MELANGKAH masuk buat pertama kali ke dalam Lads & Lassies, sudah cukup untuk menggambarkan kelainan yang ada dalam kafe tersebut. Keadaan itu membuatkan pengunjung berasa tidak sabar untuk menikmati hidangan yang disediakan oleh kafe yang diusahakan dua beradik, iaitu Shereena Saini dan Mohamed Danial.
Meskipun tiada pengalaman atau latar belakang dalam industri makanan dan minuman tetapi disebabkan minat, mereka memberanikan diri membuka kafe tersebut yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam.
Mungkin menu ala Barat di situ sama seperti yang disajikan di kafe atau restoran lain. Namun apa yang istimewa adalah daging yang digunakan dalam masakan dikisar sendiri.
“Hidangan di sini adalah resipi keluarga yang diajar oleh ibu kepada kami. Menu istimewa adalah burger dan kopi.
“Daging burger dikisar setiap hari, hasil adunan daging lembu tempatan dan daging lembu yang diimport dari New Zealand serta dicampur dengan herba khas,” kata Shereena ketika ditemui di kafe tersebut yang baru beroperasi penghujung Januari lalu.
Disebabkan keistimewaan rempah-ratusnya, tidak dinafikan rasa hidangan di situ berbeza dengan yang terdapat di kafe-kafe lain.
Meskipun berkonsepkan makanan Barat, elemen-elemen tempatan seperti rasa pedas tidak dilupakan bagi disesuaikan dengan masyarakat Malaysia.
Antara menu yang perlu dicuba ialah Kachang Phool, Sloppy Blue Cheese Burger, Machalo Moa dan Big Fat Juicy Burger.
Tidak ketinggalan pemanis mulut seperti Harsh Brownies dan Lemon Pineapple Cheesecake yang seperti tidak puas-puas dijamah.
Menurut Shereena, kebanyakan pengunjung terdiri daripada eksekutif muda dan pelajar institusi pengajian tinggi yang singgah selepas habis waktu bekerja atau kuliah.
Bagi golongan berkeluarga pula jelasnya, mereka selalunya singgah ke situ untuk menikmati makan malam.
“Ada juga pengunjung yang datang untuk melepak kerana suasana di dalam Lads & Lassies tidak sesak. Memang sengaja kami tidak menyediakan banyak kerusi dan meja supaya pengunjung berasa selesa.
“Disebabkan suasana yang sedikit tenang, mereka boleh meminjam buku yang disediakan sama ada untuk dibaca di sini atau dibawa pulang,” ujarnya.
Dari segi hiasan dalaman, apa yang ada di situ mempunyai kaitan dengan minat atau hobi Shereena dan Mohamed Daniel termasuk koleksi peribadi mereka.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Shereena memberitahu, mereka berhasrat untuk membuka ruang niaga berkonsepkan butik di tingkat atas yang boleh disewa oleh sesiapa sahaja.
Bagi penggemar makanan Barat, apa kata singgah di Lads & Lassies yang menawarkan kelainan dan keunikan tersendiri, bukan sahaja pada menu malah suasananya.
No comments:
Post a Comment