|
Paling ketara apabila kemasan kayu jenis pain dengan pilihan rona kuning cair melatari ruang makan di premis berkeluasan kira-kira 149 meter persegi itu.
Apa yang unik ialah susunan kayu tersebut disuntik dengan elemen tiga dimensi (3D), sekali gus menjadikan bahagian dinding tampak timbul.
“Kayu jenis pain ini dipilih kerana ia sesuai digunakan dalam seni hiasan dalaman selain lebih mudah dijaga.
“Sebenarnya, kayu ini kita import dari Australia,” ujar Pengurusnya, Mohd. Razmil Azhar, 23, yang memberitahu, premis tersebut baru sahaja dibuka kepada pengunjung 21 Oktober lalu.
Tidak mahu terlalu sarat dengan penggunaan kayu, kedai yang cuba bereksperimen dengan konsep ‘Old Country’ itu cuba menerapkan unsur rekaan industri.
Ia jelas dapat dilihat daripada binaan susunan geometri batu-bata di tempat membancuh air.
Batu-bata berwarna merah itu dibiarkan lekat dengan campuran simen tanpa sebarang kemasan luar bagi mewujudkan konsep tersebut.
Kaunter pembayaran dan tempat membancuh minuman turut direka dengan binaan bumbung mini.
Dengan beratapkan asbestos, ia seolah-olah menggambarkan terdapat unsur rumah di dalam restoran tersebut.
Pembahagi ruang makan dan dapur turut dihiasi dengan binaan tingkap kayu yang boleh dibuka.
Ia direka bagi memudahkan makanan yang dipesan dihantar kepada pelayan untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Bijak bermain dengan warna, pemilihan tona coklat menjadi asas dalam setiap pemilihan warna seni rekaan dalaman kedai tersebut.
Kemasan
Daripada kemasan dinding, lantai dan juga siling, kesemuanya mempamerkan warna coklat daripada tona yang pelbagai.
“Warna coklat ini dipilih bagi disesuaikan dengan warna kayu pain yang digunakan pada dinding.
“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan suasana yang tenang dan menjadikan pandangan mata lebih sejuk,” ujarnya yang memperuntukkan kira-kira RM400,000 bagi proses ubah suai restoran tersebut.
Restoran yang menyediakan 61 juadah ala Barat itu kelihatan lebih klasik dan mewah dengan penggunaan lampu kuning dari sudut penataan cahaya.
Kedai yang beroperasi setiap hari ini hanya menggunakan kipas angin bagi pengudaraan di ruang makan di dalam kedai.
|
Malah, ruang makan juga tidak tertutup, sekali gus memberi laluan pengudaraan yang lebih baik.
“Kita juga sengaja tidak menggunakan alat penyaman udara kerana ada antara hidangan menu kita yang menggunakan hot plate yang mengeluarkan asap.
“Jadi, kita tidak mahu keadaan di dalam kedai dicemari asap dan bau,” katanya yang memberitahu, ia merupakan cawangan kedua bagi rangkaian Top Steak House di Kuala Lumpur.
Bijak menggunakan kedudukannya di lot hujung, bahagian luar koridor juga disusun dengan perabot meja dan kerusi bagi membenarkan pelanggan menikmati hidangan di kawasan terbuka.
Lantaran elemen kayu banyak digunakan dalam dekorasi dalaman, penjagaan khas tetap dititikberatkan bagi memastikan ia tahan lama.
“Serangga perosak seperti anai-anai memang suka kepada produk-produk kayu.
“Sebab itulah setiap bulan kita akan pastikan kawalan dilakukan secara berkala dengan penggunaan bahan antimakhluk perosak,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment