilion (RM40 bilion), kereta api berkelajuan 330 kilometer (km) itu ternyata menarik minat pelbagai syarikat antarabangsa, termasuk dari China, Jepun, Perancis dan Sepanyol.
Projek ini juga menarik perhatian Wouter Van Wersch, Naib Presiden Kanan (Asia Timur dan Pasifik) Alstom, yang menyatakan jarak antara kedua-dua negara sangat sesuai untuk kereta api tersebut.
"Seperti yang ada ketahui, Alstom menduduki tempat nombor satu di dunia bagi kereta api berkelajuan tinggi. Oleh itu, ia merupakan peluang utama bagi kami.
"Sebagai sebuah industri, sudah pasti kami bersedia untuk menyokongnya. Kami menunggu pengumuman lanjut mengenai projek itu bagi mengetahui apa yang dapat kami tawarkan," katanya.
Beliau percaya Alstom merupakan rakan kongsi yang sesuai untuk projek kereta api ini berdasarkan pengalamannya dalam melaksanakan projek kereta api laju Seoul-Busan di Korea Selatan.
Alstom ialah perintis kereta api berkelajuan tinggi yang telah menetapkan rekod kelajuan dunia pada 574.8km/j pada tahun 2007

HAYATI KISAH KEMATIAN

Tiada apa yang dapat menghalang saat kematian itu tiba kerana ia adalah rahsia Allah SWT. - Gambar hiasan

SYEIKH Ali at-Tantawi, Mufti Mesir, dalam siaran radio dan televisyen menyatakan, bahawa di Syria ada kisah seorang lelaki yang mempunyai sebuah kenderaan yang mengangkut peti-peti untuk menguburkan mayat dan di dalam peti itu terdapatnya kain yang boleh digunakan pada waktu-waktu yang diperlukan. Ketika kenderaan besar itu digerakkan, tanpa dia ketahui bahawa ada orang di atas kenderaan tersebut.
Tiba-tiba hujan turun dan air mengalir deras. Orang itu pun bangun dan masuk ke dalam peti, dan membungkus dirinya dengan kain yang terdapat di dalamnya. Kemudian di pertengahan jalan, ada seorang yang lain naik untuk menumpang kenderaan itu di samping peti-peti keranda itu. Dia tidak mengetahui bahawa di dalam peti itu ada orang hidup di dalamnya.
Pada saat itu hujan masih belum berhenti. Orang yang kedua ini menyangka yang diri seorang sahaja. Tiba-tiba dari dalam peti ada tangan terjulur keluar dengan tujuan untuk memastikan sama ada hujan masih turun ataupun sudah berhenti.
Ketika tangan itu terjulur, kain yang membungkus orang itu juga ikut terkeluar sama. Si penumpang itu terkejut dan takut bukan kepalang. Dia menyangkakan bahawa ada mayat yang hidup semula. Dek kerana ketakutan yang amat sangat, dia terus terjun keluar dari kenderaan itu lalu jatuh dengan posisi kepala di bawah dan mati serta-merta.
Demikianlah Allah menentukan kematian orang itu bahkan dengan cara yang dapat terdengar agak lucu seperti ini.
Yang selalu harus diingat oleh seorang hamba adalah bahawa dia sedang membawa dirinya bersama kematian, bahawa dia sedang berjalan menuju kematian dan bahawa dia sedang menunggu kematian itu entah datang pada pagi, petang atau malam.
Justeru, Saidina Ali bin Abi Talib telah mengungkapkan mengenai kematian dan berkata: "Sesungguhnya kematian terus mendekati kita dan dunia terus meninggalkan kita. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini adalah beramal dan tidak ada hisab dan esok adalah hisab dan tidak ada lagi beramal."
Ungkapan Saidina Ali ini mengingatkan kita bahawa manusia itu harus selalu siap sedia, selalu memperbaiki keadaan diri, memperbaharui taubatnya dan harus mengetahui bahawa dia sedang berhubungan dengan Allah SWT.
Kematian itu tidak pernah meminta izin kepada siapa sahaja, dan tidak pernah merajuk. Kematian itu tidak pernah memberikan amaran terlebih dahulu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok hari. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. (Luqman: 34)
Malah dalam siaran itu juga Syeikh at-Tantawi turut bercerita mengenai kisah kematian seorang pemandu sewaktu membawa penumpang yang penuh sesak di dalam sebuah bas. Pemandunya selalu menoleh ke kiri dan kanan dan secara tiba-tiba dia menghentikan bas itu.
Para penumpang lalu bertanya, "Mengapa engkau menghentikan bas ini?" Pemandu itu menjawab, "Saya berhenti untuk menghampiri orang tua yang melambai-lambaikan tangannya kerana hendak ikut menumpang bersama kita."
Para penumpang kehairanan lalu terus bertanya lagi, "Kami tidak melihat sesiapa pun." Tapi pemandu itu melihatnya. "Lihat (itu) dia," Mereka tetap bingung. "Kami tidak melihat seorang pun."
Pemandu itu pun berkata, "Kini dia datang untuk naik bersama kita." Semua penumpang berkata, "Demi Allah, kami tidak melihat siapa-siapa." Selang beberapa minit secara tiba-tiba pemandu itu mati terduduk di atas kerusinya.
Kematian datang dengan tiba-tiba dan begitulah jalan kematiannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) mendahulukannya. (al-A'raf: 34)
Manusia itu sangat pengecut terhadap hal-hal yang menakutkan dan merasa hatinya tidak mahu mendengar kematian disebutkan, namun tanpa disangka-sangka kematian itu datang menjemputnya tanpa diundang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut pergi: Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak terbunuh. Katakanlah, Tolaklah kematian itu daripada dirimu, jika kamu orang-orang yang benar. (Ali-Imran: 168)
Tetapi yang paling menghairankan, kita tidak pernah berfikir bahawa kita akan bertemu Allah, bahawa dunia ini banyak cerita tentang bagaimana orang meninggal dunia. Kita tidak pernah sedar kecuali kita didera banyak ketakutan, sehingga fikiran seperti itu baharu muncul dan benar-benar mengejutkan.
Ahli syair bermadah: "Mati itu laksana bahtera dengan gelombang yang ditakuti manusia, kesihatan seseorang tidak menjamin panjangnya umur, dan penyakit pun tidak berwenang memajukan usia, setiap hari berita kematian mengejutkan kita, seolah-olah bagaikan burung berterbangan, entah akan hinggap pada sesiapa..."

Friday, September 13, 2013

TAMAN TEMA AIR LEGOLAND DIBUKA OKTOBER

JOHOR BAHRU - Taman tema bertaraf antarabangsa, Legoland Malaysia, akan mula membuka taman tema airnya kepada orang ramai bermula 21 Oktober ini.
Pengurus Besarnya Siegfried Boerst berkata taman tema itu akan menawarkan lebih 20 permainan air yang unik selain 70 model yang dibina menggunakan blok lego, sesuai menjadi destinasi pilihan keluarga yang inginkan pengalaman lebih mencabar.
"Salah satu tarikan ialah di Joker Soeker, di mana kanak-kanak boleh merasai permainan interaktif dengan menembak meriam antara satu sama lain serta boleh merasai pengalaman disiram dengan 350 gelen air.
"Selain itu kanak-kanak juga berpeluang membina sendiri rakit mereka menggunakan blok lego lembut yang disediakan," katanya kepada media di sini hari ini.
Selain daripada permainan, katanya pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman di Beach N' Brick Grill dan Brick Bay Café.
Terdapat juga kabana peribadi yang boleh disewa pengunjung yang mahukan masa lebih santai bersama keluarga.
Sementara itu, Legoland Malaysia akan menyambut ulangtahun pertama pembukaannya pada 15 Sept ini dan pelbagai acara menarik telah diatur untuk pengunjung sempena sambutan ulang tahun tersebut.
Program yang diatur pada 15 dan 16 September ini termasuk persembahan tarian, parti untuk kanak-kanak dan persembahan bunga api dalam versi 3D.
"Kami juga akan menganjurkan satu sesi aktiviti bersama pengunjung iaitu membina sebiji kek daripada bongkahan lego yang bermula 5 hingga 14 September," katanya.
Kek tersebut diperbuat daripada 3000,000 bongkahan lego, dengan beratnya 646.2192 kilogram, tinggi 1.60 meter dan lebar tiga meter, katanya.

RUMAH PANGSA JLN. PARIT MESJID: NYAWA PENDUDUK TERANCAM

  • Nyawa penduduk terancamAdib menunjukkan keadaan kayu penyokong bumbung di tingkat lima rumah pangsa Jalan Parit Mesjid yang sudah jatuh.
 1 / 1 
PONTIAN - Lebih 500 penduduk di rumah pangsa Jalan Parit Mesjid di sini, menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menggantikan kayu penyokong bumbung yang sudah rosak atas faktor keselamatan.

Salah seorang penghuni, Mohammad Rahmat, 50 berkata, mereka risau dengan keadaan kayu penyokong bumbung yang sudah lama itu dikhuatiri akan menghempap kediaman mereka terutamanya ketika angin kencang.

Menurutnya, kebimbangan penduduk semakin bertambah apabila terdapat kayu yang sudah terjatuh menyebabkan bumbung di tepi rumah hampir rosak terkena serpihan itu.

“Saya lihat kayu penyokong itu terjuntai, angin kencang dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, menyebabkan ia terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Adib Zaini berkata, pihaknya sudah memohon kerjasama daripada semua pihak supaya mengambil serius tentang masalah yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, ia termasuklah menghantar surat permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan membaiki infrastruktur rumah pangsa itu dari Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Johor.

“Kita minta kayu pemanis itu diganti kerana ia sudah lama iaitu sejak rumah pangsa ini dibuka sekitar 90-an.
“Ada 60 keluarga pelbagai kaum tinggal di setiap blok rumah pangsa di sini, dan mereka berdepan risiko dihempap kayu penyokong jika tiada tindakan dilakukan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya amat berharap bantuan kewangan diberikan memandangkan pihak persatuan penduduk mengalami masalah kewangan ekoran tindakan segelintir penduduk yang tidak membayar wang penyelenggaran.

Jelasnya, jika hendak tunggu wang penyelenggaran, rasanya terlalu lama, dan dalam tempoh itu penduduk terpaksa hidup dalam keadaan tidak selamat.

“Walaupun sudah diminta membayar namun pihak jawatakuasa penduduk berdepan kekangan untuk mengutip wang penyelenggaran dari penduduk.

“Justeru, kami amat berharap agar bantuan diberikan agar keadaan selamat dapat diwujudkan di sini,” katanya.

PERUBAHAN PONTIAN BAWA KEUNTUNGAN

  • Perubahan Pontian bawa keuntunganPelbagai kemudahan disediakan bagi menarik pelabur dan yang terbaru rancangan pembinaan jambatan menghubungkan bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian.
 1 / 1 
PONTIAN - Dalam tempoh 15 tahun ini, Pontian banyak mengalami perubahan. Bermula sebagai pekan kecil dengan beberapa deretan kedai, kini ia menjana peluang ekonomi buat penduduknya.

Adun Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong berkata, berpuluh juta ringgit dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan serta melengkapkan prasarana penduduk di kawasan bandar Pontian.

Jelasnya, kemudahan seperti jalan raya, sekolah, hospital dan lain-lain perlu bagi menarik pelabur menjalankan perniagaan mereka di sini.

“Semua ini menjurus kepada pembangunan holistik yang seimbang di semua peringkat akar umbi agar mereka turut menerima kesan daripada limpahan pembangunan yang sedang dijalankan kerajaan,” katanya.

Siew Kiong berkata, bandar Pontian juga diperindah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penduduk serta pengunjung menikmati kemudahan terbaik setiap masa.

Menurutnya, ia dapat melonjakkan lagi imej bandar Pontian sebagai bandar pelancongan dengan penyediaan kemudahan penginapan, medan selera, tempat beriadah dan terminal pengangkutan awam di Pusat Perdagangan Pontian.

“Bagi mendekatkan lagi perhubungan antara bandar Pontian Kecil dan Pusat Perdagangan Pontian, kerajaan akan membina sebuah jambatan baru yang berharga RM5 juta bagi mengatasi kesesakan pada waktu puncak dan musim perayaan,” katanya.

Penduduk, Omar Ibrahim, 54, berkata, perubahan di kawasan bandar secara tidak langsung meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Jika dulu penduduk bergantung kepada bidang pertanian semata-mata, kini banyak peluang pekerjaan baru wujud dengan adanya kilang industri dan kawasan pembangunan mega di Tanjung Bin.

“Peningkatan ekonomi ini menyebabkan kawasan bandar berkembang, dengan lebih banyak kedai-kedai dibuka,” katanya.

Namun, beliau berpendapat kerajaan perlu membuka sebuah institusi pendidikan bagi melatih anak muda dalam bidang kemahiran.

Pembukaan institusi pendidikan itu dilihat dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk setempat dengan kemasukan pelajar dari seluruh negara ke bandar Pontian.

KOTOR: KEDAI KOPI SARANG TIKUS

  • Kedai kopi sarang tikusNorashikin menunjukkan sangkar kucing yang diletakkan di kawasan dapur sebuah kedai kopi yang diperiksa dalam operasi, semalam.
 1 / 1 
PONTIAN - Lantai kotor, dapur berselerak dan sebuah sangkar kucing diletakkan di dapur, antara situasi di sebuah kedai kopi yang sudah berusia hampir 50 tahun, di sini.

Peniaga kedai tersebut yang pada awalnya mahu mengelak daripada pemeriksaan cuba menutup sebahagian pintu kedai apabila menyedari kehadiran kakitangan Pejabat Kesihatan Pontian, bagaimanapun tidak berjaya.

Sebaliknya, premis berkenaan terus diperiksa  dan didapati pemilik kedai membela kucing bagi menangkap tikus di kawasan dapur.

Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan Pontian, Dr Norashikin Mahadan berkata, peniaga makanan tidak boleh meletakkan haiwan seperti anjing dan kucing di dapur kerana dikhuatiri mengakibatkan jangkitan penyakit.

Jelasnya, arahan itu telah termaktub di dalam Akta Makanan 1983 dan peniaga seharusnya menggunakan kaedah lain bagi menghalau tikus dan haiwan perosak di dapur.

Namun, sekiranya peniaga sudah mematuhi aspek kebersihan yang ditetapkan, masalah tikus dan haiwan perosak lain tidak akan timbul.

Menurutnya, pemilik kedai kopi berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Seksyen 33 (11)  Akta makanan 1983 Peraturan 14 kerana tidak mencapai  tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Operasi secara bersepadu dengan Majlis Daerah Pontian (MDP) ini akan dilakukan sebanyak dua kali sebulan bagi memastikan pengusaha kedai makan menyediakan makanan dalam keadaan bersih,” katanya kepada Sinar Harian.

TANJUNG PIAI MUNGKIN HILANG

  • Tanjung Piai mungkin ‘hilang’Suhaimi (kiri) melihat kawasan hakisan di Tanjung Piai.
 1 / 1 
PONTIAN - Jajaran pantai sekitar Tanjung Piai, di sini, diancam hakisan teruk berikutan kawasan perairan berhampiran yang menjadi laluan kapal dagang dari Selat Melaka ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Singapura.

Adun Kukup, Suhaimi Yusof berkata, hakisan pantai sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan terdapat kawasan pokok di jajaran pantai mulai pupus.

Menurutnya, akibatnya, Tanjung Piai sebagai Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia tidak mustahil akan hilang akibat hakisan semakin parah.

“Hakisan pantai sememangnya tidak dapat dielak, malah kesannya sudah boleh dijangka apabila kawasan di sekitar Tanjung Piai ini dibangunkan dengan projek mega.

“Cadangan pembinaan benteng penahan hakisan perlu dilaksanakan segera. Perkara ini sudah dipanjangkan ke peringkat negeri bagi tindakan susulan.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan Tanjung Piai yang terkenal sebagai kawasan penghujung benua Asia tidak akan ‘hilang’,” katanya ketika mengadakan tinjauan ke lokasi, semalam.

Suhaimi berkata, peruntukan sebanyak RM30 juta diperlukan bagi pembinaan benteng kekal di sepanjang kawasan pantai di Tanjung Piai yang mempunyai jajaran pantai kira-kira lima kilometer.

Katanya, buat masa ini belum ada rumah atau kebun penduduk yang rosak akibat hakisan pantai kerana tali air menjadi pemisah antara kawasan kampung dengan pantai.

Beliau memberitahu, langkah sama telah dilakukan kerajaan dengan membina benteng batu kekal di kawasan Taman Awam Pontian dan meninggikan benteng di Rambah sekali gus berjaya mengatasi masalah hakisan.

“Masalah hakisan di sini mendapat perhatian serius penduduk tempatan yang sebahagiannya bekerja sebagai nelayan pesisir pantai.

“Golongan nelayan melihat perubahan besar yang berlaku di sini dan meminta kerajaan mengambil segera membina tembok untuk mengatasi hakisan.

“Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) juga telah membina benteng batu di kawasan berhampiran jeti di Kampung Perpat Timbul.

“Pembinaan benteng tersebut yang siap pada pertengahan tahun dijangka dapat mengurangkan hakisan berhampiran kawasan jeti,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mansor Maidin berkata, kira-kira 20 meter kawasan daratan terhakis dalam tempoh setahun.

“Tindakan segera membina tembok kekal perlu dilakukan bagi memastikan penduduk kampung tidak menjadi mangsa banjir kilat akibat pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

“Tanaman seperti kelapa sawit dan pisang juga akan rosak dan merugikan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun.

“Penduduk amat berharap agar kerajaan membina benteng kekal untuk memperlahankan hakisan pantai dan mengurangkan risiko terjadinya banjir kilat di sini,” katanya.

HALFEST 2013 SASAR JUALAN RM 30 JUTA

  • Halfest 2013 sasar jualan RM30 jutaMustapa (kanan) melancarkan Halfest 2013, sambil ditemani Mohd Shukri (kiri) dan tetamu kehormat yang lain.
 1 / 1 
HALAL Fiesta Malaysia 2013 (Halfest 2013), pameran makanan halal terbesar di Malaysia, menyasarkan peningkatan transaksi jualan 10 peratus kepada RM30 juta berbanding RM25 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn Bhd Mohd Shukri Abdullah berkata, penyertaan 550 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka dapat membantu meningkatkan jualan Halfest 2013.

"Kami juga yakin program padanan perniagaan yang akan diadakan semasa ekspo ini boleh membantu mencapai sasaran jualan itu," katanya selepas pelancaran Halfest 2013 di Seri Kembangan, semalam.

Menurut Mohd Shukri, bermula tahun ini, Halfest akan bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk membuat tinjauan terperinci yang akan diberikan kepada kerajaan.

Beliau berkata, tinjauan itu akan memfokus kepada masalah yang dihadapi bukan sahaja usahawan  tetapi juga pengguna, serta cabaran dihadapi syarikat pengeluar produk halal bagi menembusi pasaran eksport.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melancarkan Halfest 2013 berkata, tujuan utama ekspo itu adalah untuk membantu usahawan PKS memasuki pasaran pasar raya besar tempatan sebelum melebarkan sayap perniagaan ke luar negara.

"Sehingga April lalu, sebanyak 3,237 sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kepada pengeluar, premis dan pusat sembelihan, dengan 748 daripadanya adalah pengeksport.

"Eksport produk halal bagi suku pertama tahun ini juga mencatatkan peningkatan 0.5 peratus kepada RM7.8 bilion berbanding RM7.7 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menyumbang 4.6 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport negara bagi suku pertama tahun ini," katanya.

Halfest 2013 yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober di Pusat Pameran Mines (MIECC) turut dijangka menarik 70,000 pengunjung.

COOL BLOG ICE BLENDED PERTAMA DIIKTIRAF HALAL

  • Jenama ice blended pertama diiktiraf halal
 1 / 2 
PEPATAH menyebut, kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Itulah situasi terpaksa dihadapi pengeluar minuman jenama Cool Blog ekoran beberapa pengeluar minuman ice blended lain menggunakan bahan mengandungi asid maleik.

"Kami merasai tempias itu, dan kesannya lebih kurang 40 peratus jualan merudum. Namun, ingin saya jelaskan pembekal Cool Blog tidak tersenarai dalam pembekal terlarang itu.

"Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan Cool Blog. Setakat ini semua minuman kami selamat dan bebas kandungan asid maleik,” jelas Pengurus Operasi
Perniagaan CoolBlog Dessert Sdn Bhd, Muhammad Daniel Koh Abdullah berkaitan isu penggunaan bubble tea dari Taiwan dalam minuman ice blended.

Isu itu menjadi perbualan hangat apabila Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.

Dilancarkan pada 2005 di Singapura, Cool Blog dibangunkan sebagai kedai minuman, pencuci mulut dan minuman berperisa teh serta muncul penyedia ice blended pertama mendapat persijilan halal di Malaysia

"Kami fokus dalam perniagaan kerana 80 peratus pelanggan kalangan Muslim, dan ia mencerminkan kesungguhan kami untuk menerajui industri minuman dan pencuci mulut di Malaysia," katanya.

Hebatkan promosi

Jenama Cool Blog mempunyai lebih 250 cawangan seluruh negara dan akan menggenapkan kepada 300 cawangan sehingga akhir tahun ini.

"Kami dalam pengembangan yang baik dengan sasaran 400 cawangan dibuka menjelang 2014 menggunakan modal permulaan RM120,000 meliputi sewaan kios, pengurusan, pekerja terlatih, peralatan, ramuan, lesen dan latihan," katanya.

Dianggarkan lapan hingga 10 cawa- ngan dibuka setiap bulan manakala dua juta cawan minuman dijual sebulan, menguasai 10 peratus daripada populasi Malaysia yang menikmati minuman itu.

"Kami menambah cawa- ngan secara ketara kerana ingin mewujudkan jurang antara pesaing, justeru, diperuntukkan sejumlah dana untuk memperhebatkan bahagian promosi dan pengiklanan, "jelasnya.

Dalam soal pemilihan tapak, Cool Blog tidak mengehadkan kepada pusat membeli-belah sahaja dan pemegang lesen yang merancang membuka di kawasan tumpuan ramai seperti berdekatan bank, pasar raya dan kolej dipertimbangkan.

"Kami meneliti lokasi yang dipilih sekurang-kurangnya seminggu sekali agar tempat itu sesuai dan tepat dalam menjamin kestabilan jualan," tegasnya.

Diberi kepercayaan

Jenama ini juga mengadakan usaha sama dengan pihak Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk membuka 25 kios bawa pulang dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

"Kami, jenama pertama diberi kepercayaan memulakan operasi seperti itu sekali gus dapat meningkatkan imej agar lebih terkenal seluruh Malaysia, "ujarnya.

Selain itu, syarikat juga mendapat penghargaan dari taman tema, Legoland di Nusajaya, Johor untuk membuka dua kios dalam taman tema tersebut.

Kehadiran Cool Blog di pasaran terus diberi perhatian apabila turut mendapat tempat di JB CIQ, pintu masuk laluan ke kota Singa. 

Meneruskan strategi pengembangan, Cool Blog juga menerima pertanyaan untuk mengkomersialkan jenama ini ke Thailand, Filipina, dan negara Timur Tengah beberapa tahun lalu. 

"Kami baru sahaja menandatangani perjanjian persefahaman dengan wakil perniagaan di Indonesia untuk membawa masuk jenama ini ke Sumatera yang dimuktamadkan akhir tahun ini.

"Populasi Muslim ramai, antara faktor jenama ini mudah dibawa masuk ke sana.

"Selain itu, tawaran minuman Cool Blog pelbagai perisa menjadikan jenama ini terus dipercayai," katanya.

MINGGU RESTORAN BUKA PELUANG JAMU SELERA


PROMOSI Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013 akan berlangsung dari 4 hingga 11 Oktober 
ini di 45 restoran yang mengambil bahagian.

MEMENUHI kemahuan gastronomi terutama di restoran-restoran mewah dan terkemuka pastinya sesuatu yang tidak boleh ditolak. Namun, kos dan harga yang dikenakan di restoran mewah antara penyebab yang memaksa orang ramai melangkah keluar meskipun hidangan yang ditawarkan di restoran menambat selera.
Mengatur sebuah pengalaman gastronomi yang berpatutan tanpa membelakangkan kualiti serta kuantiti, orang ramai yang selama ini mengidam menjamu di restoran terkemuka boleh berbuat demikian sepanjang Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013.
Menariknya, acara yang berlangsung sepanjang lapan hari bermula pada 4 Oktober hingga 11 Oktober pertama kalinya dianjurkan di Malaysia.
"Sejarahnya bermula di New York lebih 20 tahun lalu. Idea ini tercetus daripada dua buah restoran yang mahu mewujudkan pengalaman makan di dalam bandar. Selepas itu, aktiviti promisi ini mula berkembang ke seluruh dunia, seperti Amerika Syarikat, China, Puerto Rico, Jepun, Hong Kong hingga ke Malaysia," kata Pengurus Besar Minggu Restoran KL, Jacqueline Wong, kepada Kosmo!
Di Malaysia, sebanyak 45 restoran terkenal termasuk makanan mewah telah memberi komitmen bagi menjayakan Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013. Tambah Jacqueline, restoran yang terlibat menawarkan harga khas makan tengah hari dan makan malam pada harga yang berpatutan.
Bermula pada harga RM20 bersih untuk dua menu makan tengah hari dan RM50 bersih untuk tiga menu makan malam, para pengunjung dihidangkan dengan menu signatur atau baharu di restoran tersebut.
Restoran yang terlibat terdiri daripada restoran pemenang anugerah, Si Chuan Dou Hua di Hotel Parkroyal, Rama V Fine Thai Cuisine, Jalan U-Thant, Kuala Lumpur dan Tanzini di G Tower, Kuala Lumpur.
Kebanyakan restoran yang mengambil bahagian mempunyai reputasi dan pengiktirafan tertentu dalam lapangan masing-masing.
Setiap restoran tersebut akan mengagihkan tempat tertentu untuk peserta Minggu Restoran KL 2013 dan akan beroperasi mengikut polisi yang dahulu diutamakan. Mengikut tradisi Minggu Restoran, tempahan makan hanya akan diterima melalui tempahan dalam talian di www.klrestaurantweek.com. Caj RM2 dikenakan untuk setiap tempahan. Tempahan secara langsung dengan pihak restoran tidak dibenarkan.
Tempahan sudah bermula pada 9 September lalu dan tamat pada 29 September akan datang.
Bagi menyemarakkan lagi Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013, turut disediakan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah dan baucar makan bernilai lebih RM10,000. Apa yang perlu dilakukan ialah menyertai laman sosial Facebook di KLRestaurantWeek.
"Kami sangat teruja untuk membawa konsep popular ini kepada umum. Penggemar makanan kini mempunyai peluang yang terbaik untuk menjamu dan menikmati kepelbagaian makanan di Kuala Lumpur," kata Jacqueline.
Dalam pada itu, Chef Zulkifli Razali yang mewakili Restoran Bijan memberitahu, beliau berharap lebih ramai orang menggunakan peluang ini untuk mencuba makanan yang disediakan khas iaitu Rusuk Panggang dan Pucuk Paku Tahi Minyak.
Chef Johnny Fua dari Tanzini pula memberitahu, para penggemar makanan ditawarkan dengan harga yang sangat kompetitif dan rugi jika peluang ini tidak digunakan sebaiknya. "Saya harap semua orang akan sama-sama teruja seperti kami (chef) dan menyokong usaha ini," kata Johnny

Wednesday, September 11, 2013

2000 KICAP TIRUAN DIRAMPAS

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kegiatan seorang pengusaha kicap mengeluarkan kicap tiruan dengan jenama ABC terbongkar selepas rumah kedai yang dijadikan kilang untuk memproses barangan itu di Taman Taynton, Cheras di sini diserbu oleh pihak berkuasa hari ini.
Dalam serbuan pukul 1.15 petang itu, sepasukan kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas kira-kira 2,000 botol kicap tiruan.
Turut dirampas 20,000 botol kosong yang telah dibersihkan yang dipercayai akan digunakan semula, bahan-bahan seperti tepung, kacang soya, gula dan karamel selain 10 buah tong gas dan label untuk menghasilkan kicap tiruan berkenaan.
Lebih mengejutkan terdapat sebahagian daripada botol itu merupakan botol arak.
Pengarah PPDNKK cawangan itu, Abu Samah Shabudin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah menemukan sebuah stor simpanan botol kicap yang telah siap dipasarkan dan sebuah stor penyimpanan selain dua mesin memproses kicap yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM150,000.
"Hasil pemeriksaan, kesemua 2,000 botol kicap yang siap dipasarkan itu mempunyai pelekat label jenama ABC berlatarbelakangkan warna putih dan berbeza dengan jenama asli yang berwarna merah.
"Siasatan juga mendapati premis ini telah beroperasi kira-kira tiga bulan lalu. Ketika serbuan terdapat enam pekerja tetapi kesemuanya telah melarikan diri dan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.
"Jika disabit kesalahan di mahkamah, pemilik kicap tiruan itu boleh didenda RM10,000 untuk setiap botol atau dipenjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama," jelasnya.
Beliau memberitahu, serbuan itu yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Kamaruddin Mohd. Yasin serta 10 pegawai dijalankan hasil aduan orang ramai yang mengesyaki botol kicap di premis itu adalah tiruan kerana penutup, label dan pelekat digunakan berbeza dengan yang asli.
"Saya menggesa para pengguna sentiasa berhati-hati apabila mereka hendak membeli sesuatu produk dan segera membuat aduan kepada pihak berkuasa agar mereka tidak terpedaya dengan barang tiruan," ujarnya.

KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA DITERUSKAN

Najib Tun Razak melawat pameran selepas melancarkan Persidangan Perniagaan Rel Asia 2013 
sambil perhatikan Fadillah Mohd. Yusof (dari kiri) dan Syed Hamid Albar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Projek Kereta Api Laju (HSR) antara Singapura dan Kuala Lumpur akan tetap diteruskan walaupun kerajaan telah mengumumkan penjadualan semula beberapa projek mega negara dalam usaha mengurangkan defisit fiskal.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, projek berkenaan dijadualkan siap menjelang 2020 dan setakat ini tiada pindaan tarikh dibuat.
"Walaupun kerajaan mengumumkan dasar pengurangan perbelanjaan, projek HSR tetap berada dalam perancangan. Rundingan akan dibuat tidak lama lagi antara kedua-dua negara.
"Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai tender yang bakal dikeluarkan tetapi saya jangka sebelum akhir tahun ini, ia akan diumumkan jika tiada sebarang masalah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Persidangan Perniagaan Rel Asia 2013 di sini hari ini.
Persidangan berkenaan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Mohd. Yusof.
Dalam ucapannya, Najib berkata, industri rel negara dijangka menerima pelaburan sebanyak RM160 bilion menjelang 2020 berbanding RM50 bilion sejak tahun 1990.
Mengulas mengenai ucapan berkenaan, Syed Hamid berkata, nilai berkenaan merangkumi keseluruhan pelaburan industri termasuk pelaburan yang dibuat oleh kerajaan seperti HSR.
"Nilai projek HSR masih tidak diketahui tetapi boleh dikatakan berada dalam nilai jangkaan berkenaan," jelasnya.
Apabila siap kelak, waktu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura akan dipendekkan kepada 90 minit sehala dan ini akan membantu merancakkan pembangunan ekonomi antara kedua-dua negara.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan projek Mass Rapid Transit (MRT) fasa 2 dan 3, beliau berkata, projek berkenaan akan diteruskan sebaik sahaja fasa 1 siap kelak.
"Projek fasa kedua tidak akan terhenti untuk tempoh yang lama selepas fasa 1 siap kerana ini perancangan yang berterusan untuk menambah baik pengangkutan awam.
"Kami akan kaji pelaksanaan MRT fasa 1 nanti dan penambahbaikan akan dibuat untuk fasa seterusnya," ujarnya lagi.

Sunday, September 8, 2013

RESTORAN BALI-BALI GARDEN-KOTA KINABALU

DR. Alan (tengah) ditemani Chef Roslan (kanan) menunjukkan hidangan empat serangkai 
dan ayam rica-rica yang menjadi pilihan 
pengunjung.

BAGI mereka yang ingin menikmati sajian khas masyarakat Bali di Indonesia tetapi mempunyai kekangan kewangan dan masa untuk menikmati hidangan itu di bumi Bali, kini semuanya tidak menjadi masalah apabila hidangan lazat tersebut boleh dijamah di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah.
Berkonsepkan dekorasi Bali, restoran Bali-Bali Gardens bertaraf lima bintang di Kota Kinabalu itu pastinya memberikan kelainan dari segenap segi termasuk makanan dan persekitaran yang seolah-olah seperti pengunjung berada di Bali.
Restoran unik yang pertama di Sabah itu juga menyediakan pelbagai makanan dari Indonesia termasuk dari Sulawesi, selain tidak lupa menyediakan sajian Melayu dan Barat.
Pengalaman melangkah masuk ke restoran milik Dr. Alan M. Raman itu memberikan makna tersendiri kepada penulis. Ini kerana penulis dapat merasakan seolah-olah berada di tengah kesibukan destinasi pelancongan terkenal Bali.
Mana tidaknya, ini kerana segala hiasan dan reka bentuk Bali yang asli, selain iringan alunan muzik irama dari Bali menanti para tetamu yang ingin menjamu selera di situ.
Bagi menambahkan lagi hiburan dan keriangan kepada pelanggan restoran, beberapa penghibur tempatan asyik mendendangkan pelbagai lagu tempatan dan luar negara yang menghiburkan.
Sentuhan hidangan yang diketuai oleh Chef Roslan Adnan yang berketurunan Jawa dan berpengalaman lebih 30 tahun sebagai chef hotel lima bintang, menjadikan setiap ringgit yang dibelanjakan di restoran itu amat berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Antara hidangan cita rasa Bali yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah nasi ayam bertutu, nasi goreng lilit, ikan bakar bumbu dan bebola daging Bali-Bali.
Selain itu, hidangan Indonesia lain yang menjadi pilihan adalah nasi ayam Rica-Rica yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Menurut Chef Roslan, kesemua masakan berkenaan menggunakan resipi istimewa Bali dan Indonesia, selain resipi tersendiri hasil pengalaman dan penyelidikan yang dilakukannya.
Tambahnya, setiap masakan akan dibuat dengan teliti supaya tidak menjejaskan rasa dan keenakannya, selain faktor kebersihan dan kesegaran yang sentiasa diberi perhatian.
"Contohnya ayam bertutu Bali dimasak dua kali menyebabkan rasanya begitu lembut, ditambah dengan sos resipi istimewa Bali yang pastinya membuatkan pengunjung berpuas hati.
"Selain itu, ayam Rica-Rica yang merupakan hidangan Sulawesi juga pastinya membuatkan pelanggan tertawan dengan rasanya yang enak selepas dimasak bersama tomato segar yang merupakan resipi tersendiri," katanya.
Tambahnya, bagi memastikan kelainan dalam rasa makanan berbanding di tempat lain, kebanyakan hidangan asas seperti bebola daging diproses sendiri dengan mengutamakan kualiti dan kesegaran.
"Bebola daging yang dihasilkan sendiri mempunyai cita rasa tersendiri dengan rasa daging yang segar dan sate lilit juga amat berbeza sekali apabila kami menggunakan batang serai sebagai lidi yang memberikan rasa dan bau yang enak kepada juadah itu," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Alan yang turut menguruskan sebuah klinik di bandar raya ini berkata, idea untuk mewujudkan restoran bertemakan Bali itu muncul kira-kira enam tahun lalu selepas beliau melanjutkan pengajian di Bali, Indonesia.
Katanya, tarikan dan kelazatan hidangan Bali dan Indonesia yang dilihat berjaya menarik minat pelancong antarabangsa membuatkannya bertekad untuk merealisasikan sebuah restoran Bali di Sabah.
"Hasil usaha keras bersama ahli keluarga yang lain maka restoran yang turut mendapat sentuhan reka bentuk daripada adik saya iaitu Adam M. Raman yang merupakan arkitek di Lakar Design Studio berjaya merealisasikan sebuah restoran berkonsepkan Bali ini," katanya.
Beliau memberitahu, restoran halal yang boleh memuatkan 300 pengunjung dalam satu masa itu turut menyediakan dewan mini dan bilik mesyuarat, selain boleh digunakan untuk pelbagai acara termasuk perkahwinan dalam taman.
Sebarang maklumat lanjut mengenai restoran berkenaan boleh menghubungi Bali Bali Gardens di talian 088-232678 atau melalui Facebook, Bali Bali Gardens restaurant atau e-mel di alamat infobalibaligardens@gmail.com.

BUKU ILHAM CHEF

Seramai 15 chef yang terlibat menyiapkan buku resipi Amazing Inspirations.

