Sajian piza dan pasta merupakan makanan yang popular di Itali, namun ini sudah jadi sajian sejagat termasuk di negara ini.
Sebut sahaja piza, pelbagai gambaran dan jenis sajian terbayang di mata satu persatu. Tambahan pula dengan aneka perisian dan sos yang menggiurkan ketika cebisan piza memasuki mulut.
Salah satunya menikmati aneka piza dan pasta istimewa adalah di Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza, yang terletak di Sunway Piramid, Petaling Jaya, Selangor.
Melangkah masuk ke dalam restoran Itali dengan susun atur yang serba ringkas tetapi tersusun ini, pengunjung disambut dengan aroma wangi piza membuatkan selera untuk menikmati sajian semakin terbuka.
Pelanggan boleh memilih sama ada menikmati sajian tersebut dalam restoran atau mahukan suasana santai di bahagian luar tepi restoran.
Kelainan menu piza dan pasta bukan sahaja terletak pada cara pembuatan dan penyediaan bahan-bahannya, malah tarikan pada sos yang dihasilkan sendiri oleh tukang masak
Rangkaian Pertama Ristorante Italiano Capricciosa Pasta & Pizza di Malaysia yang mula di buka pada 2011, merupakan sajian asli Itali yang mendapat pengesahan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Urusannya, Ryan Poh berkata, mereka menggunakan bahan-bahan yang baik dan berkualiti dengan penyediaannya mengikut kaedah yang betul.
“Setiap bahan-bahan yang digunakan dalam menu di sini kami gunakan bahan yang berkualiti diimport kebanyakan dari luar negara.
“Cara penyediaan dan aspek kebersihan makanan yang dihasilkan sangat dititikberatkan melalui penggunaan bahan yang segar dan asli
“Adunan doh piza dan pasta dibuat menggunakan tangan setiap hari bagi menjamin rasa segar apabila dimakan. Rasa sos untuk pasta dan piza juga berbeza kerana dihasilkan menggunakan resipi asli dengan dua perasa iaitu tomato dan campuran sos,” katanya
Tambahnya lagi, sempena meraikan keriangan pelanggan yang meminati sajian Itali, terdapat lebih 20 menu baharu yang disajikan kepada pelanggan termasuklah hidangan pembuka selera, salad, menu pencuci mulut dan banyak lagi.
“Inovasi baharu memperkenalkan lima jenis sajian pembuka selera seperti Crispy Fried Mushrooms, Black Mussels, Garlic & Chili Shrimps, Herb Chicken Sausages dan Trio Platter Itali
“Sajian ini diadun dengan perisa sempurna dan tekstur yang lembut membuatkan pelanggan tidak sabar menunggu lama untuk menikmatinya.
“Menggunakan bahan-bahan yang baik semua aneka pasta termasuk Vongole, Neopolitan dan Chicken Basil Pesto di masak sejurus pelanggan membuat tempahan supaya kesegaran dan hanya rasa menu terbaik disediakan kepada mereka,” katanya
Katanya lagi, antara menu baharu yang dijangka mendapat sambutan dari pelanggan adalah pasta Vongole dan piza Beef Bolognaise yang disediakan dengan rasa asli Itali
“Pasta Vongole bukan sahaja pasta sederhana anda kerana ia datang dengan kepah beraneka perisa yang berjus kaldu
“Sementara piza Beef Bolognaise dimasak dengan teliti menggunakan sos daging lembu yang dimasak di atas api perlahan selama berjam-jam setiap pagi.
“Antara menu baru lain yang perlu dicuba pelanggan termasuklah Creamy Garlicky Salmon, Baked Lobster yang disajikan dengan pasta berkrim dan diadun bersama-sama sayur segar,”katanya.
Sementara itu, Capricciosa Malaysia juga merupakan rangkaian pertama di dunia menyediakan sajian pinggan besar kepada pelanggan yang ingin kepuasan ketika menikmati sajian di sini.
“Terdapat tiga jenis sajian termasuklah Ocean Platter untuk campuran makanan laut, Carnivore Platter untuk sajian daging dan Ultimate Surf & Turf untuk sajian seimbang
“Hidangan ini yang bermula dari RM 59.90 dengan pinggan besar boleh dinikmati seramai dua hingga tiga orang dalam satu-satu masa,” katanya.
No comments:
Post a Comment