BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, June 24, 2015

RAMADHAN: KAWAL BELANJA BUKAN MELAYAN NAFSU

MENGELUH kerana terlebih berbelanja pada bulan Ramadan!

Mungkin ramai yang berada dalam situasi ini meskipun sepatutnya perkara itu tidak wajar berlaku.

Bagaimanapun, inilah realitinya saban tahun bagi mereka yang gagal mengawal nafsu terutama apabila berkunjung ke bazar Ramadan dan pusat membeli-belah.

Bukan sahaja soal makan minum yang berlebih-lebihan malah nafsu untuk mempunyai serba-serbi baru yakni bukan setakat kerusi meja, langsir tetapi hingga kereta baru!

BUFET RAMADAN

Kebanyakan daripada kita sejak kecil diajar dan diingatkan bahawa Ramadan adalah bulan untuk membanyakkan amal ibadat dan bukan untuk melayan nafsu!

Bagaimanapun, setiap kali tiba Ramadan, apa yang berlaku adalah sebaliknya!

Malah tidak keterlaluan jika ada pihak yang membuat rumusan bahawa bulan yang mulia ini semakin dikomersialkan.

Apa tidaknya jika mengambil kira iklan-iklan promosi sempena Ramadan termasuk pra-Ramadan.

Promosi bufet Ramadan umpamanya boleh menyebabkan sseorang itu makan lebih daripada sepatutnya apabila berdepan dengan berpuluh malah ratusan jenis makanan yang disajikan!

Premis hotel sejak kebelakangan ini menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin berbuka puasa di luar rumah dan mencuba selera makanan yang berbeza-beza.

Promosi Bufet Ramadan sudah mula kelihatan seawal bulan Jun lagi meskipun mengikut takwim Islam, 1 Ramadan jatuh pada 10 Julai.

Sebagai contoh, sebuah hotel di kawasan Ampang mempamerkan kain rentang mempromosi Bufet Ramadan pada harga sekitar RM60 untuk orang dewasa.

Promosi bufet Ramadan melalui akhbar juga tidak kurang hebatnya dalam hari-hari terakhir sebelum tiba 1 Ramadan.

Sebuah iklan yang menarik perhatian penulis menawarkan menu berbuka puasa dengan lebih 150 jenis masakan Melayu asli dan masakan antarabangsa.

Harga promosi berbuka puasa dibahagikan kepada minggu pertama dan keempat sekitar RM70 untuk orang dewasa dan RM35 untuk kanak-kanak serta warga emas. Harga untuk minggu kedua dan ketiga, masing-masing RM80 untuk orang dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak dan warga emas.

Sebuah hotel di utara tanah air mengiklankan promosi berbuka puasa dengan pelbagai juadah tradisional serta pencuci mulut pada harga sekitar RM30 hingga RM50 di samping promosi bersahur untuk mereka yang menginap di hotel itu pada harga sekitar RM20 hingga RM32.

Dalam soal bufet Ramadan ini, masyarakat pengguna Islam perlu mengutamakan isu halal.

Selidik dahulu sama ada premis hotel yang menawarkan promosi bufet Ramadan itu mempunyai sijil perakuan dan penandaan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

BAZAR RAMADAN

Umat Islam di negara ini bukan sahaja berdepan dengan godaan bufet Ramadan.

Bazar Ramadan yang sinonim dengan kedatangan bulan untuk orang Islam berpuasa ini turut menjadi medan berbelanja sakan.

Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, bazar Ramadan muncul di sana-sini dengan menawarkan pelbagai juadah yang mungkin sukar untuk ditemui jika bukan bulan puasa.

Selera utara, selera pantai timur, selera barat, selera Arab, selera Minang dan pelbagai lagi menggamit nafsu mereka yang mendatangani bazar Ramadan.

Akhir kalam, bagi mereka yang ke bazar ini, pulangnya nanti dengan berbungkus-bungkus makanan di kiri dan kanan tangan.

Ini tidak termasuk pelbagai jenis minuman berais yang disediakan dalam pelbagai warna dan rasa di samping air kelapa dan tebu!

Cumanya nanti, banyak mana yang dimakan, mana pula yang disimpan di dalam peti sejuk dan mana pula yang dibakulsampahkan?

Penulis teringat laporan dalam media awal Jun lepas yang antaranya menyebut rakyat Malaysia membuang 15,000 tan makanan sehari!

Di Kuala Lumpur sahaja, sisa makanan yang dibuang sehari kira-kira 3,000 tan sementara di Pulau Pinang sahaja, sekitar 355 tan!

Pengguna Islam perlu juga berhati-hati bukan sahaja dari segi pembaziran malahan dari segi kawalan penyakit terutama diabetes atau kencing manis.

Sikap seperti ini perlu berdasarkan jangkaan Malaysia akan mempunyai bilangan pesakit kencing manis paling tinggi di Asia Tenggara dalam tempoh empat tahun akan datang.

Kajian Persatuan Diabetes Malaysia dan Majlis Pencegahan Obesiti tahun lepas seperti yang disiar oleh media tempatan menunjukkan bilangan pesakit kencing manis di negara ini dijangka meningkat kepada 3.6 juta dalam tempoh empat tahun ini berbanding 2.6 juta pada 2012.  

Pesakit kencing manis juga sering dikaitkan dengan risiko buta, strok serta kegagalan jantung dan buah pinggang.

