BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, March 30, 2011

NEGARA ISLAM BERDEPAN TEORI DOMINO

UTUSAN MALAYSIA 30 Mac 2011

SERANGAN Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis ke atas Libya merupakan satu lagi tamparan ke atas negara-negara Islam keseluruhannya, yang bakal menimbulkan satu lagi tekanan perasaan ke atas umat Islam meskipun pemimpin yang memerintah Libya dianggap patut melepaskan kuasanya.
Keadaan yang sama pernah dihadapi oleh kebanyakan negara Islam dan umat Islam apabila AS menyerang Iraq dan Afghanistan. Serangan dan fenomena ini mengingatkan kita kepada satu teori yang dipegang oleh kerajaan AS pada tahun 1950-an hingga 1980-an dikenali sebagai Teori Domino.
Teori ini bukan hasil kajian ilmiah dalam mana-mana disiplin ilmu yang berkembang di universiti khususnya bidang hubungan antarabangsa, sebaliknya satu doktrin oleh pihak kerajaan.
Andaian asas Teori Domino ialah, jika sebuah negara jatuh ke tangan komunis, satu persatu negara dalam rantau berkenaan akan turut jatuh ke tangan komunis seperti jatuhnya buah domino. Doktrin ini dikemukaan oleh Presdien Amerika Dwight Eisehower pada tahun 1954, dan diambil kira sebagai asas penglibatan Amerika dalam Perang di Vietnam pada tahun 1960-an.
Apabila kerajaan AS mengetengahkan Teori Domino kerana kebimbangan kejatuhan negara-negara Asia khususnya Asia Tenggara dan Australia ke tangan komunis, pelbagai strategi telah dilakukan untuk tujuan campur tangan.
Teori ini yang dipegang dalam era perang dingin seolah-olah memberi mandat kepada negara tersebut untuk melakukan sebarang tindakan di mana-mana negara yang mempunyai pengaruh komunis. Penglibatan Amerika Syarikat dalam perang di Indochina dan Semenanjung Korea merupakan manifestasi daripada kepercayaan terhadap Teori Domino.
Kemusnahan pengaruh komunis selepas era Perang Dingin iaitu pada tahun 1990-an, dianggap satu kemenangan kepada Amerika dan sekutu Baratnya. Teori domino turut tenggelam, sama seperti kurangnya populariti teori ini dalam bidang ilmu hubungan antarabangsa.
Namun begitu teori ini mungkin dapat dijadikan satu landasan untuk memahami apa yang menimpa negara Islam masakini yang boleh dijadikan peramal pada masa akan datang. Ada kemungkinan Teori Domino kini boleh dikaitkan dengan negara Islam berasaskan kejatuhan beberapa negara Islam satu demi satu.
Bezanya anutan AS dan negara Barat pada masa lalu ialah kebimbangan komunis akan menjatuhkan satu persatu negara di Asia tetapi, sebaliknya dalam konteks negara Islam, negara Islam seolah-olah perlu dijatuhkan satu persatu selagi tidak tunduk kepada kehendak-kehendak mereka lantaran negara Islam tidak mempunyai keupayaan berbanding Soviet Union atau China. Masalah dalaman negara Islam dengan mudah boleh dimanipulasi dan dijadikan alasan untuk campur tangan.
Banyak alasan digunakan untuk tujuan campur tangan di dunia Islam. Antaranya sesetengah negara Islam dikaitkan dengan terorisme. Sehingga kini satu persatu negara Islam menjadi mangsa campurtangan sama ada Amerika atau kuasa-kuasa Barat seperti penglibatan tentera NATO dan Amerika di Afganistan, tentera Amerika dan Britain di Iraq dan kini tentera Britain dan Perancis di Libya.
Penulis Amerika seperti Samuel P. Huntington dalam The Clash of Civilizations and the remaking of world order dan Nicholas Guyatt dalam Another American Century: United States and the world since 9/11 mula meletakkan Islam sebagi suatu kuasa yang lain selepas komunis yang boleh menjejaskan Barat.
Jika pandangan-pandangan oleh dua pengarang ini diambil kira sebagai sandaran, maka jelaslah, setelah kejatuhan komunis, Islam dianggap ancaman kepada kuasa demokrasi Barat. Akibatnya, Afghanistan menjadi domino mereka yang pertama, diikuti Iraq dan kini Libya.
