BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, October 3, 2012

DIDIK JIWA MELALUI SOLAT


JIKA semua umat Islam mengetahui fadilat dan kelebihan melaksanakan solat, pasti tiada siapa yang akan meninggalkan perintah Allah SWT itu dengan sengaja.
Malah, masjid atau surau yang menjadi pusat mendirikan ibadah rukun Islam kedua itu juga pasti sentiasa akan dipenuhi setiap kali masuk waktu solat.
Kelebihan solat memang tidak dapat disangkal lagi. Ia bukan sahaja dijelaskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan perantara Rasulullah SAW di dalam hadis, tetapi hasil dapatan melalui kajian saintifik juga membuktikan kelebihan orang yang menunaikan ibadah itu.
Namun malangnya, hakikat yang berlaku kepada umat Islam masa kini dilihat kurang menitikberatkan solat yang difardukan sebanyak lima waktu sehari semalam itu dalam kehidupan harian kita.
Hal inilah antara pendorong kepada berlakunya pelbagai gejala negatif dan dilihat semakin berleluasa dan membimbangkan dalam kalangan umat Islam.
Penulis dan Perunding Motivasi, Zul Ramli Mohamed Razali berkata, oleh itu solat penting dalam mendidik jiwa agar sentiasa mengingati Allah SWT dan sentiasa takut untuk melakukan perkara yang negatif.
Ini kerana katanya, melalui amalan solat yang dilakukan dengan sempurna dapat membuka mata hati secara langsung membimbing manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara mungkar.
"Solat adalah satu bentuk motivasi kepada manusia untuk berbuat baik kepada makhluk sama ada manusia, malaikat, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
"Pergerakan solat yang kita lakukan iaitu bermula dengan takbir dan diakhiri dengan salam adalah merupakan simbolik jalinan antara hubungan antara tuhan dan makhluk yang lain.
"Apabila kita mengangkat takbir bermakna kita meninggalkan segala urusan dunia di belakang kita untuk memberi sepenuh perhatian kepada Allah SWT sehinggalah membaca tahiyat akhir.
"Manakala apabila kita memberi salam pula bermakna, bermulalah hubungan kita bersama makhluk iaitu malaikat dan manusia dengan lafaz salam tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Tahsin as-Solat' pada bengkel 'Kuasa Minda: Ubah Sikap Melalui Solat' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, baru-baru ini.
Turut membentangkan kertas kerja, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Ibrahim dengan kertas kerja bertajuk 'Kebaikan dari Perspektif Sains' pada modul kedua.

Fungsi solat

Dalam pada itu, Zul Ramli berkata, solat yang dilakukan oleh seseorang itu masih belum sempurna jika ia tidak dapat mencegahnya daripada meninggalkan maksiat dan tetap melakukan perbuatan mungkar.
Ini kerana menurutnya, antara fungsi solat adalah untuk mendidik jiwa supaya mencegah daripada melakukan sebarang perbuatan mungkar memperbanyakkan amal kebaikan.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya: Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)
"Apa yang kita lihat sekarang ini ramai yang solatnya bagus dan tidak tinggal solat, tetapi malangnya dalam masa sama dia sentiasa melakukan kemungkaran dan tidak dapat berhenti melakukan maksiat.
"Ini berlaku berkemungkinan kerana solatnya yang kurang sempurna atau terdapat kesalahan ketika menjalani ibadah tersebut. Solat yang sempurna beserta hati yang khusyuk dapat mengawal seseorang itu daripada melakukan perkara mungkar," ujarnya.
Oleh itu katanya, untuk memperoleh solat yang sempurna, umat Islam hendaklah mempelajari dan mendalami solat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Tambahnya, solat juga merupakan fitrah kepada kejadian manusia yang tidak boleh ditinggalkan dengan sengaja.
"Sebagaimana kita memerlukan makanan dan minuman untuk hidup, begitu juga kita memerlukan solat. Solat adalah fitrah dan keperluan roh bagi setiap manusia yang diciptakan dengan sifat yang suka meminta dengan berdoa.
"Solatlah yang menjadi medium kepada manusia untuk meminta atau memenuhi fitrah tersebut," katanya.

Senaman terbaik

Mungkin kita pernah tertanya, mengapa solat memerlukan pergerakan dan apakah maksud di sebalik pergerakan tersebut?
Dr. Fatimah dalam kajian yang dilakukan mendapati setiap pergerakan yang dilakukan dalam solat merupakan satu kaedah senaman yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.
Antara hasil kajian tersebut adalah kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang didapati mampu merawat denyutan jantung, terapi mati pucuk dan diet seimbang untuk menguruskan tubuh manusia.
Beliau berkata, kajian kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang dilakukan kepada 120 peserta mendapati keputusan yang berbeza. Ia diukur mengikut lima kaedah tabiat lazim solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Kaedah tersebut adalah kekerapan bersolat, tahap memahami bacaan dalam solat, solat berjemaah, posisi ketika rukuk dan ketika sujud serta duduk tahiyat.
Kelima-lima kaedah tersebut katanya jika dilakukan dengan sempurna mampu memberi kesan positif kepada tubuh seperti menenangkan fikiran, menyihatkan badan, menambah tenaga dan mengurangkan kolestrol dalam tubuh.
"Dalam kajian yang dilakukan ke atas peserta yang berumur antara 19 hingga 48 tahun dengan menggunakan alat khas iaitu BIA itu, ia dapat mengesan tahap kesihatan dan tenaga tubuh peserta secara menyeluruh dengan mengukur komposisi badan peserta.
"Peserta yang memahami bacaan dalam solat, duduk di posisi yang betul ketika rukuk dan sujud serta duduk tahiyat menunjukkan tahap kesihatan yang terbaik berbanding peserta yang salah melakukannya.
"Malah fikiran orang yang bersolat juga akan menjadi tenang dan wajahnya akan menjadi cantik serta kemerah-merahan," katanya

No comments:

Post a Comment