AROMA menyelerakan menusuk hidung sebaik melangkah masuk ke Thirteen Street Cafe di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Waktu itu menghampiri pukul 4 petang. Suasana di dalam restoran sudah kelihatan sesak dengan orang ramai sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan menunggu hidangan masing-masing.
Menariknya, restoran ini menggabungkan konsep deko moden, santai dan elegan. Awalnya, pemilik, Mona Din bersama rakan kongsi iaitu anaknya, Muhammad Izzul Haziq dan adiknya, Fauziah Din tidak menyangka restoran ini menjadi pilihan golongan berkeluarga untuk menjamu selera. Hanya dengan promosi di laman sosial, sambutan terhadap restoran ini di luar jangkaan.
“Pada awalnya, saya mencadangkan sebuah kafe yang sesuai untuk minum petang. Santai dan relaks. Namun, ramai yang datang berkeluarga atau dengan rakan-rakan. Setiap hari kami akan mengubah dan menambah hidangan yang sesuai untuk sarapan, makan tengahari dan malam,” katanya.
Dengan harga yang sangat berpatutan, restoran yang baru sebulan dibuka ini menyediakan pelbagai pilihan makanan, daripada nasi sehingga ke pencuci mulut. Terdapat ruang yang menyediakan aneka kek berwarna-warni. Terdapat juga makanan ringan ala Melayu seperti keropok lekor.
Malah hidangan disediakan dalam bekas atau pinggan besar. Penulis dan jurugambar memulakan dengan menu Special Waffle Ice Cream. Hiasan menu ini sangat cantik dan menarik. Sebaik-baik sahaja kami memakan manisan mulut ini, memang tidak dapat disangkal lagi keenakan waffle apabila dimakan bersama aiskrim vanilla serta sedikit rasa masam buah beri yang dihidang bersama.
Mona berkata, dia amat mementingkan selera pelanggan dan konsep itu diterapkan dalam menu restorannya.
“Kami mahu pelanggan bebas memilih makanan kegemaran dengan variasi menu menarik.
“Tidak hanya menumpukan golongan muda, menu juga disediakan untuk setiap lapisan umur dan masyarakat. Selain pelbagai hidangan Barat seperti stik, kami juga menyajikan aneka sup dan nasi,” katanya.
Bercerita tentang dekorasi, Mona gemarkan konsep hipster yang berbeza dengan restoran lain. Sebab itulah, setiap lukisan yang ada pada dinding restoran ini sebenarnya sesuatu yang baru dan hanya dapat dilihat di restoran ini.
Malah, ia dihiasi dengan pelbagai dekorasi menarik seperti meja dan kerusi tempahan khas menggunakan kayu palet Pine.
Mona mahu pelanggannya menikmati hidangan dengan selesa, seolah-olah berada di rumah sendiri.
Terdapat juga ruang Love Corner bagi pasangan yang ingin menikmati hidangan dalam suasana romantis.
Mula operasi jam 9 pagi sehingga 11 malam, restoran tersebut mampu menampung 78 pelanggan dalam satu-satu masa. Restoran ini turut menerima tempahan untuk majlis hari jadi dan keraian lain.
Antara makanan tempatan yang terpadat di restoran ini ialah ikan bakar, nasi lemak sotong, nasi daging air asam, mi rebus Utara, laksa Utara, bihun sup Utara dan lontong soto.
Penggemar makanan Barat pula boleh mencuba aneka hidangan seperti ayam roasted dan panggang, kambing, salmon panggang, spageti dan banyak lagi.
Restoran ini menawarkan lebih 100 menu dengan harga makanan serendah RM3 hingga RM30 (premium) kepada penggemar makanan tempatan dan Barat.
No comments:
Post a Comment