BERSEMPENA bulan Ramadan, ramai yang mengambil kesempatan berpuasa selama sebulan untuk menguruskan badan agar kelihatan cantik dan segak menggayakan baju baru di hari raya.
Selain mengurangkan pemakanan dengan berpuasa, ada yang begitu berazam untuk kurus sehingga sanggup berhempas-pulas di dalam gim dengan melakukan senaman-senaman berat kerana mahu melihat hasil yang drastik.
Menurut pakar pemakanan dan jurulatih persendirian, Kevin Zahri, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk merehatkan badan yang aktif sepanjang tahun dan membolehkan badan memperbaiki semula struktur otot. Namun jika masih mahu bersenam nasihatnya, lakukan senaman yang betul pada waktu tertentu.
“Waktu terbaik untuk membakar lemak adalah dalam tempoh satu jam sebelum berbuka dengan senaman intensiti rendah iaitu kadar degupan jantung tidak melebihi 65 peratus kadar maksimum seperti joging secara perlahan atau berjalan pantas mengikut kemampuan individu.
“Untuk memastikan anda berada dalam lingkungan 65 peratus kadar degupan jantung, pastikan ketika melakukan senaman, anda masih boleh bercakap dengan rakan di sebelah tanpa tercungap-cungap.
“Saya tidak menggalakkan senaman intensiti tinggi seperti HIIT, Tabata, competitive sports, atau kardio intensiti tinggi dalam keadaan berpuasa kerana senaman intensiti tinggi tanpa air sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan pelbagai risiko kecederaan, pengsan, dan serangan jantung,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi perkongsian Let’s Talk Constipation anjuran Dulcolax di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jika masih mahukan senaman berat seperti HIIT atau angkat berat, Kevin menegaskan ia hanya boleh dilakukan selepas waktu berbuka. Nasihatnya, pastikan anda hanya mengambil makanan dan minuman yang mudah hadam, elakkan makanan pepejal, jangan makan banyak sangat dan tunggu dalam 10-20 minit sebelum memulakan senaman.
“Kalau anda berpuasa dengan makanan yang agak berat, anda boleh lakukan HIIT atau angkat berat dalam 60 hingga 90 minit selepas berbuka,” terangnya.
Tambahnya, ibadah sunat Solat Tarawih adalah senaman paling mudah boleh dilakukan bagi mereka yang berpuasa, kerana ia boleh membakar kalori dari 200 hingga 300 kcal bergantung kepada durasi dan suhu masjid atau surau. Namun tegasnya objektif utama bersolat tarawih bukanlah sebagai aktiviti kecergasan.
Di samping dapat mengumpul pahala, ibadat tersebut tetap membantu kesihatan jasmani dan rohani lebih-lebih lagi jika anda berjalan kaki ke masjid.
No comments:
Post a Comment