Melihat kepada nama bagai-kan senjata, terfikir bagaimana ‘ganas’ pula menu yang bakal dihidangkan. Apa pun namanya, mereka yang berkunjung ke Restoran AK47 sememangnya berpuas hati bukan saja kerana atmosferanya yang santai bahkan menunya yang memikat selera pelanggan.
Walaupun baru dibuka lebih kurang setahun dan berbekal hanya dengan cerita dari mulut ke mulut serta blog pelanggan yang pernah mencicip hidangan di sini, Restoran AK47 semakin mendapat perhatian bukan saja warga sekitar Setiawangsa tetapi mereka yang datang dari sekitar Lembah Klang, Selangor bahkan dari Johor, Kelantan dan Terengganu.
Menurut Pengurus Restoran AK47 yang juga salah seorang rakan kongsi, Ismail Ibrahim, pelanggan yang mahu makan selepas jam 7 malam seelok-eloknya membuat tempahan bimbang kerana tidak mempunyai tempat untuk duduk.
“Di sini pelanggan boleh memilih pelbagai menu daripada ala Barat hingga ala Timur termasuk hidangan masakan Thai utara yang unik tetapi menepati selera semua golongan.
“Bagi memikat hati pelanggan kami memastikan pelanggan akan mendapat hidangan dalam masa yang singkat,” katanya yang berpengalaman bekerja di hotel terkemuka selama beberapa tahun.
Pelanggan boleh memesan menu seperti Kerabu Dua Jiwa di mana seekor ikan yang dimasak dengan dua perisa berbeza, kerabu kangkung yang rangup, ayam lemon yang tidak menjemukan, chicken chop black pepper dengan kuah campuran bayam yang enak.
Terdapat juga ayam golden blue yang unik, sate yang sedap dimakan begitu saja, hamock seafood iaitu gabungan makanan laut yang dimasak dengan rempah yang menyelerakan atau tomyam Perahu Pecah iaitu tomyam utara Thai dengan pelbagai makanan laut termasuk ikan. Pesan saja apa yang ingin dirasa.
“Jangan bimbang dengan menu kerana di sini kami mempunyai lebih 50 menu lazat yang boleh dipesan termasuk itik panggang yang jarang didapati di restoran Melayu,” kata bekas anggota tentera ini.
Selain memesan ala carte, pelanggan juga boleh memesan set makanan bagi dua, empat atau lapan orang yang lebih menjimatkan tetapi masih enak dan menyelerakan.
Bagi mendapatkan bahan mentah terbaik, semuanya menjadi tugas seorang lagi rakan kongsi, Asrof Mahadi yang bertanggungjawab mengenai perbelanjaan dapur.
Tidak sah rasanya makanan yang enak tanpa minuman yang menyegarkan. Jadi pelanggan boleh memilih tiga saiz minuman kecil, biasa atau besar dengan pilihan epal asam boi, kelapa blended, blackforest, pisang blended selain ABC. Laicikang atau minuman panas.
“Semua jus buah-buahan di sini menggunakan buah-buahan segar dan pelanggan boleh memilih pelbagai jenis minuman panas atau sejuk,” katanya.
Restoran yang dibangunkan dengan beberapa rakan lain boleh memuatkan lebih kurang 350 orang pada satu-satu masa di mana pelanggan boleh memilih konsep santai dengan bersila atau duduk di atas kerusi seperti biasa.
Setakat ini, jelas Ismail, ramai pelanggan gemar membuat pelbagai majlis seperti hari jadi atau tahlil di Restoran AK47 mungkin kerana konsepnya yang santai. Ditanya mengenai perancangan masa depan, Ismail berkata pihaknya sedang merancang membuka beberapa cawangan lagi di Damansara dan Melaka dalam masa terdekat.
“Kami mendapat banyak pertanyaan dan permintaan daripada pelanggan yang mahukan kamu membuka cawangan di tempat mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment