Untuk menurunkan berat badan mereka rela mengambil jalan pintas dengan cara makan pil kurus dan diet tidak seimbang.
Hakikatnya menurut Penolong Pengurus Dietetik (Pakar Pemakanan), Hospital Gleaneagles, Phang Chin Yee, tiada jalan pintas yang boleh dilakukan melainkan senaman dan kawalan pemakanan.
"Seperti semua sedia maklum, tidak kira sesiapa pun, setiap orang harus melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali dalam seminggu. Senaman merupakan elemen penting dalam penjagaan berat badan.
"Dari segi pemakanan pula, haruslah memilih kaedah memasak yang sihat iaitu tumis kurang minyak, sup, kukus, bakar mahupun panggang.
"Paling penting, buang lemak daging dan kulit ayam sebelum memasak kerana ini juga mampu menaikkan berat badan," jelas Chin Yee.
Selain berat badan yang seimbang, kulit yang sihat juga akan terjaga sekiranya seseorang mengawal pemakanan mereka.
Tambah Chin Yee lagi, sayur-sayuran dan buah-buahan juga amat penting semasa makan kerana mampu mengawal berat badan di samping sebagai menu yang menyihatkan.
"Amalkan meminum air sebanyak lapan gelas sehari agar tubuh badan kita tidak kekurangan air," tambahnya ditemui pada perbincangan gaya hidup sihat anjuran Gleaneagles Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perbincangan berkisar mengenai bagaimana menjaga berat badan dengan cara yang sihat selaras dengan komitmen untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Sementara itu, Pakar Fisioterapi Gleneagles, Cheryl Tiang berkata, kebanyakan individu terutama yang bekerja tidak ada masa untuk melakukan senaman.
"Senaman tidak semestinya hanya dilakukan di gimnasium, malah boleh juga dilakukan di rumah.
"Latihan senaman bertujuan untuk memulihkan tubuh badan setelah seharian melakukan tugasan masing-masing.
"Di rumah, anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang bahkan masa kerana senaman boleh dilakukan di mana-mana yang bersesuaian dan disukai," katanya.
Tambah Cheryl, bagi mereka yang tidak cukup tidur pula, dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang secukupnya kerana ia mampu mempengaruhi kesihatan.
Penggunaan bahan dalam masakan juga mampu menaikkan berat badan seseorang terutama yang mengandungi banyak lemak.
Chef Eksekutif Gleneagles, Rezuan Sulaiman atau Chef Zuan berkata, memakan organ dalaman haiwan seperti hati, limpa, paru-paru dan sebagainya juga tidak elok untuk kesihatan.
Ini kerana organ-organ tersebut merupakan tempat toksin dikumpul sebelum dineutralkan.
"Makan makanan ringan dan penambah perisa dalam masakan juga tidak digalakkan kerana kandungan garamnya yang tinggi boleh menyebabkan darah tinggi, osteoporosis dan sebagainya," katanya.
Tambah Chef Zuan, pengambilan oat pada waktu pagi juga dapat memberikan tenaga dalam tubuh badan.
No comments:
Post a Comment