BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, June 14, 2012

PUSAT IKS PONTIAN BAKAL SIAP TAHUN INI

PONTIAN 11 Jun - Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini berpeluang menggunakan kemudahan Pusat Pengumpulan IKS dengan pembinaan sebuah kompleks bernilai RM425,000 yang dijangka siap tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ahmad Maslan berkata, Pontian juga tidak terkecuali mempunyai ramai pengusaha IKS terutama dalam pengeluaran makanan ringan, kuih-muih tradisional Melayu dan produk lain.
Menurut beliau, pada asalnya peruntukan daripada JPM diberikan bagi membina Dataran Parlimen Pontian, namun ditukar bagi membantu para pengusaha IKS yang lebih memerlukan sebuah pusat pengumpulan. Ia juga berperanan merapatkan lagi jalinan perniagaan dalam kalangan pengusaha IKS yang kini banyak bergerak sendirian memasarkan produk mereka.
"Pusat IKS ini juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan memandangkan kedudukannya di laluan utama Pontian ke Batu Pahat serta ke Lebuh Raya Utara Selatan," katanya ketika merasmikan Pusat IKS Parlimen Pontian di Jalan Parit Ibrahim, Sungai Pinggan, di sini baru-baru ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pihaknya gembira kerana hasrat untuk melihat terbinanya sebuah pusat IKS tercapai setelah tertangguh beberapa lama berikutan masalah kewangan.
Menurut beliau, sebuah jawatankuasa atau urus setia akan ditubuhkan bagi menyelaras perjalanan pusat IKS yang juga satu bentuk pelaburan besar kerajaan demi melihat pengusaha IKS terus berdaya saing bagi menjana ekonomi negara.
"Pusat IKS ini juga boleh berperanan sebagai pusat sehenti kepada para pengusaha dan pembeli termasuk dalam kalangan mereka yang ingin membelinya dalam bentuk skala lebih besar bagi tujuan eksport dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap para pengusaha dapat mengambil peluang disediakan dengan sebaik mungkin sejajar usaha mentransformasikan ekonomi masyarakat di luar bandar.

No comments:

Post a Comment