BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, February 26, 2015

NASI AYAM PAK HJ. YA- KUAH, LANGKAWI


RESTORAN Pak Hj. Ya Nasi Ayam terletak di Pekan Kuah, Langkawi.


SUASANA luar restoran kelihatan seperti salah sebuah kedai nasi ayam yang biasa dilihat di sekitar pekan Kuah, Langkawi, Kedah.
Bermula dengan perniagaan gerai secara kecil-kecilan, Zakaria Abdon, 56, mungkin boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini.
Perniagaan yang dahulunya dijalankan secara kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah restoran.
Apa yang boleh dikatakan, Restoran Pak Hj. Ya Nasi Ayam bukan sahaja dikenali dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan para pelancong di Pulau Legenda itu.
Menurut Zakaria atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ya, antara keistimewaan nasi ayamnya ialah resipinya.
Pak Ya mula berniaga secara kecil-kecilan di sebuah gerai tidak jauh dari restoran tersebut sejak tahun 1994.
“Resipi nasi ayam ini merupakan resipi warisan. Ayam digoreng garing dan dihidangkan bersama kicap serta hirisan sayur kubis,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Tambahnya, hidangan ringkas iaitu nasi bersama ayam goreng, sos dan sup panas menjadi kegemaran pelanggannya.
“Ramai yang sukakan ayam goreng kerana sebelum digoreng garing, ia diperap bersama sos istimewa,” jelasnya.
Menurut Pak Ya, harga satu set nasi ayam ialah RM4.50.
“Selain itu, kami akan memastikan kualiti makanan, premis bersih dan berkeadaan baik bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati,” katanya.
Ujarnya, seramai 25 pekerja membantu di restorannya yang kini mampu memuatkan seramai 300 pelanggan.
“Kami rekodkan kira-kira 1,000 bungkusan nasi ayam setiap hari dan 800 pinggan bagi pesanan di restoran,” ujarnya yang memberitahu, sebanyak 100 ekor ayam digoreng setiap hari bagi memenuhi permintaan tersebut.
Tambah Pak Ya, pada masa hadapan, beliau bercadang untuk membuka sebuah cawangan di kawasan Pantai Chenang.
Sementara itu, salah seorang pelanggan tetapnya, Mohamad Zamri Abdul Mutalib, 29, memilih restoran itu sebagai salah sebuah restoran kegemaran keluarganya.
“Sudah lapan tahun saya dan isteri menjamu selera di restoran ini dan nasi ayam yang lazat ini sememangnya menjadi pilihan kami sekeluarga,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment