BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, October 31, 2015

RESTORAN KANTIN ASAM PEDAS-UKAY PERDANA, HULU KELANG

MAKAN tengah hari akan lebih berselera dengan lauk-pauk kampung. Lihat sahajalah restoran atau kedai makan yang menyediakan lauk-pauk tersebut pasti akan dipenuhi pelanggan seawal pukul 11.30 pagi.
Selain pelanggan yang datang makan di situ, ramai juga yang membawa mangkuk tingkat atau membungkus makanan untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.
Hidangan asam pedas adalah antara makanan atau lauk-pauk yang menjadi kegemaran ramai. Jika betul cara memasaknya serta memenuhi selera pelanggan, sekali rasa mereka akan datang lagi.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan hidangan asam pedas yang betul-betul asli agak sukar. Ramai yang boleh memasak asam pedas tetapi rasanya berbeza-beza.
Ada yang terlalu cair, ada yang kurang asam, kurang cili dan sebagainya. Pun begitu, jika anda seorang yang amat menggemari asam pedas, apa kata jika mencuba asam pedas di Kantin Asam Pedas.
Pastinya pelbagai hidangan asam pedas di sini memenuhi selera dan sudah tentu anda akan datang kembali ke sini.
Dibuka enam bulan lalu oleh Roslin Abu Hassan, 44, keistimewaan asam pedas di sini ialah kuahnya pekat.
Katanya, sebelum mula berniaga asam pedas ini, dia telah banyak mencuba asam pedas di restoran lain, namun kebanyakannya cair, tidak cukup bahan dan sebagainya.
Jelas Roslin, asam pedas yang benar-benar asli mestilah berkuah pekat bukan cair. Asam pedas yang disediakan di restorannya mempunyai kuah pekat dan dibuat sama seperti yang dimasak di rumah untuk hidangan keluarga.
“Masakan asam pedas saya ini adalah gabungan asam pedas Muar dan Melaka. Asam pedas sememangnya menjadi makanan tradisional dua tempat tersebut. Sebab itu kalau orang hendak merasa asam pedas yang asli, datang ke Muar dan Melaka. Itu pun harus pandai mencari kedai makan atau restoran yang menyediakannya.
“Bagaimanapun bagi peminat asam pedas di Kuala Lumpur boleh sahaja datang ke Kantin Asam Pedas kerana anda akan mendapat yang asli. Sebenarnya kesemua masakan asam pedas di sini adalah resipi daripada suami saya, Abu Talib Jasman yang berasal dari Muar yang terkenal dengan asam pedas pekat.
“Dia memang pakar memasak asam pedas dan saya banyak belajar daripadanya. Jika dia tidak sibuk, dia sendiri yang akan memasak. Suami saya pun belajar daripada keluarganya yang pandai dalam bidang masakan.
“Di sini saya menyediakan beberapa jenis masakan asam pedas, iaitu asam pedas ikan pari, kerisi, kembung, tenggiri, merah, parang, senangin, asam sembilang dan beberapa jenis ikan lagi.
“Selain itu saya turut menyediakan asam pedas kepala ikan seperti kepala ikan merah, tenggiri, jenahak dan ikan duri yang mendapat banyak sambutan. Ada juga ikan goreng dan telur dadar bagi kanak-kanak yang tidak boleh makan pedas.
“Istimewanya di Kantin Asam Pedas ini saya menyediakan set makan tengah hari dengan harga yang amat berpatutan. Bagi semangkuk asam pedas bersama nasi, ikan masin, telur masin, ulam-ulaman, sambal belacan dan sirap (yang boleh ditambah percuma), harganya cuma RM10 hingga RM15 sahaja. Harga untuk kepala ikan pula ialah di antara RM30 hingga RM45,” kata Roslin yang berasal dari Melaka.
Menurut ibu kepada tiga orang anak ini lagi, walaupun kesemua hidangannya adalah asam pedas namun dia tidak memasak semuanya sekali gus. Jika terdapat 10 jenis asam pedas, dia akan memasak dalam 10 periuk supaya setiap rasa asam pedas itu berbeza. Jika dimasak sekali gus, rasa ikan-ikan yang dimasak akan bercampur-baur.
Ujarnya, ikan-ikan yang dimasak itu pun dipastikan segar dan tidak membeli ikan beku supaya rasa ikan tersebut ‘manis’ setelah dimasak.
Tambahnya, sebaik dibuka pada pukul 11 pagi, pelanggan sudah ramai memenuhi. Itu belum lagi dengan pelanggan tetap yang datang bersama dengan mangkuk tingkat.
Setiap hari mereka akan membeli masakan asam pedas yang berbeza. Pelanggan masih akan makan di sini sehingga restoran ditutup pukul 4.30 petang.
Dinamakan Kantin Asam Pedas, kata Roslin, nama kantin dipilih kerana restorannya dikunjungi oleh ramai golongan pelajar universiti dan kolej seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Multimedia, Kolej Consist dan sebagainya.
Oleh itu, dia mahukan mereka merasai suasana yang santai seperti di kantin universiti mereka.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Kantin Asam Pedas boleh memuatkan seramai 45 orang pelanggan pada satu masa. Roslin turut menyewakan ruang restoran bagi pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di sini dengan bayaran RM300 dan tidak termasuk makanan.
Kepada yang ingin menikmati asam pedas di Kantin Asam Pedas bolehlah berkunjung ke EG 14, Blok E, Residensi Bistaria, Ukay Perdana, Hulu Kelang atau menghubungi Roslin di 012-6665552.

