Utusan Malaysia: 2 Jun 2011
PONTIAN 1 Jun - Berbekalkan sedikit pengalaman dan inspirasi dari kejayaan pengeluar Ramly Burger, Mohd. Azrin Kejan, 40, membulatkan tekad mengusahakan restoran dengan menggunakan nama 'Joe Burger Station' di Taman Jaya di sini.
Bermula dengan menjual burger, roti John, hot dog, kentang dan nugget sejak dua tahun lalu, perniagaannya semakin meluas dan terkenal dengan tambahan menu makanan Barat seperti chicken chop, fish n chips, lamb chop dan stik.
Mohd. Azrin berkata, pengalaman menjual burger di gerai tepi jalan serta perniagaan runcit menjual roti dan daging burger telah mencetuskan idea bagi memperkenalkan burger yang lebih menyelerakan kepada para pelanggan.
"Semasa menjalankan perniagaan runcit, pada waktu malam saya telah memulakan perniagaan menjual burger dengan penampilan gerai yang berbeza dengan gerai-gerai burger yang lain.
"Gerai yang berharga RM7,000 ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti dapur khas yang memudahkan kerja-kerja memasak dan menggoreng," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Jelasnya, perniagaan runcit yang diusahakan pada awalnya sukar untuk mencatat keuntungan kerana pesaing yang ramai dan secara beransur-ansur gerai burger yang diusahakan di hadapan kedainya berubah rupa menjadi restoran.
Ditanya dari mana datangnya nama Joe Burger Station, dia memberitahu yang rakan-rakannya memberi nama timangan Joe dan ia digunakan bagi tujuan komersial dalam bidang perniagaan ini.
Mohd. Azrin memberitahu, bidang perniagaan sudah menjadi darah daging dan dia yakin ia mampu memberi masa depan yang baik.
"Selepas tamat persekolahan saya melakukan pelbagai pekerjaan seperti berkebun, membawa van kilang, menjual ayam di pasar tani bagi mencari pengalaman dalam bidang perniagaan dalam bidang perniagaan dan kini ia memberi manfaat bukan saja kepada saya sendiri malah orang lain," katanya lagi.
PONTIAN 1 Jun - Joe Burger Station kini mampu menjual purata 300 biji burger dan roti John dalam masa sehari dan akan memperkenalkan menu baru iaitu nasi lemak istimewa hot plate.
Pemiliknya, Mohd. Azrin Kejan, 40, berkata, sambutan hangat orang ramai serta kedudukan kedai yang berada di laluan utama Pontian-Benut memberi galakan kepadanya untuk menambahkan lagi menu jualan."Menu tersebut adalah antara tarikan terbaru selain daripada makanan Barat yang mula mendapat perhatian daripada masyarakat setempat," katanya.
Jelasnya, keistimewaan restoran miliknya adalah roti bagi setiap hidangan (dikukus) terlebih dahulu, dengan roti John juga berlainan dengan yang dijual di pasar-pasar malam atau di tempat lain.Tambah Mohd. Azrin, beberapa makanan Barat yang disediakan tidak kurang rasanya seperti yang dijual di beberapa restoran besar atau restoran makanan segera.
"Saya telah menyesuaikan cita rasa mengikut selera pelanggan tempatan berdasarkan kepada pengalaman mempelajari membuat makanan Barat sebelum ini di tempat lain," ujarnya.
Turut dilengkapi kemudahan WiFi percuma kepada pengguna yang mahu melayari Internet sambil menjamu selera di restorannya ini.Menurut Mohd. Azrin, pihaknya tidak keberatan sekiranya ada pihak ingin menjadikan Joe Burger Station sebagai francais perniagaan mereka di bawah jenama tersebut seperti makanan segera yang lain.
assalamualaikum.kpd saudara azrin,bagaimana caranya kalau saya mahu membawa joe burger ke makassar,indonesia.saya merupakan mahasiswa malaysia disini yg cuba untuk bergiat dalam bisnes burger setelah melihat potensi untuk berkembangnya joe burger disini.terima kasih.
ReplyDelete