Namun bukan sebab itu sahaja yang menjadikan Restoran Resipi Noorjihan mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan di sekitar Batu Belah, Klang, Selangor dan sekitarnya.
Restoran ini dikenali kerana menyediakan hampir keseluruhan masakan berasaskan daging dan masakan Jawa, malah yang paling mendapat sambutan adalah masakan kulit lembu masak lemak.
Menurut pemilik restoran Noorjihan Sahed, 58, antara hidangan berasaskan daging seperti daging masak kicap, gulai daging, kari daging, sup daging, sup ekor, masak lemak perut daging dengan rebung, sate, daging masak merah, daging masak kurma dan banyak lagi.
Selain itu masakan-masakan lain yang mengiringi termasuk sambal goreng Jawa, tempe goreng ikan bilis, sambal tomato, ulam-ulaman, asam pedas, kerabu kangkung, kari kepala ikan dan sebagainya.
Noorjihan sendiri pernah membuka kafe di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama tiga tahun, sebelum akhirnya membuka restoran berkenaan sejak tahun 2004.
Ketika ditanya mengenai menu istimewa iaitu kulit lembu masak lemak, Noorjihan yang dibantu suaminya, Ustaz Md. Ali Sarbini iaitu mantan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, memberitahu, ramai pelanggan yang menggemari masakan tersebut.
Bahkan katanya, ada yang datang dari jauh semata-mata ingin menikmati hidangan kulit lembu masak lemak.
“Hidangan ini digemari kerana rasanya sedap dan kulit lembu terasa kenyal apabila dikunyah. Setiap hari sajian ini akan habis dahulu berbanding makanan-makanan lain,” katanya yang mempunyai tujuh orang cahaya mata.
Noorjihan menjelaskan, setiap hari seawal lima pagi, suaminya, Md. Ali akan mendapatkan bekalan kulit lembu kampung daripada pembekal di Banting, Selangor.
“Sehari, paling kurang pun kami kena beli sebanyak lima kilogram. Kulit lembu ini memerlukan proses yang rumit untuk membersihkannya termasuk kulitnya disiat, dikeringkan kemudian direbus sehingga benar-benar lembut untuk dimakan.
“Tapi bagi memudahkan, kami membeli kulit lembu yang telah siap diproses dan sampai di restoran kita terus memasakkannya,” jelasnya yang turut mengambil tempahan untuk katering dan majlis-majlis keramaian.
Noorjihan yang turut mempunyai beberapa pekerja memberitahu, dia sendiri yang akan memasak semua hidangan tersebut bagi memastikan keenakan lauk-lauk berkenaan sentiasa terjaga.
Bagi yang ingin menikmati hidangan-hidangan Jawa secara tradisional dan kulit lembu masak lemak bolehlah berkunjung ke restoran ini yang terletak di 2846 A, Jalan Bahagia, Kampung Batu Belah, Klang, Selangor, atau talian 019-3773375.