KAFE PULAU INDAH

Mencari Kafe Pulau Indah agak mencabar, kawasannya agak tersorok dengan sekelilingnya banyak lagi barisan kedai kosong. Apa yang ada hanyalah sebuah hotel di atas restoran berkenaan.
Walaupun demikian, sejak dibuka Oktober tahun lalu, Kafe Pulau Indah telah mempunyai pelanggan tetapnya, sendiri bukan saja sekitar Bandar Armada Putra tetapi juga dari kawasan berhampiran seperti Banting, Putrajaya malah Rawang.
Terperanjat melihat menu yang tiba. Semangkuk mi bandung special dengan dua ekor ketam dan dua ekor udang sederhana besar memang membangkitkan selera. Kemudian tiba pula kuetiaw tomyam dengan dua ekor ketam, dua ekor udang ditambah dengan makanan laut seperti kupang dan sotong.Nasi goreng pattaya special juga ditambah dengan ketam dan udang serta dicurahkan kuah yang lazat.
Dan tidak lupa dengan menu istimewa, nasi ayam ibu yang mula diperkenalkan oleh Ropiah Aziz semasa mula-mula berniaga warung di Pangsapuri Sri Bayu Bandar Armada Putra, Pulau Indah. Ditambah dengan minuman laicikang, epal asam boi serta bandung soda laici.
Pengalaman
Berpengalaman bekerja di kedai makan selepas tamat sekolah dan perasaan ingin belajar menyebabkan Ropiah mencuba dan mempelbagaikan resipi yang dilihat daripada majikannya sebelum ini.
Ropiah yang amat mementingkan kualiti masakannya, akan ke pasar setiap hari bagi mendapatkan bekalan bahan mentah yang segar bukan saja ikan, udang, ketam, daging dan ayam tetapi juga sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Saya tidak berminat untuk mengambil bahan mentah daripada pembekal kerana saya tidak boleh memilih,” katanya yang dibantu oleh suami, anak serta ahli keluarga lain dalam mengendalikan restorannya.
Buat masa ini anaknya Nurul Azuwana, 24, graduan bidang kulinari dari UNITAR banyak membantu keluarga dalam perniagaan makanan sejak berusia belasan tahun.
Restoran yang dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam menyediakan menu masakan panas Melayu dan Siam serta sering menerima tempahan makanan daripada syarikat di sekitar Pulau Indah bagi majlis mereka.
Berita baik untuk kaki pancing yang gemar ke Pulau Indah kerana Ropiah sedia menerima tempahan memasak ikan, udang atau ketam dengan harga yang berpatutan.
Bagi mengelakkan pelanggan kecewa, Ropiah menggalakkan pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu sebelum datang kerana restorannya hanya memuatkan 50 pelanggan pada satu-satu masa.

Monday, October 26, 2015

RESTORAN PARANOID KITCHEN-SS15 SUBANG JAYA

SELARI dengan nama restoran, Paranoid Kitchen, begitulah juga apa yang digambarkan atas keputusan empat anak muda ini untuk membuka restoran mereka sendiri di SS15, Subang Jaya, Selangor.
Datang dari latar belakang yang tiada kaitan dengan bidang masakan, ia tidak sesekali mematahkan semangat dan minat Mohamad Fazrin Mohamad Fauzi, Abdullah Fikri Julaihi, Zainal Amir Ahmad dan Zulkifli Hashim daripada memiliki restoran idaman mereka.
Cerita Fazrin, dia dan Fikri yang bekerja dalam bidang binaan bangunan berkongsi minat yang mendalam terhadap bidang masakan. Atas dasar perkongsian minat tersebut, mereka berdua membuat keputusan yang boleh dikatakan “gila” pada ramai yang mendengarnya. Apatah lagi meninggalkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan yang stabil dan memilih untuk melalui cabaran dalam bidang perniagaan makanan.
“Kami bermula daripada kosong. Daripada olahan resipi, binaan ruang dapur hingga ke perabot dan rekaan dalam restoran yang berkonsepkan rustic turut dibuat sendiri supaya dapat menepati cita rasa kami. Tempoh beberapa bulan diambil untuk persediaan  2membuka Paranoid Kitchen dan yang paling ditekankan adalah penghasilan resipi kami.
“Pengalaman Fikri yang pernah bekerja di dapur hotel digunakan sebaik-baik mungkin menjadikan menu di Paranoid Kitchen setara dengan rasa di hotel namun pada harga yang berpatutan,” ujar Fazrin yang merupakan seorang jurutera bertauliah.
Menyediakan pelbagai masakan Barat yang diberi sedikit sentuhan tempatan bersesuaian dengan cita rasa pelanggan, pasukan di dapur Paranoid Kitchen layak diberi pujian atas resipi yang diolah mereka kerana keunikan rasanya yang tersendiri.
Menu-menu standard masakan Barat seperti chicken chop, lamb chop, pasta dan burger antara 19 hidangan yang terdapat di Paranoid Kitchen, namun ketelitian mereka dalam pengolahan resipi menyerlahkan rasa dan tekstur setiap hidangan.
Paranoid Chicken Chop mungkin kelihatan seperti kebanyakan hidangan chicken chop di tempat lain. Namun yang menyerlahkan lagi rasanya adalah adunan tepung, garam, serbuk lada dan rempah-ratus lain yang dirahsiakan resipinya membuatkan ia begitu rangup pada bahagian salutannya walau dibiar lama.
Hidangan ayam panggang Paranoid pula terserlah dengan penggunaan pelbagai herba dalam sebatian perapannya seperti rosemary, serbuk bawang putih, oregano, dicampurkan sedikit paprika dan sentuhan madu untuk memberikan rasa manis semula jadi.
Jangan terkejut jika memesan Lamb Chop Paranoid kerana saiznya yang besar amat berbaloi dengan harganya. Dilumur dengan rempah-ratus untuk tempoh yang sekejap sahaja bagi mengekalkan kesegaran rasa bebiri itu, rasanya lengkap dengan pilihan sos yang disediakan.
Pelbagai hidangan burger turut menarik perhatian. Dengan harga bermula RM6.50, anda boleh menikmati hidangan burger dengan patty daging yang tebal dan memuaskan khas dari dapur Paranoid Kitchen.
Bahagian daging yang dicincang terlebih dahulu digabungkan dengan garam dan serbuk lada serta sedikit madu bagi mengikat patty daging tersebut sebelum dibakar.
Setiap hidangan dijual dengan harga yang berpatutan untuk kelas restoran tersebut atas tujuan menarik minat pelanggan muda terutama golongan pelajar.
Merancang untuk menyediakan makanan tengah hari pula bermula bulan Disember ini, ujar Fazrin, Paranoid Kitchen dalam masa yang sama turut menjalankan perniagaan perabot daripada kayu palet.
Paranoid 
 No. 51-G, Jalan SS15/4c,Subang Jaya, Selangor.
Tel: 03-56125475
Instagram: @paranoidkitchen
Facebook: www.facebook.com/paranoidkitchenss15
Waktu operasi: 5 petang hingga 2 pagi.

