BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 23, 2014

MATA & DIABETES

pemeriksaan mata berkala penting bagi pesakit diabetes.

Kini penyakit diabetes menjadi ancaman utama kesihatan yang semakin pantas menyerang akibat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Ini dapat dilihat daripada segi bilangan pesakit.
Bilangan pesakit yang didiagnosis semakin bertambah tiap tahun tetapi masih ramai yang tidak mengetahui mereka menghidapnya sehingga keadaan bertambah teruk.
Kebanyakan pesakit bukan sahaja gagal didiagnosis dengan diabetes malah mereka tidak menjaga kesihatan, pemakanan dan gaya hidup sama ada kerana jahil, tidak mahu menerima hakikat atau rasa puas hati dengan keadaan kesihatan semasa.

Diagnosis, pemantauan dan kawalan

Pakar Perunding Kanan Oftamologi, Klinik Pakar Dr. Normalina, Dr. Normalina Mansor berkata, dalam kebanyakan kes diabetes, pengambilan kalori sering kali gagal dikawal dengan baik. Ketidakseimbangan ini menyebabkan kandungan gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa seterusnya akan merosakkan dinding saluran darah pesakit jika tidak dikawal.
Kerosakan yang berlaku kepada salur darah mungkin membawa kepada kebocoran salur darah atau berkemungkinan menyebabkan salur darah tersumbat.
Memandangkan salur darah terdapat di seluruh bahagian badan, semua organ dan struktur badan mungkin menerima kesannya.
“Antara organ yang paling mudah rosak akibat kerosakan salur darah ialah mata, yang akan mengancam penglihatan pesakit di samping buah pinggang, yang boleh membawa kepada pergantungan kepada mesin dialisis seumur hidup," katanya di premisnya di Cheras, Kuala Lumpur.
Diagnosis untuk diabetes hanya memerlukan ujian darah ringkas dan tidak menyakitkan dan boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan atau klinik.
“Diagnosis awal membolehkan pesakit menerima rawatan segera yang selalunya lebih ringkas dan penting dalam mengelak atau memulihkan komplikasi yang timbul akibat diabetes," tambahnya.
Pemantauan penyakit diabetes hanya memerlukan alat mengukur gula darah (glukometer) yang murah dan mudah digunakan oleh pesakit di rumah.
Jika usaha mengawal penyakit lambat dijalankan, terutamanya jika gejala tertentu mula timbul, komplikasi yang berlaku ketika ini mungkin tidak dapat dipulihkan dan sering kali hanya boleh dikawal supaya tidak menjadi semakin teruk.

Mata dan diabetes

Dr. normalina berkata, salur darah di dalam mata amat halus dan menjadi antara yang pertama rosak di peringkat awal penyakit diabetes.
“Perubahan pada mata akibat diabetes mungkin berlaku sebelum pesakit didiagnosis menghidap diabetes dan perubahan ini amat mudah dikesan kini dengan peralatan moden," katanya.
Jadi pemeriksaan mata secara berkala dapat membantu dalam mendiagnosis diabetes dan juga memantau perkembangan penyakit berkenaan.
Mata pesakit diabetes yang semakin teruk selalunya menunjukkan pengawalan gula yang kurang berkesan, sejajar dengan kerosakan organ lain seperti buah pinggang.
Perubahan pada mata di peringkat awal diabetes akan menyebabkan kebocoran kecil cecair atau darah daripada lubang-lubang kecil pada salur darah.
Bagi kes diabetes yang lebih teruk, salur-salur darah ini bukan sahaja akan bocor dengan lebih teruk malahan lambat-laun mungkin akan tersumbat.
Apabila semakin banyak salur darah tersumbat, aliran darah mungkin menjadi tidak normal sehingga berlakunya pendarahan dengan banyak.
Tambahan lagi, pendarahan ini mungkin diikuti dengan kesan parut yang akan menyebabkan kemusnahan kawasan dalam mata yang sensitif cahaya (retina) dan akhirnya membawa kepada pesakit menjadi buta selamanya.
Menurut Dr. Normalina, bermula dengan kelopak mata yang membengkak disebabkan keradangan sehingga kepada retina dan saraf optik boleh mengalami kerosakan sehingga menjadi buta kekal.
“Kelopak mata mudah mendapat jangkitan yang akan menyebabkan keradangan dan bengkak pada kelopak mata. Biasanya pesakit akan diberikan antibiotik," katanya.
Mata pesakit diabetes juga tidak selesa kerana masalah kornea yang mudah terhakis secara berulang (micro recurrent erosion) yang menyebabkan mata tidak selesa dan kering. Ini dapat diatasi dengan ubat titis (artificial eye drop) bagi melembapkan kornea.
Dr. Normalina menambah, pesakit juga menghadapi masalah di bahagian kamar hadapan mata (interior chamber) dengan keradangan dan pendarahan yang boleh menyebabkan mata kabur serta mempercepatkan glukoma.

“Mata hitam atau iris pula akan menyebabkan komplikasi di mana salur darah normal yang halus akan tumbuh pada anak mata menyebabkan pendarahan serta parut, di mana parut akan menutup pengaliran bendalir dalam mata dan boleh menyebabkan glukoma.
“Pesakit boleh dirawat dengan laser bagi 'membunuh' salur darah baru yang tumbuh dan mengurangkan komplikasi. Bagaimanapun rawatan laser tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang dan hanya melambatkan komplikasi," katanya.
Pesakit diabetes juga jelas Dr. Normalina biasanya mengalami masalah berkaitan dengan kanta seperti perubahan refluksi mata sekejap kabur sekejap terang. Ini berlaku apabila gula dalam darah meningkat menyebabkan kanta mata cembung dan mengurangkan cahaya masuk ke dalam mata dan bila gula normal, kanta menjadi normal dan penglihatan terang semula. Pesakit disaran mengawal paras gula.
Pesakit juga mudah mendapat katarak (pemutihan kanta) dan rawatan pembedahan bagi menukar kanta baru.
Dr. Normalina berkata, selain kamar hadapan mata, kamar belakang juga mengalami masalah keradangan dan pendarahan. Kesan dan rawatan sama seperti kamar hadapan.
“Masalah retina juga mendatangkan masalah seperti saraf dan salur darah yang akan menyebabkan salur darah tidak normal dan tersumbat dan menyebabkan kekurangan oksigen ke retina.

“Dinding salur darah menjadi nipis dan bocor serta mengeluarkan bendalir menyebabkan retiopati diabetes dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan kekangan pada retina. Tanda-tanda seperti pendarahan dalam mata dan retina yang berparut boleh menyebabkan retina menjadi lekang.
“Ini boleh dirawat dengan laser bagi menghalang pertumbuhan salur darah baru tetapi tidak dapat mengembalikan penglihatan yang hilang," katanya.
Dr. Normalina menambah, saraf optik juga berpotensi rosak kerana bekalan darah yang berkurangan boleh menyebabkan buta. Ini boleh diatasi dengan pembedahan.
Motor akula (occular motor) juga mungkin boleh menjadi bengkak dan menyebabkan pesakit menghadapi masalah penglihatan tengah (central vision) dan pesakit menghadapi masalah untuk membaca tetapi masih boleh melihat.

No comments:

Post a Comment