BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, January 26, 2014

CHEF MALAYSIA MENANG EMAS DI SWITZERLAND

Chef Zubir di Restoran Laman Grill Steak & Bar-B-Que miliknya di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

DATUK Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Zulfahmi Khairuddin, dan Pandalela Rinong antara nama-nama besar dalam bidang sukan yang berjaya mengangkat nama negara ke peta dunia.
Kejaguhan mereka tidak dapat disangkal lagi malahan mereka merupakan sandaran negara apabila menyertai kejohanan-kejohanan besar di luar negara.
Itu di bidang sukan, cerita dalam dunia masakan atau kulinari tidak kurang hebatnya. Nama Malaysia sekali lagi terpahat di peta dunia dengan sekumpulan juru masak profesional berjaya mendapat satu pingat emas dan satu pingat gangsa dalam pertandingan Culinary World Master yang telah berlangsung di Basel, Switzerland, baru-baru ini.
Kumpulan tersebut yang diketuai Chef Zubir Md. Zain turut dianggotai sembilan barisan chef profesional Malaysia yang lain seperti Chef Zahidin Dris, Chef Sazli Nazim, Chef Eric Siew Peng Onn, Chef Nur Helmi Kamaruddin, Chef Tay Chee Siang, Chef Nur Mohammad, Chef Kelvin, Chef Ismail Md. Yusuf, dan Chef Lawrence.
Menurut Chef Zubir, dalam pertandingan tersebut mereka menyertai dua kategori iaitu pameran hidangan makanan sejuk dan masakan panas.
Mempertaruhkan hidangan yang dimasak dengan menggunakan rempah ratus tempatan tetapi dihidangkan dalam bentuk moden dan cara Barat, mereka berjaya memperoleh pingat emas untuk kategori pameran hidangan makanan sejuk manakala untuk kategori masakan panas mereka mendapat pingat gangsa.
"Untuk kategori pameran hidangan makanan sejuk, kami perlu menyediakan lima hidangan di mana kesemua hidangan ini perlu kelihatan sentiasa segar dan sejuk semasa disajikan di meja pameran.
"Manakala untuk kategori masakan panas pula kami perlu menyediakan tiga hidangan yang merangkumi pembuka selera iaitu gabungan ikan salmon dengan udang harimau, kombinasi daging lembu dan kambing sebagai sajian utama dan pencuci mulut pula adalah puding sejuk dan panas yang digabungkan sekali dengan coklat mousse.
"Pada pertandingan ini, kami diadili tanpa mengetahui yang mana satu juri kerana kami perlu menyediakan hidangan untuk 120 orang dalam tempoh lima jam jadi penilaian akan dibuat ketika mereka merasa masakan kami," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya di Shah Alam, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan tersebut, Chef Zubir memberitahu, ia hanya diadakan enam tahun sekali dan hanya disertai 10 negara terbaik di dunia.
Dianjurkan oleh Persatuan Juru Masak Switzerland dan diiktiraf oleh Persatuan Juru Masak Sedunia (WACS), antara negara-negara lain yang turut serta ialah Singapura, Hong Kong, Switzerland, Canada, Jerman, Itali, Afrika Utara, Republic Czech, dan Belanda.
Pertandingan tersebut yang diadili berdasarkan cara potongan, saiz yang disajikan, persembahan sajian, kesesuaian sajian, dan penggunaan bahan-bahan mentah merupakan antara kriteria yang dititik beratkan oleh pengadil pertandingan tersebut dalam mencari pemenang.
Mengakui menghadapi pelbagai rintangan serta masalah sebelum berangkat ke Basel, bagaimanapun menurut Chef Zubir segala-galanya dapat diatasi apabila setiap ahli kumpulan memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi.
Berbicara pula mengenai persiapan yang dilakukan sebelum bertolak di sana, Chef Zubir memberitahu kumpulannya telah melakukan persediaan dan latihan lapan bulan sebelum pertandingan berlangsung.
Banyak membuat latihan di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan majlis makan malam untuk mengutip dana bagi menampung segala perbelanjaan.
Apa yang pasti, ulas Chef Zubir lagi, pertandingan tersebut bukan sahaja dilihat menguji kecekapan setiap para peserta malah turut menguji sejauh mana masakan yang dimasak mampu diterima para juri dan juga tetamu.
Begitupun jelas Chef Zubir, penyertaan Malaysia tahun ini dilihat tidak sia-sia apabila berjaya membawa pulang dua pingat sekali gus mengangkat nama negara di mata dunia.
"Syukur Alhamdulillah kerana 'perjuangan' kami di Basel berbaloi dan sudah pasti kami ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama sekali kepada syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk pengangkutan barangan, Kementerian Pelancongan Malaysia, Persatuan Juru Masak Malaysia dan Hotel Doubletree by Hilton yang sudi menaja tempat latihan kami.
"Kemenangan ini menaikkan lagi semangat kami untuk terus menyertai apa juga pertandingan yang bakal diadakan kelak terutama sekali di peringkat antarabangsa.
"Paling penting kami juga berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan dengan kemenangan yang diperoleh ini bakal menaikkan lagi kedudukan Malaysia dalam senarai," katanya lagi.
Pada November tahun ini, satu lagi pertandingan memasak bertaraf antarabangsa, Culinary World Cup bakal diadakan di Luxembourg dan kejohanan berprestij ini merupakan antara tiga kejohanan terbaik dan terunggul di dunia.
Diadakan setiap empat tahun sekali, sebanyak 35 hingga 40 buah negara bakal bertanding.

No comments:

Post a Comment