Saturday, October 24, 2015

KAFE FOODLAB-IPOH

BAGI penggemar makanan segera, burger bukanlah hidangan asing dalam kalangan mereka. Menu popular itu lazimnya dihidangkan dengan konsep yang sama iaitu menggunakan daging burger yang dilapisi dengan salad segar serta sos cili dan mayonis.
Hidangan seumpama itu sememangnya mudah didapati di mana-mana sahaja sama ada di gerai jalanan mahupun di restoran makanan segera. Namun, pernahkah anda merasa burger sarang? Walaupun bunyinya kedengaran agak pelik, namun ia mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Menampilkan telur goreng ‘bersarang’ sebagai satu kelainan serta menggunakan isi ayam sebenar (bukan isi ayam yang diproses di kilang) membuatkan burger sarang hasil cetusan idea pemilik kafe Foodlab cepat memikat selera para penggemarnya.
Lebih istimewa lagi apabila burger tersebut mampu dinikmati dengan bayaran hanya RM5 bagi setiap hidangan.
Pemilik Foodlab, Saidatul Emma Ahmad Tohar, 24, berkata, menu istimewa itu tercetus selepas dia melihat sambutan orang ramai terhadap hidangan yang menggunakan konsep sama iaitu telur goreng bersarang.
Bertitik-tolak daripada itu katanya, dia bersama-sama dua chef di kafe tersebut mula memikirkan menu baharu yang segar dan menyelerakan dengan menggabungkan menu kegemaran masyarakat hari ini.
“Kita biasanya dihidangkan dengan burger biasa sehingga kadangkala timbul juga perasaan bosan. Oleh itu, kami cuba membawa kelainan dengan memberi pilihan lain kepada penggemar burger.
“Walaupun agak janggal, namun burger sarang cepat menangkap hati penggemarnya. Lebih menarik lagi apabila kami turut menggunakan sos hasil ramuan istimewa yang eksklusif daripada chef di kafe ini,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Mengulas mengenai pembukaan Foodlab yang merupakan kafe santai terbaharu di Ipoh, Perak, Saidatul Emma berkata, kafe itu dibuka pada 8 Ogos lalu dan menerima sambutan menggalakkan, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan sekitar bandar raya itu malah pihak luar.
Katanya, kafe yang boleh memuatkan 20 pelanggan pada satu-satu masa itu juga menyediakan menu makanan Barat lain pada harga yang sangat murah iaitu bermula RM5 dan minuman pula, RM3.
“Saya seorang penggemar makanan dan apabila pergi ke kedai-kedai makan, saya sering berasa kecewa dengan hidangan yang ‘biasa-biasa’ sahaja, sedangkan bayaran yang dikenakan agak mahal.
“Sebab itu, saya membuka Foodlab. Ini kerana saya mahu pengunjung yang datang ke kafe ini berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan dan gembira dengan apa yang dibayar kerana harga makanan di kafe ini agak murah,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Saidatul Emma berkata, sambutan amat baik sehingga ada pelanggan sanggup memandu jauh dari Kuala Lumpur semata-mata mahu singgah makan di kafenya.
Malah katanya, ekoran ruang yang terhad, ada pelanggan yang sanggup menunggu giliran bagi membolehkan mereka dapat duduk untuk menikmati hidangan.
“Disebabkan sambutan yang baik dan untuk keselesaan pelanggan, kami dalam perancangan membuka restoran baharu agar lebih ramai pelanggan dapat dimuatkan dalam satu-satu masa,” katanya.
Selain burger sarang, Foodlab turut menyediakan menu lain termasuk chicken chop, spageti carbonara dan aglio olio, chicken wrap dan meatball.

