Rahsia keenakan sambal nasi lemak di kedai yang diusahakan Zahidah Abd. Hamid ini, kerana dicampur dengan kelapa kisar.
Mula-mula cili akan dimasak terlebih dahulu sehingga pecah minyak. Kemudian baru dimasukkan ikan bilis yang telah digoreng lembab bersama bawang besar dan garam. Apabila sambal hampir masak baru masukkan kelapa kisar. Biarkan sekejap baru dimasukkan air asam jawa.
Keseluruhan proses memasak sambal ini mengambil masa selama tiga jam. Kelapa kisar yang dicampurkan ke dalam sambal menambah rasa lemak sambal dan mengurangkan rasa pedas. Air asam yang dimasukkan lambat juga bagi mengelakkan sambal daripada cepat basi.
Demikian menurut Zahidah mengenai resipi sambal yang dipelajari dan diwarisi daripada ibunya, Zainab Jahari yang merupakan peniaga asal Nasi Lemak Kampung Pandan.
Ketika itu Zainab yang berniaga nasi lemak sejak tahun 1979 hanya berniaga di jalan susur Kampung Pandan dan bertahan di situ selama lebih 20 tahun.
Atas faktor usia dan kesihatan ibunya, Zahidah mengambil-alih perniagaan dengan dibantu adik-beradik yang lain namun lokasinya telah berpindah di No. 21, Pusat Penjaja DBKL, Jalan Wirawati, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Zahidah berkata, sambal nasi lemak tersebut dibuat pada malam sebelumnya dan dibiarkan sejuk baru ditutup periuk bagi mengelakkan daripada cepat basi. Seawal pukul 6 pagi, dia telah mula memasak nasi dan lauk-pauk yang lain seperti telur rebus, ikan bilis goreng, rendang ayam, rendang daging dan sebagainya.
Dalam sehari dia menyediakan nasi lemak untuk dimakan seramai 300 orang dan jumlah tersebut berganda pada hari Sabtu dan Ahad. Pelanggan lebih ramai pada hujung minggu dan cuti sekolah dan ada yang sanggup datang dari Sungai Buluh, Bangi, Putrajaya dan Damansara.
Malah, Nasi Lemak Kampung Pandan mempunyai ramai pelanggan tetap yang terdiri daripada orang kenamaan, artis dan selebriti.
Selain terkenal dengan nasi lemak, kata Zahidah, kedainya juga mempunyai banyak jenis makanan lain seperti lontong yang dimakan bersama serunding kelapa, sambal tumis, sambal kelapa dan sambal sotong kering juga soto bergedil, mihun, mi dan lebih 15 jenis kuih-muih seperti kuih bom, karipap, seri muka, koci, pulut inti, rengas, badak dan sebagainya yang berjumlah 1,000 biji.
Harga pun tidaklah mahal tetapi puas makan. Lontong dan sotong cuma berharga RM4, nasi lemak lauk rendang juga RM4 dan soto bergedil RM5.
Kalau hari biasa pun pelanggan beratur panjang, kalau hujung minggu lebih lagi, sampai ada pelanggan yang marah-marah kena beratur sebab hendak beli makanan.
Sebenarnya sebelum kedai dibuka lagi pelanggan sudah menunggu terutamanya mereka yang pulang dari surau dan masjid. Ada pelanggan yang dulunya datang membawa anak yang masih bayi, datang lagi setelah anaknya sudah bersekolah menengah," ujar Zahidah yang memulakan perniagaan dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Tambahnya, ada juga pelanggan yang memesan nasi lemak dan kuih-muih untuk jamuan kenduri dan majlis-majlis lain. Sebuah bank tempatan sudah menjadi pelanggan tetap membuat pesanan lontong, nasi lemak dan kuih-muih untuk jamuan hari raya.
Jika anda ingin mengetahui lokasi Nasi Lemak Kampung Pandan, boleh menghubungi Zahidah di 017-6696741.
No comments:
Post a Comment