Antara yang menjadi tumpuan adalah gerai Faridah Mentarang Bakar yang sering dikunjungi penggemar makanan laut itu.
Pemiliknya, Sazali Zainal, 54, berkata, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke gerainya bukan sahaja daripada kalangan penduduk sekitar, malahan ada yang datang dari Lembah Klang.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan di gerai miliknya menjadi faktor utama pelanggan kerap berkunjung ke situ seperti ruang makan menarik, tempat letak kereta percuma dan hidangan istimewa berasaskan mentarang.
"Pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan yang disaji sama ada secara bersila di pondok atau duduk di meja makan yang disediakan di pinggir tali air dalam suasana kampung yang sangat menarik," katanya.
Keistimewaan lain yang terdapat di situ adalah pelanggan boleh membeli mentarang segar untuk dibawa pulang pada harga berpatutan.
"Ada di antara pelanggan membeli mentarang pada harga RM10 sekilogram untuk dibawa pulang," kata Sazali.
Dia yang membuka gerainya bermula dari pukul 10 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat berkata, keunikan rasa mentarang bakar semakin digilai penggemar makanan laut sehinggakan dia mendapat tempahan dari luar Selangor.
"Mungkin sebelum ini mentarang bakar tidak dikenali tetapi selepas hasil laut ini dikomersialkan, ia terus menjadi makanan yang digemari," ujarnya.
Menurutnya, pada hari-hari biasa, dia mampu menjual kira-kira 50 kilogram tetapi hujung minggu mampu mencecah 100 kilogram.
Di gerainya juga terdapat air kelapa segar dari jenis kelapa pandan dan kelapa gading yang amat digemari para pelanggan.
Gerai mentarang bakar miliknya merupakan yang pertama dibuka di daerah itu sejak empat tahun lalu dan menjadi pelopor sebelum diikuti oleh beberapa peniaga lain.
"Harapan saya adalah kawasan Sekinchan dapat menjadi tumpuan penggemar makanan laut khususnya mentarang dan besar lagi harapan saya agar makanan ini dapat dikomersialkan secara lebih meluas, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.
No comments:
Post a Comment