BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, May 8, 2012

MALAYSIA PERLUKAN INSTITUT FARMASEUTIKAL HALAL


Institut farmaseutikal halal negara perlu ditubuhkan bagi menjadi rujukan penyelidik untuk menghasilkan ubatan yang halal.- Gambar hiasan

PENGAMBILAN bahan makanan daripada sumber dan proses yang halal sangat dititikberatkan oleh umat. Sebab itu kewujudan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) mendapat sambutan baik kerana ia dianggap penyelesaian kepada kemelut pemakanan halal yang tidak pernah selesai itu.
Ramai yang beranggapan itu memadai dalam memastikan sumber makanan yang masuk ke dalam tubuh mereka adalah benar-benar halal dan tayyiba.
Namun, sedarkah kita bahawa setiap manusia termasuk umat Islam sentiasa mengalirkan darah di dalam tubuh yang mengandungi sumber yang tidak halal.
Kedengaran agak mengelirukan. Namun itulah situasi sebenar yang berlaku dalam sektor farmaseutikal di negara ini.
Mustahil jika dikatakan ada dalam kalangan kita yang tidak pernah mendapat penyakit dan mengambil ubat. Hampir semua penyakit tersebut memerlukan rawatan dengan bantuan ubat-ubatan.
Namun, sejauhmana keyakinan kita terhadap kesucian ubat-ubatan tersebut daripada bahan yang tidak halal.
Malah, terdapat banyak ubat-ubatan yang jelas mengandungi elemen campuran tidak halal.
Inilah yang dibimbangi Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Syed Azhar Syed Sulaiman.
Tetapai terdapat juga ubat-ubatan yang terdapat di pasaran di negara ini tidak halal yang mana ia bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit, dan telah menjadikan setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan ubatan yang haram," (riwayat Abu Daud)
Bagaimanapun kata Syed Azhar, dalam situasi ini, Islam membenarkan umatnya menggunakan bahan yang tidak halal dalam ubatan dengan dinisbahkan sebagai situasi darurat.
Pun begitu, sudah tiba masanya negara melakukan transformasi terhadap industri farmaseutikal yang sedia ada kepada farmaseutikal halal.
"Sampai bila negara harus bergantung dengan nisbah darurat ini? Adakah selama-lamanya tanpa mengambil apa-apa tindakan? Sedangkan kita mempunyai ramai tenaga pakar dan juga peralatan teknologi yang serba canggih.
"Oleh itu, para penyelidik dan pakar-pakar dalam bidang perubatan perlu bekerjasama dalam mengubah industri farmaseutikal negara kepada sumber halal dengan menubuhkan sebuah badan atau institut farmaseutikal halal di peringkat negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja yang bertajukUbatan Halal Dalam Industri Farmaseutikal Hari Ini: Langkah Kepada Penghasilan dan Pemerkasaan dalam seminar Kemelut Pemakanan Halal anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan untuk membincangkan penggunaan elemen yang diragui terutamanya unsur babi dan alternatifnya daripada perspektif pemakanan dan juga meninjau isu kepenggunaan dan penguatkuasaan berkaitan industri halal.
Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan oleh pakar dan ahli akademik yang berpengalaman dalam penyelidikan halal.
Syed Azhar berkata, institut farmaseutikal halal itu penting bagi mengumpulkan dan menerbitkan hasil kajian atau penyelesaian terhadap sesuatu penyelidikan yang dilakukan.
"Fenomena di negara ini, kita mempunyai ramai pakar dan penyelidik daripada industri dan juga akademik. Tetapi ramai yang hanya pakar menjalankan kajian masing-masing semata-mata untuk bersaing.
"Kita juga lebih suka memerhati dan meneliti sekadar atas kertas tanpa mengambil apa-apa tindakan.
"Dengan adanya institut farmaseutikal halal ini, diharap ia boleh menggabungkan segala kepakaran dalam semua bidang bagi menghasilkan ubatan yang halal," ujarya.
Sementara itu, Pengurus Besar, Pejabat Transformasi dan Kecemerlangan Halal, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM), Roziatul Akmam Osman berkata, terdapat lima perkara perlu dipatuhi bagi mengharuskan penggunaan ubat-ubatan tidak halal dalam perspektif Islam.
"Lima perkara itu adalah, ubat tersebut mestilah tiada bahan suci lain yang boleh diguna sebagai ganti. Rawatan perlulah bersifat kritikal dan sangat diperlukan bagi kesejahteraan pesakit.
"Hanya doktor Muslim yang fasih mengenai ilmu dan hukum ini sahaja boleh memberikan rawatan menggunakan ubat-ubatan ini. Pesakit dan waris terdekat haruslah diberikan penerangan sejelasnya oleh doktor mengenai perkara ini.
"Ubat tersebut hanya boleh digunakan untuk jangkamasa tertentu sahaja mengikut rawatan yang disyorkan oleh doktor," katanya.

No comments:

Post a Comment