Kelong Sri Pantai janji kelainan
Jeti Pontian Besar menanti kehadiran pengunjung untuk ke Kelong Sri Pantai.
Kelong Sri Pantai janji kelainan
Angin laut yang bertiup menjanjikan ketenangan kepada pengunjung di atas kelong.








































Daerah Pontian, sememangnya dikenali sebagai destinasi pilihan kaki pancing kerana mempunyai pelbagai lokasi menarik khusus bagi aktiviti memancing.
Terletak di sepanjang jajaran Selat Melaka, bermula dari Penghujung Benua Asia iaitu Tanjung Piai, kemudian ke Kukup, sehinggalah ke Benut, menawarkan pelbagai lokasi buat kaki pancing.
Bagi mereka yang tidak gemar memancing di tepi pantai dan mahukan
cabaran memancing di tengah lautan, Kelong Sri Pantai boleh dijadikan pilihan.
Terletak kira-kira tiga kilometer dari persisir pantai Pontian Besar, perjalanannya hanya memakan masa 20 minit dari jeti Pontian Besar dengan menaiki bot pelancong atau bot nelayan.
Yang pasti, perjalanan ke kelong dengan menaiki bot tidak membosankan kerana pengunjung akan disajikan dengan pemandangan kampung nelayan di sepanjang pesisir pantai yang menarik.

Rakan pencetus idea

Pengusaha Kelong, Kamal Abu Bakar, 65, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Kamal, adalah individu yang bertanggungjawab membina kelong itu dengan bermodalkan hampir RM1 juta, kira-kira lima tahun lalu.
Menurutnya, kewujudan kelong ini adalah daripada cetusan idea beberapa rakannya yang datang memancing di Pontian Besar, seterusnya memberikan pendapat untuk membina kelong berhampiran dengan Pulau Pisang.

"Sekiranya cuaca baik, pengunjung kelong dapat melihat Pulau Karimon, Indonesia dan Gunung Pulai yang cukup memukau pandangan," katanya kepada Sinar Harian.
Pak Kamal berkata, kemudahan chalet yang disediakan di atas kelong tersebut, memberi pilihan kepada kaki pancing untuk datang bersama keluarga atau rakan dan bersantai di tengah lautan.
Menurutnya, sebanyak empat bilik dan satu dorm yang boleh memuatkan seramai 25 orang disediakan di chalet tersebut.
"Selain itu, kelong ini turut mempunyai sebuah dewan mesyuarat yang boleh menampung kira-kira 40 orang dalam satu masa dan kemudahan surau," katanya.

Tawar harga berpatutan

Harga pakej yang ditawarkan pula amat berpatutan iaitu RM130 sehari termasuk tambang bot, makan malam, sarapan pagi dan penginapan.
Kebanyakan ikan yang ada di kawasan Kelong ini antaranya ikan pari, tebal pipi dan jenahak.
Pak Kamal berkata, dalam masa sebulan, kira-kira 200 hingga 300 pengunjung termasuk dari jabatan kerajaan dan swasta mengadakan kursus dan sebelah malamnya mereka memancing selain turut mengadakan program motivasi, di sini.
Menurutnya, kedudukan Pontian yang hampir dengan Johor Bahru iaitu hanya memakan masa kira-kira 45 minit sahaja memudahkan ramai kaki pancing khususnya dari Johor Bahru datang ke kelong pancingnya.
"Anda juga boleh melihat matahari terbenam di waktu senja, yang pastinya amat menakjubkan sekali, di samping dapat menghirup udara yang bersih jauh dari pencemaran," katanya.