Lemang yang juga merupakan antara makanan wajib dihidangkan kepada tetamu pada Hari Raya Aidilfitri cekup enak dinikmati bersama kuah kacang atau rendang.
Pada hari biasa, memang sukar mencari lemang untuk dinikmati dan tidak ramai yang rajin memasaknya memandangkan proses membuat makanan tradisional ini agak sukar kerana perlu mencari buluh, pulut, santan dan kayu api atau sabut kelapa untuk membakarnya.
Menyedari makanan itu mempunyai peminat sendiri, Mohd. Saiful Bahari Roslin, 38, memanfaatkan peluang tersebut untuk mencari rezeki dengan menjual lemang di Medan Niaga Satok, Kubah Ria di sini pada setiap hujung minggu.
Dinamakan lemang Betawi, produk makanan dihasilkan oleh lelaki berasal dari Kampung Tupong, Petra Jaya di sini, cukup istimewa kerana lemang tersebut tidak perlu dimasak dan dibakar dalam buluh.
Menurut Mohd. Saiful, resepi lemang Betawi diwarisi daripada nenek moyangnya yang tinggal di Kota Samarahan dekat sini.
Beliau berkata, berbeza dengan lemang biasa, lemang Betawi dimasak dengan cara kukus selama kira-kira 4 jam dalam periuk besar di atas dapur gas.
“Lemang ini akan dibalut dan diikat kemas dengan daun pisang. Untuk membentuk rupanya sama seperti lemang, kita perlu memasukkan daun pisang ke dalam buluh yang menjadi acuan dan dikeluarkan semula lalu diikat dengan tali nilon.
“Saya juga mengisar daun pandan untuk mendapatkan patinya yang kemudian dicampur dalam lemang yang dimasak agar berbau harum dan mempunyai rasa yang enak,” katanya ketika ditemui di Medan Niaga Satok baru-baru ini.
Walaupun tidak dimasak menggunakan buluh dan dibakar, Mohd. Saiful berkata, rasa lemang Betawi dibuatnya tetap enak dan tidak jauh rasa berbanding lemang biasa.
Beliau berkata, lemang yang mempunyai panjang kira-kira 66 sentimeter itu dijual dengan harga RM6 sebatang.
Katanya, sambutan orang ramai terhadap lemang Betawi cukup menggalakkan apabila beliau mampu menghabiskan jualan 80 hingga 90 batang lemang bermula pukul 6 hingga 10 pagi setiap kali membuka gerainya di medan niaga tersebut.
“Bagi memudahkan orang ramai menikmati lemang ini, saya turut menjual kuah kacang buatan sendiri dengan harga RM3 sebungkus.
“Perniagaan menjual lemang Betawi merupakan pekerjaan tetap saya kerana jika tidak berniaga pada hujung minggu, saya akan sibuk memenuhi tempahan daripada pelanggan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menempah lemang Betawi daripada Mohd. Saiful boleh menghubungi beliau menerusi 016-8689004.