Sunday, October 18, 2015

GAFFE & CO- THE GARAGE, JALAN HULU KELANG

Kebelakangan ini, semakin banyak pengusaha kafe atau restoran berlumba-lumba menghias dan mencipta kelainan di dalam kafe dan restoran mereka untuk menarik kedatangan pengunjung, lebih-lebih lagi golongan remaja.
Begitu juga dengan Gaffe&Co yang terletak di The Garage, Jalan Hulu Kelang, Kuala Lumpur. Berkonsepkan ‘family dining’, kafe yang dibina daripada kontena ini mempunyai ruang yang lebih santai dan tenang untuk mereka yang mahu lepak bersama keluarga atau rakan.
Ditambah dengan hiasan dinding yang vintaj seperti televisyen, radio dan topi menambahkan lagi keunikan kafe berkenaan. Perabot dan beberapa perhiasan lain yang diperbuat daripada barangan terpakai juga menjadi perhatian pengunjung.
Menurut pemiliknya, Tengku Azman Tengku Chik, 42, kafenya menawarkan pelbagai menu istimewa terutamanya makanan barat bermula dengan sarapan sehinggalah menu utama.
“Antara menu yang paling digemari pelanggan ialah Gaffe BBQ Glaze Shortribs, Smoked BBQ Salmon with Potato Cake dan Grilled Unique Meltique Beef with Roasted Potato.
“Selain itu, Pizza Supreme yang ditabur dengan hirisan sosej, cendawan, cili benggala, terung dan paperoni juga menjadi kegilaan penggemar makanan yang berasal dari Itali ini,” katanya kepada S2.
Berbeza dengan kafe-kafe lain, Gaffe&Co menghidangkan pelbagai jenis kopi dan teh iaitu espresso americano, caramel machiato, toffe nut latte, flat white, green tea latte, english breakfast tea, earl grey dan macam-macam lagi.
Aneka frappe, smoothies, milk shake, soda, minuman coklat dan franilla iaitu ice-blended vanila tanpa kopi turut disediakan di kafe tersebut.
Jika mahu menambahkan kelazatan ketika menikmati minuman, pencuci mulut puding cheesy creamy dengan perisa blueberry, epal dan mentega kacang adalah pilihan terbaik.
Kafe ini beroperasi setiap hari pada pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi, manakala Sabtu dan Ahad pada pukul 9 pagi hingga 1 pagi. Selain kafe, terdapat pelbagai kedai di The Garage, antaranya kedai pakaian wanita dan kanak-kanak, barangan Star Wars, perkhidmatan mencuci kasut dan pelbagai lagi.

Friday, October 16, 2015

LPIZZ PIZZA-PIZZA BUMIPUTERA BERKUALITI

Menyusuri lot kedai di Jalan Gapi 1A/2, Seksyen 1, Antara Gapi, Serendah, Selangor, pastinya hidung akan tercari-cari bau wangi doh roti yang dibakar. Malah gambar piza pada iklan yang dipenuhi keju melimpah ruah dengan pelbagai topping pasti membuatkan anda terpaku seketika dan langkah kaki laju singgah ke premis berkenaan.
Itulah keistimewaan Lpizz Pizza. Bukan sahaja wangi, tetapi tekstur rotinya yang lembut dengan lapan jenis pilihan menu antaranya ayam lada hitam, ayan BBQ, ayam cendawan, hirisan ayam, cendawan, makanan laut dan daging segar, pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja yang melihat.
Piza keluaran syarikat bumiputera, MFZ Maju Bersatu Sdn. Bhd., itu telah beroperasi di lot kedai berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Bermula dengan modal RM22,000 dan beroperasi di sebuah gerai di pasar malam di Batang Kali, Lpizz Pizza yang diusahakan bersama Koperasi Bersatu Ilmuan Selangor Berhad, berkembang sehingga mempunyai enam buah gerai yang beroperasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur hanya beberapa bulan kemudian.
Diterajui oleh Mohd. Feroz Zainal selaku pengarah urusan syarikat, Lpizz Pizza semakin dikenal apabila mula mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan dengan nilai jualan mencecah RM600,000 setahun.
Pengalaman selama 21 tahun sebagai chef di sebuah hotel terkemuka negara, membekalkan ilmu dapur yang sangat berguna kepada Mohd. Feroz dalam menghasilkan doh piza yang lembut dan sedap, malah kelembutan roti piza itu mampu bertahan selama tiga hari berbanding piza lain di pasaran.
Menurutnya, dia memilih untuk mengkomersialkan piza sebagai konsep perniagaan kerana proses membuat makanan berkenaan lebih mudah selain bahan mentah yang tidak banyak perlu difokuskan, malah merupakan makanan yang dinikmati seluruh dunia.
Jelasnya, apa yang istimewa pada Lpizz Pizza adalah rahsia kelembutan dohnya, selain harga yang dijual juga berpatutan kepada pelanggan serta penggunaan bahan-bahan yang dijamin halal.
“Resipi roti ini diadun dengan resipi saya sendiri selain bahan-bahan mentah yang kita peroleh juga segar dan melalui pembekal yang halal.
“Selain mementingkan kualiti bahan-bahan yang digunakan, menu yang kita perkenalkan juga mengikut sunah makanan yang disarankan Islam seperti makanan laut tidak boleh dicampurkan dengan daging kerana tidak elok untuk proses penghadaman.
“Lpizz Pizza juga bukan sekadar perniagaan berkonsepkan keuntungan sahaja, tetapi melalui perniagaan ini kita juga membantu mana-mana individu yang mahu memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai produk dan modal yang besar,” katanya yang ditemui pada program Media Discovery anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di kedainya di Serendah, baru-baru ini.
Hadir sama pada program separuh hari berbentuk lawatan bersama media itu ialah Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudi.
Dalam pada itu, hanya beberapa tahun beroperasi, Mohd. Feroz melangkah setapak lagi apabila bakal menjadikan Lpizz Pizza sebagai sebuah perniagaan francais.
Pada Oktober 2013 syarikat itu memohon sebagai peserta Program Business in Tranformation (BIT) yang diperkenalkan PNS.
Syed Kamarulzaman berkata, Program BIT merupakan program tranformasi perniagaan untuk usahawan kecil menjadi lebih kompetatif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan agar dapat menjana lebih keuntungan.
Katanya, di bawah program ini, peserta yang terlibat akan diberi latihan keusahawanan, bantuan kewangan serta pembiayaan sehingga RM500,000 untuk pra-francisor manakala RM25,000 untuk pra-francaisi.
Sementara itu, bakal mempunyai francais sendiri hujung tahun ini, Lpizz Pizza berjaya meraih hasil jualan yang mencecah RM1 juta setahun ketika ini dengan sasaran nilai jualan RM2.5 juta tahun depan.
Berhasrat mahu Lpizz Pizza maju lebih jauh, Mohd. Feroz bakal memperkenalkan konsep kiosk bergerak (mobile ) dengan sasaran 10 buah Lpizz Pizza diwujudkan pada tahun depan dan 42 francaisi di seluruh negara.
“Kami menawarkan pakej francais yang mampu milik dengan kemudahan meja lipat mudah alih, peti sejuk, set ketuhar, set battpack serta khemah spatula, botol sos dan lain-lain,” jelasnya.
Setiap perniagaan pasti ada cabaran. Menurut Mohd. Feroz, sudah pasti cabaran yang dihadapi oleh usahawan tempatan dalam perniagaan berasaskan makanan Barat adalah persaingan produk yang sama yang jauh lebih popular dan wujud daripada mereka.
Pun begitu jelasnya, dia tidak takut, malah keadaan itu memberinya lebih semangat untuk menghasilkan kualiti piza yang lebih baik dan menepati selera pelanggan.
“Berkecimpung dalam perniagaan membuat makanan pastinya masalah kewangan adalah cabaran biasa dan pada saya pengurusan kewangan adalah sangat penting selain kualiti piza yang dihasilkan juga perlu lebih baik.
“Bercakap soal saingan memang banyak tetapi saya tidak takut kerana saya percaya selain menawarkan piza yang sedap dan lembut, Lpizz Piza juga merupakan satu cabang pekerjaan yang dapat membantu mereka yang mahu mempunyai perniagaan dengan modal yang rendah.
“Saya yakin dengan konsep yang kita tawarkan ini mampu mengekalkan Lpizz Piza di pasaran setanding dengan piza yang telah popular,” katanya.

Monday, October 12, 2015

MY STORY CAFE-KOTA KEMUNING

Melangkah ke Restoran My Story, bagaikan berada di rumah sendiri yang selesa dan menyenangkan. Susunan meja dan kerusi berwarna putih dengan meja kayu memberikan kelainan.
Di satu sudut terdapat sofa dan dinding dengan pelbagai lukisan dan catatan. Ini bagi membolehkan mereka yang membawa anak kecil dapat makan dengan tenang sementara anak-anak menconteng dan bermain.
Melihat kepada menu pula membuatkan pelanggan boleh terus terliur. Di My Story bukan saja pelanggan boleh memilih menu Barat hasil tangan chef berpengalaman yang pernah berkhidmat di beberapa hotel lima bintang di ibu kota atau menu tempatan yang juga dihias bagai makan di hotel.
Hidangan lamb chop yang dihidangkan dengan sos dan kentang putar yang dikisar sendiri memberikan rasa kentang sedar dengan rempah perapan hirisan kambing yang sekata memberikan rasa sekata.
Lebih kepada rasa tempatan, sekadar manis berempah. Lazimnya cita rasa Barat untuk kambing dipanggang diperap lada hitam dan garam dan sedikit herba Inggeris. Tapi di My Story kelebihan pada daging yang diperap dengan rempah dan bila dipanggang, menyempurnakan rasa daging kambing yang enak, lembut dan telah begitu sebati dengan rempah diperap.
Jika mahukan makanan laut boleh saja memesan Ocean platter yang terdiri daripada lobster, clam dan scallop yang diadun dengan sos enak dihiasi dengan salad, anak jagung dan tomato. Atau Baby crab mango salad dengan rasa anak rangup ditambah dengan hirisan kerabu mangga yang diadun agar memberikan rasa yang sempurna.
Bagi mereka yang gemar hidangan ayam boleh mencuba Grilled quarter chicken with buttered vegetable di mana ayam yang diperap herba dipanggang dan dihidangkan dengan sayuran dan kentang putar serta sos lada hitam.
Mereka yang gemar makanan Cina, apa kata cuba Fried char kuey teow with scallop, salah satu hidangan yang menjadi kegemaran pengunjung. Biarpun tidak terlalu pedas tetapi apabila ditambah cili jeruk atau cili potong membuatkan tidak cukup makan sepinggan.
Walaupun baru dibuka 22 Julai lalu setelah bertukar hak milik tetapi My Story sudah pun mempunyai pelanggan tetapnya sendiri. Bagi memenuhi permintaan pelanggan, pemilik My Story pasangan Asrul Husni Husain dan Rahimah Abdul Rahim melanjutkan waktu operasi restorannya.
“Sebelum ini waktu operasi dari jam 12 tengahari hingga 10 malam tetapi bermula hari ini, kami mula beroperasi jam 9 pagi hingga 10 malam bermula dengan pelbagai hidangan pagi menu Barat dan tempatan.
“Sementera waktu tengahari, kami menyediakan pakej makan tengahari dengan harga yang berpatutan. Kami juga sedang berusaha memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kami menambah beberapa menu baru,” katanya.
Asrul berkata, setiap bulan mereka akan mengadakan ujian rasa makanan bagi menjaga kualiti makanan yang dihidangkan dan menyemak menu makanan yang mana perlu digantikan dengan menu yang lain.
My Story Cafe juga menerima tempahan untuk pelbagai majlis seperti hari jadi, pelancaran produk atau majlis korporat.
My Story Cafe Sdn. Bhd.
No 8, Jalan Anggerik Vanilla Y31/Y,
Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
Tel: 03 52320452
Emel: mystorycafekk@gmail.com
Waze: http://waze.to/lr/hw28lne0jt
Facebook: mystorycafekk
Waktu operasi: 9 pagi hingga 10 malam (setiap hari)