BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, June 29, 2013

SASAR 100 PENGUSAHA MAKANAN MILIKI SIJIL HALAL

Hanya 30 premis miliki sijil halal
Kakitangan JAIJ memberi penerangan mengenai produk-produk halal yang dipamerkan kepada peserta seminar.
PONTIAN – Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 pengusaha makanan terutamanya dari industri kecil dan sederhana (IKS) di Pontian memiliki sijil halal sehingga akhir tahun ini.

Penolong Pengarah (Unit Pengurusan Halal) JAIJ, Samsudin Paimi berkata, setakat ini, hanya 30 pengusaha di Pontian memiliki sijil berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan data dimiliki pihaknya, kebanyakan pengusaha atau pemilik premis makanan yang mempunyai sijil halal terdiri daripada syarikat yang beroperasi pada skala besar.

“Pelbagai langkah diambil JAIJ bagi memupuk kesedaran dan memberi penerangan kepada pengusaha-pengusaha makanan. Antaranya penganjuran seminar mengenai pensijilan halal di setiap daerah dan penerangan daripada pegawai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Seminar Pengenalan Prosedur Permohonan Pensijilan Halal Peringkat Daerah Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, baru-baru ini.

Seramai 150 pengusaha makanan termasuk bukan Islam terlibat dalam seminar yang turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Pontian (MDP) itu.

Samsudin berkata, penglibatan pengusaha bukan Islam di dalam seminar itu dilihat membantu peserta memahami lebih lanjut mengenai prosedur bagi mendapatkan sijil halal.

“Manakala penyertaan dari pengusaha IKS terhadap seminar ini juga sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha kecil tidak berminat untuk memohon sijil halal dengan memberi alasan hanya melakukan perniagaan secara kecil dan selaku orang Islam sudah pasti produk mereka tidak harus diragui.

RESTORAN HJ. SHARIN LOW GRAND-BB UDA JB

Antara menu istimewa yang dimasak semasa Food Review masakan Cina Muslim di Restoran Haji Sharin Low, 
Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 26 Jun - Anda gemarkan masakan Cina yang halal? Jika ya, anda boleh berkunjung ke Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Padi 1, Bandar Baru Baru Uda yang menghidangkan pelbagai menu masakan berkenaan.
Restoran yang mula beroperasi pada 8 Ogos tahun lalu merupakan cawangan yang Ke-18 milik Restoran Hj. Sharin Low Grand yang menawarkan masakan Cina Muslim berkonsepkan makanan Cina asli.
Penyelia restoran berkenaan, Linah Lim, 55, berkata, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih enam cawangan di sekitar Lembah Klang, antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.
Selain itu, pihaknya turut membuka cawangan di Ipoh, Kota Bharu, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diuruskan sendiri oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand.
Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata: "Negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang amat mengenali dan saling menghormati sesama mereka baik dari segi adat-istiadat, sosio budaya dan agama.
"Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya baik termasuk dari segi makanan yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan dengan membuka restoran-restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.
Menurutnya, selain mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihaknya turut memastikan semua bekalan termasuk ayam, itik, daging lembu dan kambing bersembelih, begitu juga dengan pelbagai jenis sos yang kesemuanya bertanda halal.
Semua bekalan itu diperoleh daripada pembekal Islam di Pasar Borong Pandan, dekat sini, katanya.
Linah memberitahu, sebahagian besar menu yang dihidangkan merupakan resepi 'eksklusif' yang diwarisi oleh Sharin menerusi keluarga yang memang mahir dan pakar dalam bidang masakan Cina.
"Di restoran kami, antara menu yang paling mendapat sambutan termasuk udang lok, ikan kukus nyonya, telur masin kwai tau meow, ayam limau, ayam nanas, sayur dragon halia, kerapu ala Shanghai, ayam dan itik panggang, asparagus belacan, terung bersama daging cincang, anak ketam dan sotong bermadu.
"Kita turut menghidangkan beberapa jenis minuman istimewa termasuk kedondong, teh tiga lapis, lo han guo serta pencuci mulut seperti pan cake, bubur sengkuang putih dan bubur jagung manis," katanya.
Mengenai harga, pihaknya memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah dan untuk memenuhi kemampuan mereka, pihaknya menyediakan pakej-pakej mengikut keperluan pelanggan.
Sebagai contoh, pihaknya menyediakan pakej serendah RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428 bergantung kepada jumlah orang dan jenis menu yang dipilih.
"Bagi membolehkan golongan menengah ini menikmati makanan Cina Muslim, kita juga membuat keputusan bijak dengan membuka rangkaian restoran di kawasan di penempatan Melayu yang berpendapatan sederhana.
"Bagi kami, dalam bisnes bukan sekadar untuk mengaut keuntungan, tetapi yang lebih penting para pelanggan mendapat kepuasan dengan wang yang dibelanjakan bagi menikmati juadah yang dihidangkan," katanya.
Linah memberitahu, restoran tersebut yang dibuka setiap hari mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam mendapat sambutan menggalakkan terutama hujung minggu bukan sahaja daripada warga bandar raya ini, malah rakyat Singapura.
Bagi mengendalikan restoran itu, pihaknya mempunyai 14 pekerja termasuk tiga tukang masa yang mahir.
Berikutan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya bercadang membuka empat lagi cawangan di sekitar bandar raya ini termasuk di Tebrau, Kulaijaya, Nusajaya dan Pasir Gudang.
Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang restoran itu atau membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 016-7315653 atau 016- 7461673 (Yati).

LAMAN GRILL STEAK & BAR-B-QUE-SEKSYEN 13 SHAH ALAM

Sentiasa memastikan kualiti masakan yang disajikan kepada para pelanggannya berkualiti.

KEPUASAN menikmati stik bukan sekadar terletak pada tekstur daging yang lembut, sebaliknya rasa rempah yang sebati dengan daging serta hidangan sampingan yang menarik mampu menambah keenakan sajian.
Keenakan daging stik akan bertambah sedap apabila dihasilkan daripada daging segar berkualiti.
Ini akan menjadi satu hidangan yang cukup hebat apabila dipanggang dengan sempurna agar aroma dan rasanya tidak hilang.
Untuk itu, bagi mereka yang ingin menikmati hidangan stik atau masakan Barat, salah satu restoran yang menawarkan hidangan tersebut ialah Laman Grill Steak & Bar-B-Que.
Terletak di G33, Blok 5, Laman Seri Business Park, Persiaran Sukan, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, restoran ini menawarkan pelbagai jenis masakan Barat yang terdiri daripada daging lembu, ayam, kambing, dan tidak ketinggalan makanan laut dan juga ikan.
Sememangnya dihasilkan daripada resipi asli masakan barat, bagaimanapun, menurut pemilik restoran tersebut, Chef Zubir Md. Zain, sedikit sebanyak resipi asal telah pun diolah agar bersesuaian dengan selera masyarakat tempatan.
Dibuka sejak tiga tahun lalu, Chef Zubir menyatakan bahawa pembukaan restoran tersebut bersesuaian dengan kepakarannya di dalam masakan Barat.
"Kekuatan saya sememangnya dalam bidang masakan Barat kerana itu yang saya belajar ketika di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
"Bagaimanapun masakan Barat yang ditawarkan di Laman Grill sedikit sebanyak telah diolah rasanya agar bersesuaian dengan cita rasa masyarakat tempatan terutama sekali orang Melayu.
"Yang pasti selain bahan-bahan yang digunakan adalah bahan tempatan, setiap masakan di sini juga berbeza mengikut bahan yang digunakan," ujarnya yang juga merupakan salah seorang juri program realiti masakan, MasterChef.
Tambah beliau, bagi memberi kepuasan kepada pengunjung, semua daging yang digunakan diimport.
Bagaimanapun, jelas Chef Zubir, setiap pengunjung jangan berasa was-was kerana kesemua daging yang diimport itu telah disahkan halalnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Malah, kelazatan hidangan di Laman Grill bukan sahaja terletak pada tekstur dagingnya yang lembut tetapi ia turut 'disokong' oleh sos yang digunakan.
Selain stik, pengunjung juga boleh menikmati hidangan utama lain yang tidak kurang lazatnya.
Menawarkan lebih daripada 35 jenis masakan, Laman Grill turut dikendalikan seramai tujuh orang pekerja.
Dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 11 malam, Laman Grill turut memberi kelainan daripada segi dapur yang digunakan.
Mengetengahkan tiga konsep dapur, menurut Chef Zubir ia bertujuan untuk memberi kepuasan kepada para pelanggannya.
"Di sini kami menyediakan tiga konsep dapur iaitu dapur terbuka, terlindung, dan juga show kitchen.
"Bagi ketiga-tiga konsep dapur ini, show kitchen diwujudkan bertujuan untuk memberi peluang kepada para pengunjung melihat sendiri bagaimana hidangan dimasak.
"Ia juga secara tidak langsung dapat memberi kepuasan kepada para pengunjung yangi mana kadang kala mereka ingin melihat bagaimana cara hidangan mereka dimasak secara 'live'," terang beliau lagi.
Boleh memuatkan seramai 120 orang pelanggan pada satu-satu masa, Laman Grill juga menyediakan hidangan mengikut tempahan pelanggan.
Ini bertujuan untuk menyajikan hidangan yang segar dan panas kepada para pelanggan untuk dinikmati.
Bagaimanapun, Chef Zubir turut menyatakan disebabkan hidangan dimasak mengikut tempahan kadang kala setiap masakan mengambil sedikit masa untuk disediakan.
Kepada mereka yang ingin menikmati resipi Chef Zubir bolehlah mengunjungi Laman Grill pada bila-bila masa sahaja. Bagi mereka yang tinggal di sekitar Kajang, Bangi, dan yang berhampiran juga boleh mengunjungi Laman Grill Kajang yang terletak di Taman Putra, Kajang.
Para pelanggan turut dialu-alukan untuk membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya mereka ingin mengunjunginya pada hujung minggu.
Untuk itu orang ramai boleh hubungi talian 03-55237386 (Shahfizah).

NASI LEMAK KUKUS-JLN. BKT. KEMPAS, JB

SAID Mohamad menunjukkan set nasi lemak dengan pilihan lauk ayam goreng atau ikan goreng sambal.

GERAI Nasi Lemak Kukus yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru iaitu sekitar 15 kilometer dari Tanjung Puteri bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat, malah turut dikunjungi masyarakat sekitar bandar raya itu.
Walaupun lokasinya agak terceruk iaitu di Jalan Arong off Jalan Bukit Kempas, namun kewujudan sebuah gerai yang menjual nasi lemak kukus itu masih mampu menarik kedatangan pelanggan yang ramai.
Selain tarikan utama nasi lemak kukus, menu lain yang tidak kurang hebatnya adalah nasi berlauk dengan menawarkan 15 jenis lauk dan sayur.
Pengusaha gerai tersebut, Said Mohamad, 49, memberitahu, antara menu ‘wajib,’ yang mendapat sambutan adalah pelbagai jenis sambal antaranya sambal udang, sambal sotong, sambal telur puyuh, sambal kerang, sambal kupang, selain ayam masak merah, rendang ayam dan daging, ayam goreng berempah serta sayur goreng kobis, kacang panjang dan peria.
Said yang mengusahakan gerai tersebut sejak empat tahun lalu berkata, antara menu yang menjadi kemestian pelanggan ketika menjamu selera di gerainya adalah ayam goreng berempah.
“Disebabkan permintaan yang tinggi, setiap hari saya menyediakan 30 ekor ayam untuk menu tersebut," katanya kepada S2.
Selain ayam goreng berempah, lazimnya pelanggan tidak melepaskan peluang untuk menikmati ‘sambal kosong’ yang dikatakan istimewa kerana rasanya berbeza daripada apa yang sering dinikmati.
“Mengenai sambal, saya memang mempunyai cara tersendiri untuk menyediakannya iaitu selepas cili kering dibuang bijinya, cili tersebut akan dicuci dan dibilas berkali-kali sehingga airnya basuhannya jernih.
“Selepas itu, saya akan masak sambal tersebut selama 12 jam yang mana kaedah ini menyebabkan ‘ibu’ sambal tidak mudah basi dan boleh diletakkan pada suhu biasa sehingga lima hari.
“Maknanya ‘ibu’ sambal tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya.
Bapa kepada sembilan anak ini berkata, ‘ibu’ sambal tersebut lazimnya dibuat seminggu sekali iaitu bagi memenuhi keperluan untuk seminggu berniaga.
Tambah Said, selain mementingkan kaedah memproses cili seperti itu, dia juga menggunakan minyak jagung untuk menumis sambal dan lauk-pauk yang lain.
Selain lauk-pauk, kata Said, dia turut memberikan keutamaan dari segi pemilihan beras dengan menggunakan beras wangi iaitu sebanyak 20 kilogram (kg) untuk nasi lemak dan 10 kg untuk nasi putih setiap hari.
“Kalau fikir nak untung lebih, saya boleh guna beras super, tetapi saya mahu pelanggan berpuas hati dan berbaloi dengan apa yang dinikmati, sebab itu saya pilih beras wangi untuk nasi lemak mahupun nasi putih.
“Begitu juga dengan pemilihan santan yang mana saya tempah khas daripada pembekal santan yang telah dikenal pasti. Bagi saya, santan merupakan elemen penting untuk menentukan nasi lemak itu enak atau tidak," katanya.
Mengenai harga makanan yang dijual, Said memberitahu, ia bermula serendah RM6 hingga RM10, bergantung jenis lauk yang dipilih.
Bagi mengendalikan gerai yang dibuka mulai pukul 5 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat itu, dia dibantu oleh isterinya, Noraini Lam Abdullah, 47, anaknya Nor Atikah, 18, dan dua pembantu lain bagi kerja-kerja persiapan memasak serta membancuh minuman.
Menurutnya, berikutan sambutan yang amat menggalakkan, beliau berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan.
Katanya, cawangan tersebut telah dikenal pasti iaitu satu lokasi di kawasan Taman Sentosa.
“Apabila cawangan itu dibuka kelak, ia akan memenuhi keperluan masyarakat dari sekitar Taman Pelangi, Taman Sri Tebrau, Taman Century dan kawasan berhampiran," ujarnya.

Monday, June 24, 2013

GASTRIK

Penyakit Gastrik atau Gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Di dalam perut, terdapat satu lapisan mukus semulajadi yang melindungi dinding perut daripada bahan kimia berasid semulajadi yang sangat diperlukan untuk proses penghadaman makanan di dalam perut. Keradangan dinding perut berlaku apabila terdapat bahan asing yang menghakis lapisan mukus pelindung di permukaan perut.
Penyakit gastrik merupakan penyakit yang kian berleluasa. Alhamdulillah dengan izin Allah, penyakit gastrik boleh dirawat dan tidak seharusnya menyebabkan anda risau. Sebelum rawatan dimulakan, punca penyakit gastrik harus disiasat supaya kita dapat mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kehilangan lapisan mukus pelindung perut.

Punca gastrik

Gastrik selalunya disebabkan oleh mengambil ubat-ubatan yang tertentu secara berlebihan. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti ubat aspirin atau NSAID (non-steroidal anti-inflammatory). Selain itu, penyalahgunaan alkohol dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori di dalam perut boleh menyebabkan proses keradangan dinding perut. Gastrik turut boleh disebabkan oleh anaemia, refluks hempedu, penyalahgunaan dadah, meminum racun, stres ekstrem dan jangkitan virus tertentu.
Simptom gastrik
Ramai pesakit gastrik tidak mengalami sebarang simptom. Namun, kewujudan penyakit gastrik akan tetap menyebabkan kerosakan kepada dinding perut dan seterusnya menyebabkan kesan-kesan buruk yang lebih serius seperti pendarahan di dinding perut.
Selalunya, pesakit gastrik akan mengalami simptom seperti sakit perut, hilang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah.
Jika penyakit gastrik bertambah sehingga berlakunya ulser perut dan pendarahan di dinding perut, pesakit boleh mengalami masalah najis berdarah yang berwarna hitam atau muntah darah.
Simptom tersebut menandakan penyakit gastrik itu sudah menjadi tahap yang sangat serius dan pesakit tersebut harus dibawa ke klinik atau hospital secepat mungkin.

Rawatan moden

Sebelum rawatan gastrik dapat dimulakan, siasatan dan diagnosis harus dilakukan terlebih dahulu.
Ujian darah lengkap dilakukan untuk mengetahui sama ada pesakit kehilangan darah yang banyak atau anaemik.
Najis turut diperiksa untuk mengesan jika mempunyai sebarang kesan darah. Dalam sesetengah kes, kamera kecil perlu dimasukkan ke perut (endoscopy) untuk diagnosis yang tepat.
Malah, ujian kultur bakteria di dinding perut dilakukan untuk mengesan kehadiran bakteria H. pylori yang boleh menyebabkan keradangan dinding perut.
Rawatan moden gastrik memerlukan pesakit untuk mengelak daripada punca-punca sakit gastrik.
Sebagai contoh, jika penyakit gastrik berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu, maka pesakit harus berhenti mengambil ubat tersebut.
Kemudian, ubat anti-asid seperti Omeprazole dan Famotidine akan diberi kepada pesakit untuk bertindak terhadap kandungan asid yang berlebihan.
Jika didapati bahawa kuman H.pylori adalah punca utama gastrik, rawatan akan melibatkan pemberian ubat antibiotik untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Komplikasi

Komplikasi penyakit gastrik timbul daripada kemusnahan sel dinding perut berterusan.
Tanpa perlindungan daripada mukus semulajadi di permukaan dinding perut, asid perut semulajadi dihasilkan oleh perut akan menyerang sel-sel dinding perut dan menyebabkan kemusnahan dinding perut tersebut.
Kemusnahan yang berterusan akan menyebabkan ulser perut dan pendarahan di dinding perut.
Pendarahan yang tidak terkawal di dinding perut akan menyebabkan anaemia, pening kepala dan pengsan akibat daripada kekurangan darah.
Apa yang merisaukan ialah selalunya pesakit gastrik tidak sedar masalah pendarahan dalaman tersebut sehingga masalah tersebut sudah mencapai ke tahap sangat serius.
Maka, adalah sangat penting bagi pesakit untuk sentiasa berjaga-jaga dengan tanda awal pendarahan dalaman tersebut.
Malah, terdapat bukti klinikal terbaru menunjukkan gastrik kronik boleh menyebabkan penyakit kanser perut.
Rawatan Al-quran
Daripada pengalaman saya, ramai pesakit gastrik yang berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah mengalami perubahan positif ketara selepas mempraktikkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Amalan pembacaan al-Quran secara konsisten setiap hari memberi banyak manfaat dan ketenteraman hati kepada pesakit.
Ramai pesakit Al-Hidayah berjaya membentuk banyak sifat terpuji seperti sabar, tekun dan sangka baik setelah membaca al-Quran setiap hari.
Rasulullah saw ada menyentuh tentang pembentukan sifat sabar dalam diri manusia. Rasulullah saw bersabda: "…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari).
Setiap pesakit gastrik yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jika ada sebarang gangguan makhluk halus.

Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan mengeluarkan gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.
Ayat-ayat tersebut adalah:

Surah al-Buruuj ayat 1 hingga 22
Surah Ghafir ayat 41 hingga 55

Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Buruuj tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah Ghafir tiga kali pada waktu siang.
Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan.
Pesakit harus ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanya dengan izin Allah. Oleh itu, kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah.
Seperti di dalam surah al-Mukminun ayat 111, Allah swt berfirman; “Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya.“

Kesimpulannya, jangan memandang remeh penyakit gastrik. Jika dibiarkan tanpa rawatan, dikhuatiri pesakit akan menghidapi gastrik kronik dengan simptom berbahaya.
Jika merasa anda mempunyai simptom gastrik saya nasihatkan agar tuan atau puan cepat berjumpa pegawai perubatan atau perawat Al-Hidayah untuk pemeriksaan lanjut.
Jangan tunggu hingga gastrik menjadi kronik dan pendarahan dalaman berlaku.
Jika anda adalah pesakit gastrik, tidak kira sama ada tahap awal atau kronik, jangan berputus asa berikhtiar dan berdoa sepenuh hati untuk penyembuhan penyakit gastrik.
Sesungguhnya, setiap penyakit merupakan satu ujian Allah dan turunnya sesuatu penyakit atau musibah bukannya bermakna Allah kejam atau membenci kita.
Musibah merupakan ujian untuk hamba-hambaNya yang beriman. Jangan ingat bahawa kita sudah cukup beriman selagi kita belum diuji Allah dengan musibah atau ujian yang pasti mencabar iman dan kesabaran kita sebagai hambaNya yang hina.

Allah berfirman di dalam surah al-Furqan ayat 75 yang bermaksud; “Mereka itu akan dibalas dengan tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima di dalam syurga itu ucapan selamat di dalamnya."

JEREBU & BAHAYA


TAHUKAH anda fenomena panas yang melanda bumi boleh mendatangkan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesihatan manusia?
Kesan langsung berkaitan dengan peningkatan suhu panas manakala kesan tidak langsung adalah disebabkan cuaca panas seperti kejadian jerebu dan kemarau hingga menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan air untuk minuman dan pertanian.
Bagi negara yang beriklim khatulistiwa, fenomena cuaca panas tidak menunjukkan kesan yang besar disebabkan adaptasi penduduknya adalah lebih baik berbanding mereka yang menetap di negara beriklim sejuk.
Sebagai contoh, semasa berlaku fenomena El Nino pada 1997 dan 1998, negara kita pernah mencatatkan suhu maksimum sehingga 41 darjah Celsius. Bagaimanapun kesan akibat suhu panas ini adalah tidak begitu ketara.
Kini negara berhadapan dengan masalah jerebu yang boleh menyebabkan penyakit seperti serangan asma, gangguan mata dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).
Ketika berlakunya fenomena cuaca panas orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan meminum air dengan lebih kerap serta sentiasa menjaga kesihatan badan.
Apa itu jerebu ? n Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.
n Ia disebabkan oleh campuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.
Apakah bahan pencemaran udara yang bertanggung jawab kepada kesan kesihatan semasa jerebu ?
Bahan utama pencemar udara semasa jerebu termasuk:

Bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter
Ozon
Gas Karbon monoksida
Gas Nitrogen dioksida
Sulfur dioksida

Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan Kesan Kesihatan Apakah Indeks Pencemaran Udara?
IPU ialah indeks yang dibentuk berdasarkan kepada lima bahan pencemar udara seperti yang di atas untuk menunjukkan status kualiti udara dan hubungannya kepada kesihatan dalam pemahaman yang mudah untuk mengambil tindakan seterusnya.
Nilai IPU
Status Kualiti Udara, Diskripsi

0 hingga 50 > Baik
51 - 100 > Sederhana
101 - 200 > Tidak sihat

Apakah kemungkinan kesan jerebu ke atas kesihatan ?

Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap keterukan status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan .
Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan .
Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;

Kesukaran untuk bernafas
Serangan jantung
Gatal-gatal pada tekak
Gatal-gatal pada mata
Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
Gatal-gatal pada kulit

Langkah penjagaan Penutup hidung (nasal mask) mesti digunakan jika indeks pencemar udara (IPU) melebihi 200.Bagaimanapun bagi mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit lelah, jantung dan paru-paru serta warga emas dan kanak-kanak, adalah dinasihat memakai penutup hidung walaupun IPU lebih rendah daripada itu.
n Orang ramai juga dinasihatkan minum air yang banyak, basuh bahagian tubuh terdedah kepada jerebu dan kurangkan aktiviti di luar rumah.
Perokok juga dinasihatkan tidak merokok apabila keadaan udara berada pada tahap tidak sihat iaitu IPU melebihi 100.

RESTORAN MALAYSIA BERTAMBAH DI CHENNAI

CHENNAI, 23 Jun - Restoran makanan Malaysia kini muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan di sini, yang terletak di negeri Tamil Nadu, berikutan kedudukannya yang dekat dengan Malaysia dan peningkatan trafik pengembara antara kedua-dua destinasi.
Restoran yang terbaharu ialah Sri Ananda Chettinad Curry House yang menawarkan pelbagai masakan Malaysia.
"Nasi lemak, mee goreng, maggi goreng, pasembur, roti bom dan roti tisu adalah masakan yang paling terkenal di kalangan pengunjung di sini," kata pemilik dan pengasas restoran V Harikrishnan.
Restoran itu terletak secara strategik di tengah-tengah T. Nagar, Pondy Bazaar, Chennai. Ia terletak kira-kira 14 km dari lapangan terbang, 6.0 km dari Stesen Kereta Api Pusat dan 3.5 km dari Konsulat Jeneral Malaysia.
Restoran itu, yang turut menawarkan kemudahan Hotel Malaysia Inn yang dibuka pada 29 Mei lalu, telah menarik ramai pelanggan, katanya.
"Mereka terdiri daripada sama ada rakyat Malaysia di Chennai atau pengembara di sini, penduduk tempatan yang mengetahui mengenai makanan Malaysia atau mereka yang ingin mencuba masakan baharu," katanya kepada Bernama di sini.
Nasi Kandar Pelita adalah antara yang mula-mula meneroka ke Chennai kira-kira sedekad lepas dan diikuti beberapa rantaian restoran yang lain, yang termasuk New Town Coffee House.
Khabar angin di sini menyatakan beberapa restoran lagi akan dibuka di bandar ini pada masa depan.
"Masih ada ruang bagi beberapa restoran lagi di sini asalkan anda menyediakan makanan yang sedap dan bersih di dalam persekitaran yang bersih," katanya.
"Di restoran saya, hampir kesemua pekerjanya dilatih di Malaysia. Sesetengahnya boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan fasih. Jadi rakyat anda akan merasa selesa di sini," katanya.
Selain itu, sesetengah ramuan utama dibawa dari Malaysia bagi memastikan rasanya kekal sama," kata Harikrishnan, sambil menyatakan restorannya mempunyai sijil halal.
Lokasi restoran itu juga merupakan faktor utama, katanya, yang menyatakan telah mengkaji lokasi pasarannya sejak 2007, bagi memastikan turut mendapat rakan kongsi yang baik.
Hotel berkenaan pula menawar 24 bilik berhawa dingin yang mana 16 daripadanya bilik berkembar deluxe dan lapan suit eksekutif.
Katanya, buat masa ini, pihaknya akan menumpukan pada hotel itu di Chennai walaupun ada permintaan untuk membuka cawangan di Bangalore.
Kini, pihaknya mempunyai 12 restoran, di mana 11 lagi terletak di pelbagai tempat di Malaysia.
Di Malaysia, restorannya menggunakan nama 'Sri Ananda Bahwan' dengan cawangan pertama diwujudkan di Butterworth, Pulau Pinang, pada 1991. -

DIPLOMA PENGURUSAN HALAL


KUALA LUMPUR 23 Jun - QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd. akan menjadi syarikat yang pertama di dunia menawarkan Diploma Pengurusan Halal, jika ia menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk melaksanakan program pendidikan itu, kata Pengurus Besar Syariah dan Pematuhan Halalnya, Mohammad Roslan Saludin.
"Kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada MQA.
"Kami telah pun mengemukakan modulnya dan jika tiada pindaan, kami akan menawarkan program itu secepat mungkin di kolej milik penuh kami, KFCH International College," katanya kepada Bernama semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Perdagangan dan Logistik Halal Global baru-baru ini.
Beliau berkata, QSR Brands, sebagai pengusaha rantaian restoran terbesar di rantau ini melalui restoran-restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas, menyedari pentingnya mempunyai pekerja yang arif tentang halal dan faedah-faedahnya.
QSR mewujudkan program ini bersama dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Roslan berkata, setelah menamatkan pengajian, pelajar-pelajar bukan sahaja mempunyai pengetahuan tentang syariah dan latihan dalam industri halal, malah mereka juga akan tahu cara-cara menjalankan perniagaan dengan teratur.
"Mereka juga akan mempelajari mata-mata pelajaran lain seperti perakaunan dan pengkomputeran," katanya, sambil menambah bahawa graduan dari program ini boleh menjadi eksekutif halal.
Beliau berkata, industri itu kekurangan guna tenaga dalam bidang ini, dan mempunyai pengetahuan dalam pengurusan halal boleh memberikan kelebihan tambahan kepada mereka yang memiliki kemahiran begini.
"Peluang bagi mereka diserapkan dalam pasaran juga tinggi," kata beliau.
Sementara itu, Roslan berkata, oleh sebab semua produk QSR Brand banyak digunakan oleh umat Islam, amat penting bagi mereka menyediakan makanan halal dan pekerja mahir untuk mengendalikan operasi dengan cara yang halal.
Kata beliau, malah pada masa ini, kanak-kanak juga sudah pandai bertanya sama ada makanan yang mereka makan itu halal.
Buat masa ini, syarikat itu mengusahakan hampir 1,000 cawangan di Malaysia dengan lebih 26,000 pekerja dan mempunyai restoran di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India. -

Saturday, June 22, 2013

MURTABAK BAWAH POKOK-PONTIAN


PONTIAN- Bau aromanya mampu membuka selera. Bagi pelanggan setia murtabak Pak Hamid, gerai di hadapan Dewan Jubli Intan Pontian pasti dikunjungi bila teringatkan akan keenakan hidangannya yang tersendiri.
Turut dikenali sebagai 'murtabak bawah pokok', gerai yang berada berhampiran dengan rimbunan pokok sekali gus menjadi tempat pengunjung menikmati hidangan sambil diserikan dengan pemandangan Selat Melaka.
Bagi pengunjung tetap, mereka berpendapat murtabak yang dijual oleh Abdul Hamid Abu, 55, sejak 34 tahun lalu adalah terbaik kerana menggunakan resipi asli dan unik.
Uniknya, setiap lapisan akan diletakkan adunan daging yang mempunyai rasa rempah tersendiri yang dimasak bersama telur dan bawang. Di samping harganya yang berpatutan, gerai Hamid Murtabak tidak putus-putus dikunjungi pelanggan sebaik dibuka pada jam 2  petang.
Malah, dalam beberapa jam sahaja, hampir 50 keping murtabak bersaiz 'king' akan habis dijual. “Setiap hari, tak menang tangan saya hendak melayan permintaan orang ramai yang mahu membeli murtabak, lebih- lebih lagi di bulan Ramadan,” katanya yang turut dibantu anak-anak.
Bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan, dia turut menyediakan perkhidmatan tempahan melalui telefon.
Jelasnya, terdapat lima jenis murtabak di dalam menunya yang boleh dipilih pelanggan mengikut saiz  dam ianya bermula dengan harga serendah RM3.
“Murtabak King yang berharga RM14 adalah paling digemari kerana saiznya yang besar, selain mempunyai lima lapisan,” katanya yang juga adalah pesara Majlis Daerah Pontian (MDP) ini.
Bagi pelanggan yang hendak membawa pulang istimewa ini, murtabak ini akan dibungkus dengan cara tradisi menggunakan daun pisang.
Bagi bekas pesara Majlis Daerah Pontian( MDP) ini, dia sedaya upaya cuba mengekalkan mutu murtabaknya meskipun berhadapan dengan harga barangan yang sedang meningkat.
“Gerai ini sudah dibuka sejak tahun 1978. Ketika itu ia berada di sebelah bangunan Tabung Haji dan selepas terbakar enam tahun kemudian, kami berpindah di gerai berhampiran Terminal Pengangkutan Awam Pontian Lama, “Kami mula beroperasi di gerai baru pada tahun 1998 sehingga ke hari ini,” katanya.

BERI TIPS URUS KEWANGAN

ABU Hassan Alshari Yahaya (kiri) bersama Ahmad Maslan menunjukkan sisipan yang ditawarkan oleh bank dalam program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan, baru-baru ini.

PONTIAN 20 Jun - Sebut sahaja hutang, pasti ramai yang mengeluh kerana masalah itu membelenggu hampir setiap individu.
Hakikatnya untuk memiliki barangan diingini, tidak semua mampu membelinya secara tunai dan pilihan yang ada adalah dengan cara berhutang.
Namun, jika perkara ini tidak diuruskan dengan baik, masalah yang lebih besar pasti akan menanti peminjam termasuk diisytiharkan bankrap.
Bagi membantu rakyat menyelesaikan masalah tersebut, kerajaan memperkenalkan pelbagai program dan antaranya mewujudkan Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara pada 2005 bagi menyediakan khidmat nasihat, bantuan dan pengurusan aduan kepada orang ramai.
Antara perkhidmatan yang diberikan adalah perbankan, insurans takaful dan pembiayaan yang disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
Menurut Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya yang ditemui Utusan Malaysia dalam Program Kesedaran dan Pendidikan Kewangan di Benut di sini baru-baru ini, LINK juga memberikan pendedahan dan kesedaran tentang jenayah kewangan seperti skim cepat kaya dan pelaburan haram.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan, LINK menerima lebih 1.4 juta pertanyaan dan aduan daripada orang ramai menerusi pelbagai saluran.
Pada tahun lalu, BNM membantu seramai 409,468 individu dan usahawan manakala pada suku tahun pertama tahun ini pula, seramai 104,668 mendapat manfaat menerusinya.
"Ini menunjukkan LINK berjaya menepati objektif dan matlamat bagi memberikan kesedaran dan pendidikan kewangan kepada orang ramai supaya mereka dapat menguruskannya dengan baik.
"Seterusnya LINK telah melebarkan sayapnya mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan luar bandar menerusi perkhidmatan bergerak atau MobileLINK dengan menggunakan sebuah bas khas," katanya.
Menurut Abu Hassan lagi, seramai 20,000 individu menerima manfaat menerusi perkhidmatan MobileLINK yang dilaksanakan di 72 buah mukim di seluruh negara tersebut.
Antara perkhidmatan yang disediakan MobileLINK adalah memberikan peluang kepada orang ramai membuka akaun, menyimpan dan mengeluarkan wang yang disediakan melalui pelbagai kaunter bank seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional (BSN), AgroBank dan Bank Muamalat yang menawarkan pelbagai produk termasuk pembiayaan pelaburan, perniagaan, peribadi mahupun Sijil Simpanan Premium (SSP).
Dalam pada itu, orang ramai yang berkunjung ke program tersebut juga berpeluang mendapat khidmat nasihat dan membuat aduan tentang perbankan, insurans dan takaful bagi keluarga mahupun perniagaan.
"Pegawai dan kakitangan bank juga bersedia memberikan khidmat nasihat kepada pengunjung yang kurang arif mengenai sesuatu institusi kewangan, sekali gus merapatkan jurang perbankan dalam kalangan masyarakat di luar bandar," katanya.
Menurutnya, MobileLINK juga memberikan perkhidmatan kaunseling kepada individu yang menghadapi masalah pengurusan kewangan (hutang) serta mendidik mereka menanganinya.
Peranan tersebut dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), merupakan agensi di bawah BNM yang telah memberi khidmatnya kepada 219,995 individu sejak ditubuhkan pada 2007.
Dalam tempoh tersebut, kata Abu Hassan, sebanyak 89,450 kes telah dibawa kepada Program Pengurusan Hutang (PPH) manakala hingga April lalu, 11,998 individu dirujuk kepada AKPK dengan 5,348 dibawa kepada PPH.
"BNM merasakan perlunya mereka yang menghadapi krisis hutang yang serius diberikan bantuan serta pertolongan supaya mereka dapat keluar daripada masalah yang boleh menjejaskan kehidupan seharian," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika merasmikan program tersebut berkata, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan perbankan, BNM telah memperkenalkan 'Ejen Perbankan' pada 2012.
Menurutnya, Ejen Perbankan merupakan saluran baharu bagi pihak institusi kewangan berlesen menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan melalui ejen pihak ketiga seperti Pos Malaysia, stesen minyak, kedai runcit dan sebagainya.
"Kemudahan yang ditawarkan ialah transaksi penerimaan deposit, pengeluaran dan pemindahan wang, pembayaran bil dan bayaran balik pinjaman tanpa perlu pergi ke bandar bagi membuat urusan.
"Ini amat menepati slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' agar orang ramai mudah untuk membuat urusan walaupun di mana sahaja mereka berada termasuk di kawasan luar bandar," katanya.
Beliau yakin langkah seumpama itu dapat menerapkan elemen 'celik' kewangan kepada orang ramai supaya tidak menyimpan wang di bawah bantal, tabung buluh dan tabung ayam, sebaliknya di tempat yang selamat.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan tahun ini bagi memberi peluang rakyat merasa 'dekat' dengan bank pada setiap waktu.

DIM SUM HALAL RESTORAN LITTLE KITCHEN- TELUK INTAN

RESTORAN Little Kitchen di Taman Melur, Teluk Intan, Perak.

WALAUPUN dim sum adalah makanan tradisional masyarakat Cina, namun ia kini boleh dianggap sebagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Mungkin sebelum ini, status halal sentiasa menjadi kekangan kepada umat Islam untuk menikmati keenakan dim sum. Ini kerana tidak banyak restoran yang menyajikan sajian itu memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menyedari itu, restoran Little Kitchen di Teluk Intan, Perak menyediakan dim sum halal sebagai antara hidangan utama khususnya kepada pelanggan beragama Islam.
Terletak di lokasi strategik di Taman Melur, kira-kira lima minit perjalanan berkereta dari bandar Teluk Intan, restoran tersebut menawarkan 10 pilihan dim sum berasaskan makanan laut, antaranya udang, sotong, ketam dan ayam.
Dibuka setiap hari mulai pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam, dim sum yang disajikan di situ disediakan sendiri oleh chef berketurunan Melayu yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang masakan tradisional Melayu dan Cina.
Dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM4 setiap set dim sum dalam bakul kecil, menu tersebut disediakan secara kukus tanpa menggunakan minyak kecuali jenis yang bergoreng.
Pengurusnya, Abdul Rahman Harun berkata, idea membuka restoran tersebut timbul setelah menyedari permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat bukan Cina terhadap makanan tradisional yang telah berusia ratusan tahun itu.
''Restoran ini dimiliki sepenuhnya bumiputera dan dibuka sejak tahun 2011. Kami menyediakan sajian tradisional Melayu, Cina dan makanan barat.
''Hidangan dim sum adalah antara tarikan utama di restoran kami. Ini kerana makanan ini bukan sahaja digemari kaum Cina tetapi juga orang Melayu," katanya ketika ditemui S2.
Abdul Rahman berkata, antara kelebihan restoran tersebut adalah penyediaan sajian berasaskan bahan-bahan segar yang turut diperoleh daripada pembekal bumiputera dari sekitar Bagan Datoh dan Pulau Pangkor.
''Kami tidak menggunakan bahan dim sum segera seperti yang banyak dijual di pasar raya, sebaliknya kami mendapatkan bahan mentah yang segar untuk memastikan mutu hidangan kami sentiasa terjaga," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Tan Siew Bee, 45, berkata, dia kagum dengan kelazatan hidangan dim sum di restoran tersebut walaupun disediakan chef berketurunan Melayu.
''Malah, saya bangga kerana orang Melayu pun boleh buat dim sum yang sedap. Saya selalu bawa ahli keluarga makan di sini kerana harganya juga amat berpatutan," katanya.
Seorang pelanggan Melayu, Hamidah Abdul Razak, 52, anak jati Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu, dia amat meminati hidangan dim sum tetapi tidak banyak restoran yang mempunyai pensijilan halal.
''Setiap kali balik kampung, saya akan singgah di sini. Maklum sahajalah, hendak cari dim sum di restoran yang halal bukan senang," ujarnya.

Wednesday, June 19, 2013

KOMTAR JBCC VS TAMAN TEMA ANGRY BIRD

JOHOR BAHRU 19 Jun - Kehadiran Taman Tema Angry Bird yang akan dibuka serentak dengan Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) pada Mei tahun depan bakal membawa faedah kepada kedua-dua projek itu.
Pengarah Eksekutifnya, Yusaini Sidek berkata, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pernah menjadi tumpuan orang ramai suatu ketika dahulu dan sentuhan baharu yang dikenali Komtar JBCC dilakukan seiring peredaran zaman yang meningkatkan keluasan kawasan sehingga 400,000 kaki persegi.
"Komtar adalah tulang belakang JBCC dan ia akan menjadi tumpuan terbaharu di Johor Bahru nanti.
"Komponen Angry Bird pula akan menjadi tarikan ramai kerana selain taman tema pertama seumpamanya di Asia Tenggara, ia juga adalah Taman Tema Angry Bird pertama di dalam gedung beli-belah.
"Komtar JBCC akan mempunyai pelbagai penyewa dengan pelbagai komponen. Jika suatu masa dulu pengguna mahu mendapatkan barang berkualiti terpaksa pergi ke Kuala Lumpur atau Singapura, tetapi kini kita membawanya ke sini untuk pasaran tempatan serta mereka yang mencari kelainan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Yusaini berkata, pemilihan Taman Tema Angry Bird adalah kerana permainan yang dibangunkan Rovio itu adalah tarikan baharu yang dibawa oleh syarikat Finland tersebut.
Beliau yakin segalanya akan mengikut perancangan kerana kerja pembangunan semula Komtar JBCC berjalan lancar.
Tambahnya, reka bentuk dan perincian taman tema itu ditempatkan di aras tiga dengan keluasan 26,000 kaki persegi sedang dalam proses perbincangan supaya menepati tema dan piawaian yang ditetapkan Rovio.
Menurutnya, taman tema yang menitikberatkan pembinaan semangat kekeluargaan itu dan Komtar JBCC akan saling menyokong antara satu sama lain ditambah dengan kehadiran jenama antarabangsa yang akan didedahkan dari semasa ke semasa.

Monday, June 17, 2013

BUDAYA KERJA SELAMAT ELAK KECELAKAAN














MAJIKAN bertanggungjawab menerapkan budaya kerja selamat dalam kalangan pekerja. - Gambar hiasan
SETIAP kali kita menaiki kenderaan untuk ke tempat kerja, kita selalu melihat pekerja pemotong rumput di tepi jalan bekerja tanpa meletakkan sebarang papan tanda amaran.
Begitu juga ada pekerja di tapak binaan yang tidak memakai topi keselamatan atau pakaian yang sepatutnya. Malah, ada yang menolak kampit simen dengan berkaki ayam.
Apakah yang boleh kita tafsirkan daripada semua keadaan tersebut?
Itulah hakikat budaya kerja selamat di kebanyakan tempat kerja di negara ini. Kita tidak pernah berasa bahawa semua tindakan boleh mengundang risiko kepada diri dan juga orang awam lain.
Ia mungkin tidak menjadi isu sekiranya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, cara kerja selamat wajar diberi perhatian sepanjang masa.
Dalam bulan-bulan terakhir ini, beberapa tragedi wajar membuka mata semua pihak mengenai budaya kerja selamat.
Terbaharu, kejadian penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh dan meragut nyawa orang awam. Ia berlaku tidak lama setelah kita dikejutkan dengan berita sebuah bot ekspres penumpang karam di Belaga, Sarawak yang mengorbankan beberapa orang penumpang.
Kesalahan manusia
Sejak sekian lama orang percaya bahawa apabila sesuatu kemalangan berlaku, ia disebabkan oleh kesilapan teknikal atau sebab-sebab yang di luar kawalan manusia.
Hakikatnya, kajian psikologi pada akhirnya merumuskan bahawa kecuaian manusia adalah punca kepada kebanyakan tragedi besar yang berlaku.
Tragedi letupan reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada tahun 1986 merupakan sejarah malang bagi umat manusia.

KEGAGALAN mematuhi peraturan menyebabkan risiko kemalangan lebih tinggi di tempat kerja. - Gambar hiasan

Ia bukan sekadar mengorbankan nyawa, malah radiasi nuklear terus mengancam nyawa penduduk sekitarnya sehingga hari ini.
Pengkaji merumuskan bahawa letupan nuklear itu diibaratkan sebagai pemandu nakal yang gagal mengendalikan kenderaannya.
Dunia juga menyaksikan bahawa pengabaian terhadap budaya selamat ini telah mengorbankan banyak nyawa.
Pada tahun 2003, kapal angkasa Columbia telah meletup ketika cuba memasuki semula atmosfera bumi. Kesemua tujuh orang angkasawan yang berada dalam kapal angkasa tersebut terkorban.
Walaupun diandaikan terdapat kerosakan teknikal, pasukan panel penyiasat kemudian mendapati banyak isu mengenai budaya kerja selamat yang diabaikan oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama tragedi kapal angkasa meragut nyawa manusia. Pada tahun 1986, kapal angkasa Challenger meletup dan musnah selepas beberapa saat dilancarkan.
Kajian-kajian selepas itu mendapati mereka yang terlibat dalam projek berkenaan telah mengabaikan peraturan keselamatan. Antara lainnya disebabkan oleh kekangan kewangan dan faktor ekonomi.
Peraturan
Begitulah juga yang selalu terjadi dalam banyak kes kemalangan di tempat kerja yang lain. Sikap dan kelakuan manusia itulah yang telah mencetuskan banyak tragedi sehingga mengancam nyawa dan keselamatan orang ramai.

NEGARA dikejutkan dengan kejadian runtuhan susur keluar jalan di Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 6 Jun lalu. - Gambar hiasan

Dalam budaya kerja kita, aspek keselamatan ini masih lagi terkebelakang. Budaya kerja selamat ini pula perlu dimulai oleh pihak pengurusan atau majikan kerana merekalah yang mampu melaksanakan peraturan dan mengawal pekerjanya.
Peraturan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah tidak akan membantu sekiranya majikan tidak memberikan perhatian.
Peraturan yang ada juga tidak dapat mengubah apa-apa sekiranya keuntungan wang ringgit menjadi keutamaan, sekalipun mengabaikan keselamatan pekerja.
Mutakhir ini, dengan kebanjiran pekerja asing yang mungkin datang daripada pelbagai latar belakang dan budaya, perhatian terhadap budaya kerja selamat sepatutnya diperketatkan lagi.
Mereka yang datang dari negara miskin misalnya, mungkin tidak menghiraukan aspek keselamatan kerana apa yang utama bagi mereka adalah untuk mendapatkan upah bagi menyara keluarga mereka.
Mereka juga mungkin berhadapan dengan masalah bagi membaca Prosedur Operasi Standard tertentu yang mungkin ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
Sebab itu, hanya dengan pelaksanaan peraturan yang tegas kita mampu membina budaya kerja selamat.

KARI KEPALA IKAN PAK LAH CAFE-UTM SKUDAI














SEBANYAK 50 jenis makanan disediakan di Pak Lah Cafe bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ramai terutama para pelajar dan kakitangan UTM.
KARI kepala ikan memang enak lebih-lebih lagi jika dimasak dengan ikan segar. Lazimnya, jika bercerita dengan rakan-rakan tentang keenakan menikmati hidangan itu di sesebuah restoran tertentu, mereka juga berkeinginan untuk menikmati hidangan tersebut.
Bagi mereka yang berkunjung atau melawat anak-anak yang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor apa kata anda singgah ke Pak Lah Cafe untuk menikmati hidangan kari kepala ikan.
Kafe yang terletak di Scholars Inn U9 Kolej Perdana itu menawarkan hidangan kari kepala ikan yang dijual pada harga antara RM8 hingga RM20 bagi satu hidangan.
Pemilik kafe berkenaan, Abdullah Che Awang atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, 65, memberitahu, beliau hanya menggunakan ikan segar seperti jenahak, merah, ebek, kaci dan siakap dengan ramuan rempah istimewa. Bahkan, Pak Lah juga tidak menggunakan santan untuk memasak kari.
Menurut beliau, kari kepala ikan di kafenya dimasak dengan sentuhan orang utara dan mamak.
“Saya mula menyediakan hidangan kari kepala ikan ini sejak berniaga di UTM pada tahun 1997. Sambutan daripada para pelanggan sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Secara purata, Pak Lah menyediakan 10 kepala ikan setiap hari.




















HARGA sepotong kari kepala ikan bergantung kepada saiz dan jenis ikan iaitu antara RM8 hingga RM20.
Permintaan kari kepala ikan ini biasanya meningkat pada hujung minggu kerana ramai orang luar datang ke UTM.
Bukan sahaja terkenal dengan keenakan kari kepala ikan, pengunjung yang datang ke Pak Lah Kafe juga sering memesan hidangan nasi beriani Johor.
Pak Lah memberitahu, nasi beriani kambing yang dijual di kafenya menggunakan beras Moghul atau Kashmir.
Nasi beriani itu ditawarkan setiap hari pada harga RM6 sepinggan. Dianggarkan sebanyak 10 hingga 15 kilogram beras digunakan setiap hari khas untuk menyediakan permintaan nasi beriani.
Pak Lah Cafe menghidangkan sebanyak 50 jenis lauk setiap hari merangkumi hidangan tempatan, Barat dan Asia Barat. Kafe tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan para pelajar UTM dan penduduk tempatan malah para tetamu yang menginap di Scholars Inn. Scholars Inn merupakan sebuah hotel butik yang diusahakan oleh UTM.