Mungkin begitulah situasinya jika anda duduk menikmati char kue teow special yang disediakan di gerai Art Char Kue Teow di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang dimiliki anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Azhar Taib, 36.
Dengan hidangan yang berkilau disediakan di dalam pinggan, udang dan ketam yang segar serta mendapat sentuhan sos istimewa, tidak keterlaluan jika dikatakan anda seolah-olah sedang duduk menjamu selera di Padang Kota, Georgetown, Pulau Pinang iaitu salah satu lokasi popular bagi setiap penggemar char kue teow.
Char kue teow merupakan hidangan yang popular di negara ini, namun jika mahu merasakan yang terbaik, anda perlu pergi ke Pulau Mutiara, justeru bagi rakyat Kelantan, sepinggan char kue teow bermaksud enam atau tujuh jam perjalanan.
Memikirkan populariti menu tersebutlah, Azhar membuat keputusan untuk membuka gerai char kue teow di negeri Kelantan sejak April 2012 dengan memastikan hidangannya bukan sahaja setaraf dengan apa yang ada di Pulau Pinang, tetapi turut memastikan kualitinya lebih baik.
Mengulas mengenai penyediaan hidangan tersebut, menurut Azhar, perkara paling penting dalam menyediakan sepinggan char kue teow adalah bahan mentah yang digunakan mestilah segar agar rasanya lebih sedap dengan aroma yang mencengkam selera.
Kalau mahu segar, itu maksudnya setiap hari saya akan pergi ke pasar di sekitar Kota Bharu untuk mendapatkan bekalan udang dan kerang yang terbaik. Jika saya tak puas hati dengan tahap kesegaran itu, maka saya akan ke pelabuhan di Kuala Besar.
Saya tidak pernah menggunakan bahan mentah yang lama kerana ia memberi kesan kepada rasa hidangan itu. Sebab itulah sehingga hari ini, pengunjung yang datang sentiasa berpuas hati dengan kualiti masakan yang disediakan," katanya ketika ditemui S2 di restorannya baru-baru ini.
Menurut Azhar, di negeri asalnya, setiap gerai mempunyai keistimewaan sendiri dalam menyediakan char kue teow masing-masing. Justeru, dia menggunakan adunan sos turun temurun yang dimiliki keluarga untuk menyedapkan hidangan.
Selain itu, saya akan memastikan setiap hidangan ini mempunyai udang dan kerang yang lebih serta kuah yang banyak untuk dihirup kerana itulah ciri-ciri char kue teow yang menjadi pilihan.
Ada beberapa pelanggan yang pertama kali merasai hidangan orang Pulau Pinang ini dan akhirnya menjadi pelanggan tetap saya," katanya.
Gerai tersebut dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 2.30 pagi dengan pilihan tiga jenis hidangan char kue teow iaitu yang bersaiz biasa pada harga RM3.50, besar (RM4.50) dan istimewa (RM6).
Seorang pelanggan, Mohd. Affit Azlan, 20, berkata, dia singgah makan di gerai tersebut hampir setiap malam sejak awal tahun ini kerana hidangannya yang enak, selain mahu menikmati suasana malam.
Saya memang suka makan char kue teow tetapi lebih menarik kalau dapat makan sambil menikmati udara malam," katanya yang menyukai suasana sekitar gerai itu yang terletak di kawasan terbuka.
Adam Adnan, 19, turut mengakui telah menjadi pelanggan tetap di gerai tersebut dan akan berkunjung sekurang-kurangnya sekali setiap minggu bersama rakan-rakannya bagi menikmati hidangan char kue teow.
Siti Nor Syafika Mohd. Nasir, 18, pula berkata, dia selalu berkunjung ke gerai tersebut bersama rakan-rakan atau keluarganya kerana rasa hidangan yang sedap dan suasana yang tenteram pada waktu malam.
Sejujurnya saya memang pernah makan char kue teow di tempat lain di Kota Bharu tetapi di sinilah yang paling sedap. Sebab itulah, ramai orang datang sampai ada yang sanggup beratur tunggu meja kosong," jelasnya.
No comments:
Post a Comment