Tarikan hidangan ikan patin sama ada daripada spesies patin liar atau sangkar dari sungai itu sentiasa menggamit kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri ke daerah ini untuk menjamu selera.
Ekoran sambutan dan permintaan tinggi daripada pelanggan, maka tidak hairanlah kebanyakan kedai serta restoran di daerah ini menyajikan juadah berasaskan ikan patin khususnya masak tempoyak.
Pemilik Restoran Claypot Patin Tempoyak, Rabiah Haron, 56, mencipta kelainan dalam hidangan berasaskan ikan patin dengan menyajikan masakan di dalam mangkuk tanah liat (claypot).
Menurut Rabiah, patin tempoyak yang dihidangkan di dalam claypot itu bukan sahaja mempunyai rasa istimewa, malah kuahnya sentiasa panas.
Katanya, resipi yang diwarisi turun-temurun itu memberikan kelebihan kepada restorannya. Katanya, menu itu bukan sahaja mempunyai kelainan, malah memenuhi cita rasa penggemar ikan sungai tersebut.
“Alhamdulillah, idea daripada anak saya untuk menggunakan claypot dalam masakan ini mendapat sambutan menggalakkan. Menerusi hidangan ini, ikan patin akan disediakan setengah masak terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam claypot,” katanya.
Rabiah memberitahu, resipi patin masak tempoyak itu menggunakan bahan yang mudah tetapi memerlukan sukatan betul bagi memastikan kelazatannya.
Sehubungan itu, katanya, setakat ini hanya dua tukang masak termasuk dirinya melakukan proses memasak ikan berkenaan setiap hari.
Bagi menjamin kesegaran ikan patin berkenaan, dia tidak menyimpannya di dalam peti ais, sebaliknya hanya menggunakan ikan segar yang dibekalkan penjual.
“Saya menggunakan dua jenis tempoyak berkualiti iaitu masam dan manis yang akan dicampur mengikut sukatan tertentu supaya kelazatannya terjamin,'' katanya.
Selain hidangan patin masak tempoyak, restoran itu turut menyediakan pelbagai masakan lain termasuk ikan patin goreng dan nasi ayam.
Rabiah berkata, harga hidangan di restorannya yang dibuka setiap hari dari pukul 10.30 pagi hingga 7 petang adalah berpatutan.
“Kami juga menyediakan khidmat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan atau mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pembantu Pengurus Restoran Claypot Patin Tempoyak, Noradzira Zainuddin di talian 012-9676536