BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, December 3, 2011

RUANG MENCARI PRODUK HALAL

RUANG pameran Jabatan Agama Johor menyediakan perkhidmatan informasi kepenggunaan halal pada Karnival Kepengunaan dan Transformasi Halal Johor 2011 di Dataran Tanjung Emas,Muar,semalam. - utusan/Ishak Rahmad
MUAR 2 Dis. - Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Kepenggunaan dan Transformasi Halal Johor 2011 yang akan berlangsung selama tiga hari di Dataran Tanjung Emas Muar di sini, bermula hari ini.
Karnival bersempena Sambutan Maal Hijrah 1433H itu akan menempatkan sebanyak 48 gerai pameran daripada usahawan-usahawan industri halal, selain menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan produk halal.
Pengurus Karnival berkenaan, Azuan Ahmad (gambar) berkata, karnival tersebut merupakan anjuran Jabatan Agama Johor (JAJ) dan ia adalah yang kedua diadakan selepas pertama kali diadakan di Johor Bahru pada tahun lalu.
"Program ini sebenarnya menawarkan pelbagai pengisian dan ia juga memberi pendedahan tentang pendidikan halal kepada semua lapisan masyarakat dan memberi peluang kepada para pengunjung untuk memperoleh maklumat terkini mengenai produk-produk halal," katanya.
Jelas beliau, pelbagai program telah disusun termasuk Forum Perdana Halalan Toyyiba; Mencari Yang Halal Satu Kewajipan yang dibarisi ahli panel merangkumi Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot serta Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma'mor Osman.
Katanya, bagi hari kedua karnival tersebut, satu konsert Nasyid Hijrah akan diadakan dengan menampilkan penyanyi Rahmat Ekamatra dan kumpulan nasyid Al Mawlid bermula dari pukul 9 malam.
Menurutnya, antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah seminar kepenggunaan halal, pameran automotif, pertandingan kompang berirama, karaoke nasyid, pertandingan kopi tarik, pertandingan mewarna bersama Upin dan Ipin serta cabutan bertuah.
"Bagi seminar kepenggunaan halal yang akan diadakan di Rumah Anak Yatim Muar, kertas kerja yang akan dibentangkan adalah termasuk Halal Toyyiban; Dari Aspek Syariah, Kepenggunaan dan Kebersihan, Keberkatan Bisnes dengan Berzakat dan Berwakaf serta Peluang Bisnes Bersama KFC/Ayamas," katanya.
Katanya, beliau berharap masyarakat di daerah Muar serta daerah-daerah yang berhampiran tidak akan melepaskan peluang bagi memeriahkan karnival tersebut, selain membantu menggalakkan lagi industri bisnes halal.






No comments:

Post a Comment