|
Walaupun debaran ketika melepasi laluan bukit securam 40 darjah masih belum reda, namun, suasana nyaman tatkala pintu pagar kayu berwarna coklat dilepasi membuatkan kami begitu teruja untuk menerokai segenap inci sudut restoran tersebut.
"Sampai juga akhirnya. Sebelum ini ramai yang datang mencari tetapi ada yang berpatah balik kerana tidak jumpa.
"Lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa melalui tanah kosong dan bukit-bukau di bawah sana," kata pemilik restoran tersebut, Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, penuh mesra.
Menurut lelaki berumur 32 tahun itu, restoran yang dibuka pada penghujung tahun 2012 itu diusahakan bersama kakaknya, Norhayati Mohd. Fauzi, 35.
"Pada asalnya, lokasi ini sering dijadikan tempat berkumpul sahabat dan keluarga setiap kali kakak saya mengadakan majlis makan-makan.
"Namun, disebabkan lokasi di sini begitu tenteram dan unik, ramai yang meminta kakak dan suaminya supaya membuka sebuah restoran di kawasan ini," jelasnya.
Ujarnya, atas dorongan dan semangat itu, mereka akhirnya berjaya membuka sebuah restoran berkonsepkan suasana kampung di tanah seluas 0.6 hektar.
Lebih menarik apabila dua buah rumah tradisional Melaka tersergam indah di tengah-tengah restoran itu. Bukan sekadar perhiasan, sebaliknya, pengunjung berpeluang menikmati santapan malam di dalam rumah yang berusia ratusan tahun itu.
Menurut Norhayati, rumah tersebut pada asalnya didirikan di Melaka, namun suaminya, yang juga novelis popular tanah air, Ahadiat Akashah mengambil inisiatif untuk membeli dan memindahkan rumah tersebut ke tapak yang kini menjadi restoran.
"Suami saya seorang yang begitu menghargai barang-barang antik dan bersejarah.
"Lebih-lebih lagi apabila melihat rumah tradisional ini yang dibuat menggunakan kayu berkualiti tinggi dan dipasang secara pasak tanpa menggunakan sebatang paku pun," jelasnya.
Untuk itu, pada tahun 2008, Norhayati dan suami menggunakan tiga buah lori treler dan mengupah 20 orang tenaga kerja untuk memindahkan rumah tersebut.
"Paling saya tidak boleh lupa apabila kami terpaksa menjadikan rumah ini seperti menyelesaikan puzzle ketika sesi pemasangan semula.
"Mana tidaknya, jika satu kayu salah atau dipasang terbalik, kami terpaksa membuka semula kayu tersebut. Disebabkan itu, proses memasang semula rumah ini mengambil masa sehingga tiga bulan lamanya," jelasnya.
Begitupun, kata Norhayati, dia tidak menyangka hasil daripada usaha keras itu, mereka berjaya mendirikan semula rumah tradisional Melaka tersebut.
Nyanyian 'orkestra' semula jadi daripada sekumpulan cengkerik di dalam hutan menjadi halwa telinga pengunjung sepanjang menjamu selera di Golek-Golek.
Rona kayu yang diselitkan dengan sedikit elemen merah pula berjaya menonjolkan keunikan restoran ini.
Beritahu Norhayati, pemilihan warna merah pada tangga batu rumah itu dilakukan bagi mewujudkan keseragaman warna pada struktur batu-batanya.
Tambahan pula, warna merah menjadi antara warna yang sering digunakan pada tangga rumah tradisional Melaka, selain warna hijau lumut.
Bagi membangkitkan lagi suasana kampung, Norhayati menghias keliling restoran tersebut dengan tempayan kaca lama berwarna coklat.
Lebih unik, meja-meja yang dijadikan tempat santapan diolah daripada pintu kayu lama.
Menurut Norhayati, untuk mengekalkan warna kayu pada dinding rumah dan meja makan restoran tersebut, dia akan memastikan setiap permukaan kayu disyelek dua kali setahun.
"Kami mengetengahkan menu hidangan kampung seperti ikan bakar sambal petai dan ikan pari bakar yang dimasak sendiri oleh saya serta dibantu enam orang kakitangan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment