BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, November 29, 2013

MEKANISME TARIF ELEKTRIK BARU DIKAJI

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Malaysia dijangka memperkenalkan mekanisme tarif elektrik baharu dengan memperkenalkan sistem waktu puncak dan bukan puncak ke atas pengguna kediaman.
Perbincangan mengenainya sedang dilakukan oleh syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation (MyPower), Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, kajian itu akan mengambil sedikit masa dan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Kaedah ini telah diguna pakai di peringkat industri komersial.
"Kajian menyeluruh akan dilakukan bagi memperkenalkannya kepada pengguna akhir," katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel di dalam Forum Kecekapan Tenaga, di sini hari ini.
Sistem waktu puncak dan bukan puncak merupakan mekanisme tarif elektrik yang mana kadar caj elektrik berbeza mengikut waktu tertentu.
Sebagai contoh, kadar caj elektrik yang dikenakan pada waktu malam adalah lebih murah berbanding waktu siang.
Mekanisme ini dianggap sebagai alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan bayaran bulanan elektrik apabila lebih banyak menggunakan tenaga elektrik pada bukan waktu puncak.
Beberapa negara maju di Eropah serta Australia telah mengguna pakai kaedah tersebut.
Ketika ini, mekanisme caj elektrik yang dikenakan kepada pengguna kediaman di Malaysia adalah berdasarkan blok kepenggunaan kilowatt.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili dilaporkan berkata, kenaikan tarif elektrik dijangka berlaku awal tahun hadapan sebagai sebahagian daripada program merasionalisasikan subsidi.
Sebanyak RM12 bilion diperuntukkan setiap tahun oleh kerajaan untuk subsidi sektor tenaga.

No comments:

Post a Comment