UMUM mengetahui bahawa chef-chef tersohor memiliki pengetahuan meluas mengenai sajian serta pengalaman kulinari yang mendalam. Pengetahuan ini sebaiknya dikongsi bersama dengan orang lain terutamanya dengan mereka yang turut berminat dalam bidang masakan.
Maggi turut mempercayai nilai baik ini dan untuk itu telah bekerjasama dengan Persatuan Chef Malaysia (CAM) bagi menghasilkan buku resipi yang bertujuan untuk memberi ilham kepada chef-chef muda di dalam industri ini.
Buku yang diberi judul Amazing Inspirations ini bukan sahaja menonjolkan chef-chef terbaik negara dan memaparkan kemahiran memasak pemimpin industri ini, tetapi turut memberikan sedikit pemahaman mengenai asal-usul dan falsafah masakan mereka.
Chef-chef profesional ini juga berharap supaya chef-chef muda akan terpengaruh dan mendapat ilham dengan kisah-kisah, resipi dan teknik-teknik yang dipaparkan untuk menghasilkan ciptaan yang lebih kurang sama atau yang tersendiri.
Bagi menjadikan buku ini satu realiti, 15 orang chef tersohor negara yang masing-masing terkenal dengan kecemerlangan masakan mereka telah turut bekerjasama.
Mereka adalah Chef Chern Chee Hoong (Presiden Persatuan Chef Malaysia), Chef Antoine Rodriguez (Hotel Le Meridien Kuala Lumpur), Chef Arthur Heng (Hotel Concorde Kuala Lumpur), Chef Federico Michieletto (Marini's on 57), Chef Gary Lim (Hotel ParkRoyal), Chef Helmut Lampberger (Hotel Impiana KLCC) dan Johari Edrus (Chefjo Culinary Consultant).
Selain itu, Chef Oliver Lopez (Resorts World Genting), Chef Rajesh Kanna (Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur), Chef Raymond Tan (Sunway Hotel Resort & Spa), Chef Richmond Lim (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur), Chef Sabri Hassan (Pelatih Seni Kulinari, Chef Selebriti, Juri Pertandingan), Chef Tan Tik San (Hotel Berjaya Times Square Kuala Lumpur), Chef Wilfred Lim (Hotel Palace of the Golden Horses) dan Cheh Yau Kok Kheong (Dorsett Regency Kuala Lumpur).
Setiap seorang daripada chef tersebut telah berkongsi dua resipi istimewa mereka yang menggunakan produk Maggi sebagai sebahagian daripada bantuan kulinari mereka untuk hidangan pembuka selera, sup, sajian pertama, sajian utama dan pemanis mulut.
Kesemua mereka telah hadir semasa majlis pelancaran buku resipi Amazing Inspirations yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Buku Amazing Inspirations dijual pada harga RM49 untuk ahli Cam dan RM59 untuk bukan ahli. Buku ini akan dijual oleh CAM semasa berlangsung Culinaire Malaysia 2013 yang dianjurkan daripada 17 September hingga 20 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kutipan daripada jualan buku akan digunakan bagi menyokong aktiviti dan program pembangunan CAM.

8.5 JUTA RAKYAT MALAYSIA OBES

PUTRAJAYA 7 Sept. - Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan berlebihan berikutan terlebih makan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, setakat ini, 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang obes.
Menurutnya, masalah tersebut berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis.
Beliau berkata, bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kementerian terus menekankan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat kerana masalah berat badan berlebihan di kalangan mereka telah mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1 peratus.
“Masalah tersebut kini telah menjadi ancaman terbesar kepada kesihatan masyarakat. Bayangkan ketika ini seorang daripada tiga penduduk negara ini obes atau mempunyai berat badan berlebihan," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, di Dataran Wawasan Presint 2 di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat kerana kajian menunjukkan purata setiap individu melakukan aktiviti senaman selama 20 minit sehari.
Mengulas mengenai Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, Subramaniam berkata, seramai 70,000 orang yang majoritinya belia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan yang dilancarkan serentak di seluruh negara.
Kempen yang diadakan untuk tahun keempat itu katanya, memfokuskan kepada peningkatan kesedaran golongan belia terhadap kepentingan melakukan senaman sebagai amalan hidup seharian.
“Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.
“ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan," katanya.
Katanya, kerajaan akan memainkan peranan dalam memastikan golongan muda sentiasa mengamalkan kehidupan sihat dengan memperbanyakkan kemudahan beriadah di kawasan perumahan antaranya kempen berjalan 10,000 langkah sehari merupakan aktiviti intensiti rendah dan sesuai semua peringkat umur.
“Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori," katanya.

Wednesday, September 4, 2013

YOGURT BEKU TIDAK SIHAT


YOGURT beku tidak memberikan manfaat yang sama seperti pengambilan yogurt biasa.

MAKANAN yogurt beku atau dikenali sebagai froyo yang turut mengandungi buah-buahan segar dan kering dilihat mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Namun, di sebalik rasanya yang sedap, makanan itu juga memiliki risiko dari segi kesihatan.
Yogurt beku yang dijual di pasaran kebanyakannya mengandungi kadar gula yang tinggi.
Seorang penyelidik di Pusat Penyelidikan Pencegahan, Universiti Yale, Amerika Syarikat, David Katz memberitahu, yogurt beku tidak memberikan manfaat yang diharapkan sama seperti pengambilan yogurt biasa.
“Kita memakan terlalu banyak gula,” katanya yang mengulas tentang yogurt beku itu baru-baru ini.
Bahan-bahan seperti maltodekstrin, natrium sitrat, gam selulosa, dinatrium fosfat dan propilena glikol monoester merupakan antara bahan yang ditemui di dalam yogurt beku.
Menurut Katz, bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan mungkin memberikan kesan yang buruk ke atas tubuh badan.
Menurutnya, yogurt tidak lebih hanya sebagai alternatif untuk aiskrim.
Dalam penyelidikan yang dilakukan ke atas yogurt beku itu, para penyelidik turut menemui bahan karagenan.
Bahan tersebut boleh memberi kesan yang tidak baik untuk kesihatan perut.
Para penyelidik menyatakan, pengambilan yogurt itu akan membahayakan kesihatan jika ia diambil secara keterlaluan.
Bagi mengelak daripada terjebak memakan makanan yang tidak menyihatkan, anda perlu membaca label pada bungkusan makanan terlebih dahulu sebelum membelinya dan pastikan ia tidak mengandungi kandungan gula yang terlalu tinggi.

4 KALI RUMAH DIREMPUH

  • Empat kali rumah dirempuhKeadaan kereta yang pernah terbabas ke rumah Rosliyah.
 1 / 2 
PONTIAN - Sebuah keluarga hidup dalam kebimbangan apabila rumah yang mereka duduki kerap menjadi mangsa sasaran kenderaan yang terbabas.

Rosliyah Jaafar, 66, yang tinggal di Kampung Ulu Pulai mendakwa, sejak laluan Pekan Nenas-Gelang Patah menjadi tumpuan dan sibuk, sudah empat kali kediamannya dirempuh kenderaan

“Sudah empat kali rumah mak cik dirempuh kereta yang terbabas,” kata yang tinggal bersama suami Hassani Ambok Sakak, 76, dan dua orang anaknya di rumah berkenaan.

Rumah yang didiami lebih 20 tahun itu terletak terlalu hampir dengan selekoh tajam yang berisiko dari kedua-dua arah Pekan Nenas dan Gelang Patah.

“Pada awal 90an, jalan di sini kecil sahaja seperti jalan kampung dan tidak banyak kenderaan.

“Tetapi, sejak kawasan di Gelang Patah dan Nusajaya membangun pada awal tahun 2000, semakin hari semakin banyak kenderaan yang menggunakan laluan di sini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia sekeluarga sukar untuk tidur nyenyak kerana sering dikejutkan dengan kejadian berkenaan.

“Dulu, terdapat pokok buah-buahan di laman rumah, tetapi sekarang sudah tidak ada lagi selepas dilanggar kenderaan yang kerap terbabas.

“Malah ada pemandu yang terbabas sehingga melanggar pokok durian di depan rumah,” katanya.

Di sebalik kejadian itu, Rosliyah sekeluarga turut kesal apabila kerosakan akibat perlanggaran itu terpaksa ditanggungnya sendiri..

“Pemandu bersikap lepas tangan selepas melanggar rumah, menyebabkan kami sekeluarga terpaksa menanggung kos kerosakan. Hanya papan yang kami gunakan untuk menutup lubang kesan daripada pelanggaran kenderaan terbabas,” katanya.

Rosliyah memberitahu, langkah-langkah keselamatan telah diambil pihak berwajib, namun terdapat segelintir pemandu yang masih memandu laju di kawasan itu.

“Meskipun tembok pengadang sedang dibina di sebelah rumah, ia tidak dapat menghindar perasaan takut kerana bimbang kenderaan akan terbabas pada bila-bila masa saja,” katanya.

Demi faktor keselamatan, mereka sekeluarga tidak kisah untuk berpindah dan berharap agar ada pihak yang dapat membantu mereka.

“Sebelum ini, ada pegawai datang menjenguk keadaan rumah kami dan mereka ada cadangkan kami untuk berpindah. Namun sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas,” katanya.

Sementara itu, Adun Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar berkata, kawasan di selekoh tajam berkenaan dilihat sangat berbahaya terutamanya kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihak berwajib dari daerah Pontian yang merupakan pentadbir di kawasan itu sudah mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelak kejadian itu berlaku.

“Antaranya adalah dengan memasang papan tanda amaran dan membina tembok pengadang.

“Jika keluarga yang tinggal berdekatan dengan selekoh tajam itu hendak berpindah, usaha bagi mendapatkan bantuan rumah yang sewajarnya dilakukan,” katanya.

Tuesday, September 3, 2013

MEDAN SELERA TEPI LAUT PERLU DINAIK TARAF

  • Tiba masa dinaik tarafMedan Selera Tepi Laut perlu dinaik taraf bagi menarik lebih ramai pengunjung.
 1 / 1 
PONTIAN - Suatu ketika dulu, Medan Selera Tepi Laut, dekat sini begitu dikenali dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Namun, sejak lokasinya berpindah ke tapak perhentian bas lama, peniaga semakin kurang.
Peniaga, Azib Zainin mendakwa, keadaan medan selera di tapak lama iaitu di hadapan Dewan Jubli Intan Pontian sebelum ini sangat meriah dengan 16 gerai dibuka.

“Tapi, selepas medan selera ini berpindah ke tapak di hadapan perhentian bas lama pada 2008, peniaga semakin kurang.

“Bagaimanapun, medan selera ini masih lagi jadi tumpuan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu.
“Mereka masih lagi mengenali kawasan tepi laut Pontian yang suatu masa dahulu dipenuhi dengan gerai-gerai yang menjual pelbagai makanan,” katanya.

Walaupun terus dikunjungi, Azib mengakui peniaga di situ mahu keadaan persekitaran medan selera dinaik taraf.

“Kadang-kadang kami juga segan apabila orang ramai bertanya mengenai keadaan medan selera di sini.

“Rata-rata mereka beranggapan ianya sudah tidak lagi sesuai dengan perubahan semasa sepertimana medan selera di bandar-bandar yang lain,” katanya.
Katanya, diharapkan agar kawasan ini dibangunkan kerana berpotensi besar menjadi kawasan pelancongan.

“Medan selera ini adalah satu-satunya medan selera yang masih wujud di bandar Pontian dengan menyediakan hidangan seperti nasi ayam, pelbagai jenis mee, satay dan sebagainya.

“Sekiranya ada perancangan bagi membangunkan tapak ini, kami peniaga amat berharap ianya dapat dilakukan segera demi keselesaan peniaga dan pengunjung,” katanya.

PAMERAN PELANCONGAN HALAL 24-27 OKTOBER

JOHOR BAHRU 2 September- Jabatan Pelancongan negeri bersama anak syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Institut Pembangunan Pengurusan Johor Sdn. Bhd. (IPPJ) akan menganjurkan Pameran Pelancongan Halal 2013 pada 24 hingga 27 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, program itu akan dibahagikan kepada dua iaitu seminar dan pameran.
Beliau berkata, seminar itu diadakan pada 24 Oktober ini di Hotel Puteri Pacific di sini, bermula 8.30 pagi hingga 5 petang manakala pameran pula berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober ini di Expo Danga City Mall di sini, mulai 10 pagi hingga 10 malam.
"Antara objektif penganjurannya untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan produk serta perkhidmatan pelancongan halal kepada orang ramai.
"Selain itu, program tersebut diharap dapat memberi kemudahan kepada syarikat dan agensi berkaitan pelancongan halal menjalinkan jaringan dan mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya dalam sidang akhbar sempena prapelancaran pameran itu di sini semalam.
Siew Kiong berkata, seminar yang dijalankan bakal mengetengahkan topik-topik seperti integriti pelancongan halal, hotel patuhi syariah, potensi pelancongan halal serta kualiti perkhidmatan dan produk pelancongan halal.
Beliau berkata, sebanyak 101 gerai pameran akan dibuka sempena pameran itu termasuk penyertaan usahawan Singapura dan Indonesia.
"Kita sasarkan 8,000 orang akan mengunjungi program yang julung kali kita anjurkan ini dengan sasaran jualan sebanyak RM10 juta.
"Sehubungan itu, kita menjemput orang ramai bersama-sama memeriahkan program kali ini sekali gus menggalakkan perkembangan pelancongan halal di negeri ini," katanya.