Jangan tertipu! Restoran Hayaki menghidangkan makanan Pantai Timur khususnya masakan Kelantan persis di tempat asalnya.
Sebut saja menu negeri Cik Siti Wan Kembang itu daripada nasi kerabu, ayam percik, nasi dagang ikan tongkol, nasi kukus ayam goreng, pulut mangga, semuanya ada dan menggamit selera.
Mango ice rock iaitu isi mangga dikisar dengan ais dan ditambah dengan kiub mangga pula sungguh menyegarkan!
Jika tidak suka mangga, anda boleh mencuba ice mint coffee, minuman nescafe susu yang ditambah pudina bagi kelainan rasa.
Ditambah dengan pulut mangga yang dicurah santan pekat, pasti membuat air liur meleleh.
Pengurus Cawangan Hayaki Kopitiam (M) Sdn. Bhd., Mohd. Jawaidi Mohd. Zin berkata, Hayaki bermula di Kota Bharu, Kelantan pada 1998 dengan empat cawangan.
"Selepas itu pada 2010, Hayaki mengembangkan sayapnya ke Lembah Klang dengan cawangan di Setapak, Damansara, Kajang dan Shah Alam," katanya.
Bagi mendapatkan rasa persis di Kelantan, menurutnya, hampir semua bahan mentah seperti mangga serta rempah diambil dari negeri itu.
Ini termasuk warna ungu pada nasi kerabu, tidak menggunakan pewarna tetapi mengikut ramuan tradisi iaitu daripada sejenis bunga.
Sebagai bonus, restoran yang dibuka 24 jam setiap hari ini menyediakan kemudahan WiFi bagi pengunjungnya.
No comments:
Post a Comment