KUALA LUMPUR - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta pihak berkuasa menyenaraikan ubat yang tidak mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta syarikat-syarikat yang telah memohon sijil halal bagi ubat-ubatan yang dikeluarkan.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, langkah ini penting dalam membantu pengguna mengelak daripada terbeli ubat haram.
"Walaupun tiada akta khusus berkaitan perkara ini pihak berkuasa dan media perlu main peranan untuk hebahkan jenis-jenis ubat yang mengandungi unsur tidak halal," katanya kepada pemberita selepas persidangan meja bulat Farmaseutikal yang Halal: Isu-isu dan Cabaran di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini semalam.
Mohd. Yusof berkata, garis panduan sedia ada tentang produk halal terutamanya yang disediakan Jakim serta kewujudan standard halal MS2424 masih tidak mencukupi untuk mengatasi masalah lambakan ubat tidak halal di negara ini.
Dalam memastikan masalah yang membelenggu masyarakat pada masa ini tidak berlarutan, beliau menyeru agar undang-undang khusus berkaitan produk halal diwujudkan segera.
"Sekarang yang ada tentang halal adalah Akta Perihal Dagangan tapi tidak ada akta untuk pastikan semua produk yang dijual kepada orang Islam ini mesti mendapat sijil halal.
"Selagi undang-undang sebegitu tiada, selagi itu kita akan berhadapan dengan dilema produk halal terutama produk farmaseutikal," jelasnya.
No comments:
Post a Comment