BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 21, 2013

BERBUKA DI TENGAH RIMBA-RIVERSTONE ECO RESORT, BT. CAVE

MENIKMATI juadah berbuka puasa di restoran D'River, Riverstone Eco Resort yang dikelilingi kehijauan hutan memang mendamaikan.

RAMADAN muncul lagi. Seperti tahun-tahun lalu, terdapat banyak kafe, restoran mahupun hotel menyajikan hidangan bufet Ramadan.
Setiap tempat menjamu selera tersebut memiliki tarikan dan keistimewaan tersendiri bagi menggamit kedatangan orang ramai untuk berbuka puasa.
Begitulah juga Riverstone Eco Resort (Riverstone) yang terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Sejak sembilan tahun lalu, restoran D'River di resort tersebut mengadakan bufet Ramadan.
Apa yang menarik tentang resort ini adalah ia dikelilingi hutan dan terletak di tepi sungai yang mengalir jernih. Kedamaian alam itu membuatkan majlis berbuka puasa di resort tersebut amat menenangkan.
"Kalau nak merasa berbuka puasa di tengah rimba, singgahlah ke Riverstone," kata Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik kepada S2.
Terkenal dengan sajian Nasi Ambeng yang enak, D'River pasti tidak menghampakan penggemar hidangan tradisional masyarakat Jawa itu.
Penulis akui tidak pernah menjamah Nasi Ambeng yang sebegitu sedap, baik yang pernah dinikmati di kampung masyarakat Jawa mahupun yang dibeli di pasar Ramadan.
Mohd Ashari berkongsi rahsia, katanya, pihaknya hanya menggunakan bahan segar untuk menyediakan menu bufet Ramadan di restoran tersebut.
Faktor itu membuatkan setiap masakan yang disediakan sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin dijamin memiliki kualiti yang tinggi.
"Dari segi ramuan, rempah-ratus dan lain-lain, kesemuanya kami pilih yang terbaik untuk menjamin mutu masakan," katanya.
Set Nasi Ambeng itu terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Justeru, bagi yang belum mengenali Nasi Ambeng, inilah masa paling sesuai untuk 'berkenalan' dengannya. Bak kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta', maka kenalah rasa sendiri keenakan nasi tersebut.

No comments:

Post a Comment