BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, September 15, 2012

12 JENIS BUBUR DI TITI GANTUNG, BOTA


BERANEKA jenis bubur dijual di warung Bubur Perak di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak.
BUBUR merupakan hidangan popular orang Malaysia terutama masyarakat Melayu pada waktu petang. Namun, bukan mudah untuk mencari premis makanan yang menjual bubur, apatah lagi yang mempunyai pelbagai jenis.
Jika anda seorang penggemar masakan itu, anda patut singgah di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak. Gerai itu terletak di hadapan Kompleks Pertanian Titi Gantung di tepi Lebuh Raya Ipoh - Lumut.
Ini kerana di situ terdapat sebanyak 12 jenis bubur iaitu bubur lambuk, bubur jagung, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, bubur gandum, bubur caca marba, bubur sagu bandung, bubur pengat pisang, bubur pengat ubi keledek, bubur pengat ubi keladi, bubur kacang merah dan bubur pengat nangka.
Harganya juga tidak mahal iaitu cuma RM2 semangkuk jika makan di situ dan RM2.50 jika dibungkus untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, pada bulan puasa yang lalu, gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional hanya menjual 10 jenis bubur iaitu kecuali bubur kacang merah dan pengat nangka sahaja kerana bilangan pelanggan tidak seramai hari biasa.
Selain bubur, gerai itu menjual pisang goreng, ubi keledek dan ubi keladi goreng.
Menurut pengusaha gerai tersebut, Badri Hamzah, 53, gerainya mendapat sambutan hebat kerana menawarkan pelbagai jenis bubur tradisional yang boleh dipilih oleh orang ramai.
"Bubur bukan tidak ada dijual di tempat lain tetapi susah hendak cari. Lebih-lebih lagi kedai yang menjualnya menawarkan begitu banyak jenis bubur," katanya ketika ditemui S2 di gerainya.
Bubur di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional juga popular kerana rasanya yang sedap dan dijual dalam keadaan masih panas.
Badri juga tidak menggunakan daging tetapi hanya ayam dan udang dalam masakan bubur lambuk agar penganut Hindu pun boleh makan.
"Pelanggan saya bukan hanya orang Melayu, tetapi orang Cina dan India juga makan di sini. Sebab itulah, saya memastikan bubur saya boleh dimakan oleh semua orang," katanya sambil memberitahu pelanggannya terdiri daripada 60 peratus orang luar dan 40 peratus penduduk tempatan.
"Paling ramai adalah pelancong yang melalui Lebuh Raya Ipoh - Lumut," tambahnya.
Ditanya tentang rahsia keenakan bubur yang dijualnya, Badri yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan bubur memberitahu, dia agak cerewet dalam penyediaan bubur terutama memastikan masakan itu hanya menggunakan santan segar.
"Saya juga memasak sendiri bubur ini walaupun saya ada tujuh pembantu. Tiga jam diperlukan untuk memasak kesemua bubur yang dijual ini," ujarnya sambil memberitahu resipi bubur itu adalah ciptaannya sendiri yang diolah daripada resipi yang dipelajari daripada ibunya, Puteh Zainah Tuah, 89.
Satu lagi perkara menarik mengenai gerai bubur itu adalah deretan bendera Perak dan Jalur Gemilang yang dipacak di hadapan premis tersebut mempunyai makna tertentu.
Sekiranya, bendera-bendera tersebut sudah dipacakkan, ia bermakna bubur sudah siap dimasak untuk dijual dan jika tiada bendera dipacak, ia bermaksud bubur belum siap dimasak atau sudah habis dijual.
Sementara itu, seorang pelanggan setia gerai bubur itu, Burhanuddin Karim, 63, memberitahu, dia meminati semua jenis bubur yang dijual di gerai itu.
"Saya beli bubur di sini setiap hari. Bubur yang paling saya minat adalah bubur ubi keledek dan ubi keladi," katanya.
Seorang lagi pelanggan dari Ipoh, Haniff Radman, 33, memberitahu, ini merupakan kali pertama dia singgah di gerai tersebut.
"Kebetulan saya lalu di sini ternampak gerai bubur ini. Jadi, saya singgah membeli bubur untuk mencuba rasanya," katanya.
Gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

No comments:

Post a Comment