Oleh itu sebenarnya tidak wujud alasan yang kukuh kepada dua negara berkenaan untuk campur tangan dalam soal dalaman sebuah negara lain yang tidak akan mengancam keselamatan mereka. Kerana kedudukan Gadaffi selepas tahun 1990-an bukanlah ancaman kepada mana-mana kuasa termasuk negara-negara Afrika dan Arab yang lain setelah negara itu dikenakan sekatan sekian lama berikutan isu pengeboman kapal terbang Pan Am di Lockerbie.
Setelah membisu sekian lama nama beliau popular semula dan menjadi liputan media hanya kerana penentangan rakyat terhadapnya. Jadi apakah alasannya Britain dan Perancis campur tangan dengan menyerang Libya sehingga menjadikan Libya sebagai buah domino?
Ada beberapa jawapan yang boleh diketengahkan iaitu; pertama, Gadaffi pernah memusuhi Amerika dan Barat, kedua, Libya seperti Iran dan Syria masih disenarai sebagai negara pengganas menurut pegangan diplomatik Amerika dan Barat.
Ketiga, kesempatan yang boleh diambil oleh kuasa Barat kesan pergolakan yang berlaku kerana tindakan seperti ini mungkin tidak dilakukan terhadap negara lain yang berupa sekutu Barat. Keempat, menguji sikap negara-negara Asia Barat sama ada yang bersekutu dengan Barat atau yang menentang tindak tanduk Barat.
Kelima sebagai satu provokasi ke atas umat Islam dan keenam, agenda melumpuhkan pengaruh negara Islam supaya tidak berlaku seperti yang dialami dengan komunis dalam era perang dingin.
Lantaran itu juga, dengan pergolakan yang berlaku kesempatan diambil sejak dari awal dengan meningkatkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat di Libya. Ini terbukti media Barat seperti Radio BBC setiap hari menyiarkan berita tentang Libya antaranya mengetengahkan peranan muzik seperti muzik rap Barat yang dinyanyikan oleh penentang di negara Arab khususnya di Mesir dan Libya, dengan komentar bahawa penentangan ini bukan menzahirkan manifestasi daripada penentangan terhadap kediktatoran sahaja tetapi pemberontakan terhadap kongkongan yang boleh menghalang kebebasan budaya.
Unsur seperti ini telah sekian lama membarah dalam pemikiran sebahagian besar orang Barat kerana memandang Islam sebagai amalan yang tidak mahu menerima unsur-unsur pembaratan.
Meskipun terdapat perasaan tidak setuju kepada mana-mana pemerintah sama ada bersifat diktator atau tidak, umat Islam biasanya akan melakukan penentangan terhadap campur tangan-campur tangan ini melalui protes seperti demonstrasi dan sebagainya.
Keadaan yang sama dijangka akan berlaku ekoran tindakan Britain dan Perancis di Libya. Namun, kemarahan umat Islam termasuk di Malaysia selepas ini tidak akan menjadi kudis kepada kuasa-kuasa tersebut, kerana mereka menjangkakan sebarang protes akan memberi implikasi secara serta-merta kepada umat Islam di negara itu sendiri seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Apa yang penting bagi kuasa-kuasa Barat seperti Britain dan Perancis ialah mereka kini boleh menjatuhkan satu lagi buah domino. Negara yang pernah menjadi buah domino yang dijatuhkan biasanya akan menghadapi kesukaran untuk memulihkan keadaan mereka meskipun telah ditinggalkan oleh kuasa penceroboh.
Keadaan ini sekarang dialami oleh Afgahnistan dan Iraq yang terpaksa berhempas pulas menyelesaikan banyak pertikaian dalaman.
Dalam keadaan semasa dominasi AS dan kuasa Barat dan sekutunya akan berterusan yang memerlukan masyarakat dunia hari ini menuntut keadilan tanpa didiskriminasi oleh negara-negara berkenaan.
Oleh itu para pakar strategi seluruh negara Islam harus berbuat sesuatu untuk mencari jalan bagi menghadapi ketidakadilan yang berlaku dengan melupakan sebentar pegangan tentang falsafah hubungan antarabangsa kerana kadang kala jiran serantau juga harus disepakati untuk menghadapi pakatan yang boleh memusnahkan negara jiran yang akan turut mengancam keselamatan negara sendiri.
Negara Islam tidak boleh membiarkan mereka menjadi buah domino yang pernah wujud dalam doktrin pemerintahan AS dan kini mungkin wujud secara tersembunyi dalam kalangan negara Barat tetapi dalam bentuk yang lain iaitu "negara-negara Islam harus dilemahkan satu persatu" dan bukannya seperti dalam doktrin Teori Domino yang asal.

No comments:

Post a Comment