BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, May 11, 2011

KTM 2011' GEMPARKAN POTIAN

UTUSAN MALAYSIA: Khamis 12 Mei 2011

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
editjohor@utusangroup.com.my



PONTIAN 11 Mei - Keheningan bandar di Penghujung Benua Asia di sini ini tiba-tiba 'digemparkan' dengan kehadiran kumpulan penunggang basikal dengan pelbagai gaya pakaian awal tahun 1930-an hingga 1970-an.
Mereka menggayakan pakaian peon, kerani, cikgu, posmen, penjual air botol, penghantar barang, ke kelab malam, tentera Jepun, mandor ladang serta penjual nasi kandar yang menggunakan basikal sebagai kenderaan utama pada waktu itu.
Jenama basikal yang digunakan seperti Raleigh, BSAm Hercules, Hooper, Chooper, Sumbeam, Humber dan Robin Hood yang semuanya dihasilkan di London dari awal 1920-an hingga 1970-an. Itulah ragam 220 peserta program Kayuhan Terowong Masa (KTM) 2011 dari seluruh negara termasuk seorang peserta dari Indonesia.
Menurut Pengerusi Penganjur, Mofti Marzuki, 45, program anjuran Kelab Basikal Klasik Johor dengan kerjasama Kelab Basikal Antik itu melibatkan 17 pasukan dari dalam dan luar negara seperti Komunitas Sepeda Tua Indonesia (Kosti), Kelab Speda Klasik Kota Tinggi (KSKKT), Gerek Tua Alor Star (Getuas), Speda Klasik Sijangkang dan Pemilik Basikal Klasik Negeri Sembilan.
"KTM 2011 merupakan aktiviti kayuhan yang mampu mengimbau semula kenangan silam ketika negara pada era 1920-an hingga 1970-an apabila basikal merupakan kenderaan utama masyarakat.
"Namun kegemilangan dan keunikan basikal lama mula pudar dan hilang akibat perubahan arus kemodenan dengan penghasilan kereta, motosikal atau kenderaan awam," katanya ditemui di Stadium Mini Pontian, di sini baru-baru ini.
Program tersebut dirasmikan Penolong Pegawai Daerah Pontian, Nurul Fadila Jaafar yang turut menaiki basikal mengelilingi bandar Pontian sejauh 12 kilometer bersama peserta KTM 2011 bermula dari Dataran Seri Perhentian menuju ke Jalan Taib, Jalan Parit Masjid, Jalan Sekolah Arab dan berhenti rehat di Pusat Perdagangan Pontian serta berakhir di Menara Jam Dataran Sri Perhentian.
KTM 2011 merupakan wadah dan usaha bagi memperluaskan kefahaman masyarakat terutamanya generasi muda mengenai kepentingan hubungan penduduk yang berbilang kaum di negara ini, kata Mofti.
"Pemilihan bandar Pontian bagi mempromosikannya sebagai destinasi pelancongan yang berdaya maju sejajar dengan kedudukannya di Tanah Penghujung Benua Asia," katanya.
Menurutnya, KTM 2011 juga dapat memperkenalkan pelbagai jenis basikal lama yang jarang ditemui generasi muda dan program dimeriahkan dengan jualan alat ganti kepada pemilik atau peminat basikal antik yang berminat membelinya," katanya.
Selain itu, para peserta turut mengadakan aktiviti kemasyarakatan dan kerja amal membantu golongan yang memerlukan, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Basikal Antik Benut (KBAB), Azreen Mukayat, 27, berkata, pihaknya selaku tuan rumah dan penganjur bersama KTM 2011 gembira dengan sambutan yang diberikan oleh kelab-kelab basikal dari seluruh negara.
Menurutnya, walaupun baru ditubuhkan tujuh bulan lalu, KBAB yang dianggotai 30 ahli berjaya menganjurkan program tersebut dengan meriah dan kini pihaknya menyasarkan untuk menarik lebih ramai keahlian.
"Nyata program ini mendapat sambutan ramai dan penduduk gembira kerana dapat menyaksikan pelbagai jenis basikal yang digunakan sejak dulu," katanya.

No comments:

Post a Comment