Antara faktor menyebabkan diabetes ialah pengambilan gula yang berlebihan. Ini bukan sahaja melibatkan gula pasir halus.

Orang ramai mungkin mengambil gula yang banyak tanpa disedari apabila memakan roti, aiskrim, cokelat, pastri, pai dan kuih-muih.

Sepotong kuih boleh mengandungi setengah sudu teh gula! Penulis dimaklumkan perkara ini ketika mewawancara seorang pakar makanan tempatan sedikit masa dahulu.

MASAK SENDIRI

Bagi penjawat awam Mona Nor, Ramadan bukan bulan untuk berbelanja sakan. Dia juga memberitahu tidak ada makanan luar masuk ke dalam rumahnya sepanjang bulan puasa itu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, ibu kepada empat orang anak ini yang berusia antara 22 tahun dan 11 tahun ini sudah menyediakan menu untuk sepanjang Ramadan dengan nasi adalah sajian utama.

Meskipun menu yang sama dihidangkan untuk keluarganya sepanjang hari pada bulan Ramadan sejak beberapa tahun lepas, Mona memberitahu penulis, anaknya sentiasa menunggu kedatangan Ramadan untuk menikmati masakan ibu mereka.

"Menu hujung minggu yang paling mereka suka," Mona memberitahu penulis sambil memberitahu antara masakan hari Sabtu ialah sup tulang dan sambal ikan sementara hari Ahad, mereka akan disajikan dengan rendang kerang dan lala masak lemak.

Menu harian lain termasuk kari kepala ikan, ikan masak asam tumis, masak lemak ketam dan sambal bilis petai.

Menurut Mona yang berasal dari Perak, setiap minggu beliau akan membelanjakan sekitar RM200 untuk membeli barangan keperluan dapur termasuk bahan kering.

Mungkin ramai para isteri serta ibu yang berbuat seperti Mona. Ini bukan sahaja boleh menjimatkan perbelanjaan tetapi memastikan hanya makanan yang berkualiti dihidang untuk ahli keluarga.

Tambahan penggunaan gula, garam serta serbuk perasa yang ringkasnya dikenali sebagai MSG yang berlebihan sering dikaitkan dengan makanan yang diproses atau dijual.

JALAN TAR

Antara tempat di metropolitan Kuala Lumpur yang mesti dikunjungi untuk membeli-belah hari raya ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman atau ringkas Jalan TAR.

Jalan TAR ini dimaklumi sentiasa sibuk dan akan menjadi semakin sibuk menjelang Ramadan dan hari raya.

Penulis yang berkunjung ke kawasan ini pada suatu petang Sabtu dua minggu sebelum Ramadan bermula terpaksa "berlanggar bahu" ketika menyusuri lorong-lorong yang dipenuhi dengan gerai menjual pelbagai barangan.

Cahaya matahari, yang terik membakar, seakan tidak mematahkan semangat untuk orang ramai terus membanjiri Jalan TAR, sama ada untuk berbelanja, menjamu selera atau setakat mencuci mata!

Baju kurung, baju Melayu untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta tudung pelbagai warna, corak dan bentuk antara yang menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu membuat persediaan awal hari raya.

Penulis teringat sewaktu berkunjung ke Bangunan Mara di Jalan Raja Laut pada awal Mei lepas. Ada dua kedai jahit meletakkan papan notis di depan kedai, tidak lagi menerima tempahan.

Apabila penulis berkongsi maklumat ini, seorang rakan sepejabat mencelah dia membuat tempahan pakaian hari raya untuk anaknya sejak dari awal dan sudah pun disiapkan April lagi!

Dalam banyak deretan gerai di Jalan TAR ini, sudah ada juga mereka yang menjual kuih atau biskut raya di samping perhiasan rumah.

Bagi mereka yang mungkin tidak mahu bersusah-payah "bermandi tepung", membuat kuih raya sendiri, membeli "kuih tunjuk" ini sudah memadai meskipun rasanya mungkin tidak sesedap yang dihasilkan sendiri.

Senario kuih raya ini juga sudah dapat dilihat di pasar raya. Alamatnya kalau membeli sekarang bila tiba 1 Syawal yang tinggal mungkin cuma botol atau bekas kosong sahaja.

BARANGAN MENCUKUPI

Meskipun belum dilaporkan berlaku, musim perayaan juga sering dikaitkan dengan kekurangan bekalan barangan keperluan.

Barangan keperluan yang sering menjadi sasaran peniaga 'penyangak' yang mahu mengambil keuntungan ialah gula dan minyak masak.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan kenyataan memberi jaminan bekalan barangan makanan terkawal sepanjang Ramadan.

Pihak berkenaan juga akan memantau peniaga bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.

Mungkin sudah ada dalam fikiran pengguna untuk membeli lebih kerana bimbang bekalan akan berkurangan pada musim perayaan.

Dalam hal ini, pembeli boleh membantu dengan berbelanja secara berhemat dan membeli pada kuantiti yang diperlukan sahaja.

Peganglah kepada saranan yang sering dilontar bahawa Ramadan adalah bulan untuk beribadat bukan untuk melayan nafsu.

Kawal nafsu nescaya anda bukan sahaja boleh mengawal bajet dan perbelanjaan tetapi yang paling penting mengurangkan risiko dibebani penyakit! 

No comments:

Post a Comment