SELARI dengan nama restoran, Paranoid Kitchen, begitulah juga apa yang digambarkan atas keputusan empat anak muda ini untuk membuka restoran mereka sendiri di SS15, Subang Jaya, Selangor.
Datang dari latar belakang yang tiada kaitan dengan bidang masakan, ia tidak sesekali mematahkan semangat dan minat Mohamad Fazrin Mohamad Fauzi, Abdullah Fikri Julaihi, Zainal Amir Ahmad dan Zulkifli Hashim daripada memiliki restoran idaman mereka.
Cerita Fazrin, dia dan Fikri yang bekerja dalam bidang binaan bangunan berkongsi minat yang mendalam terhadap bidang masakan. Atas dasar perkongsian minat tersebut, mereka berdua membuat keputusan yang boleh dikatakan “gila” pada ramai yang mendengarnya. Apatah lagi meninggalkan pekerjaan yang menjanjikan masa depan yang stabil dan memilih untuk melalui cabaran dalam bidang perniagaan makanan.
“Kami bermula daripada kosong. Daripada olahan resipi, binaan ruang dapur hingga ke perabot dan rekaan dalam restoran yang berkonsepkan rustic turut dibuat sendiri supaya dapat menepati cita rasa kami. Tempoh beberapa bulan diambil untuk persediaan 2membuka Paranoid Kitchen dan yang paling ditekankan adalah penghasilan resipi kami.
“Pengalaman Fikri yang pernah bekerja di dapur hotel digunakan sebaik-baik mungkin menjadikan menu di Paranoid Kitchen setara dengan rasa di hotel namun pada harga yang berpatutan,” ujar Fazrin yang merupakan seorang jurutera bertauliah.
Menyediakan pelbagai masakan Barat yang diberi sedikit sentuhan tempatan bersesuaian dengan cita rasa pelanggan, pasukan di dapur Paranoid Kitchen layak diberi pujian atas resipi yang diolah mereka kerana keunikan rasanya yang tersendiri.
Menu-menu standard masakan Barat seperti chicken chop, lamb chop, pasta dan burger antara 19 hidangan yang terdapat di Paranoid Kitchen, namun ketelitian mereka dalam pengolahan resipi menyerlahkan rasa dan tekstur setiap hidangan.
Paranoid Chicken Chop mungkin kelihatan seperti kebanyakan hidangan chicken chop di tempat lain. Namun yang menyerlahkan lagi rasanya adalah adunan tepung, garam, serbuk lada dan rempah-ratus lain yang dirahsiakan resipinya membuatkan ia begitu rangup pada bahagian salutannya walau dibiar lama.
Hidangan ayam panggang Paranoid pula terserlah dengan penggunaan pelbagai herba dalam sebatian perapannya seperti rosemary, serbuk bawang putih, oregano, dicampurkan sedikit paprika dan sentuhan madu untuk memberikan rasa manis semula jadi.
Jangan terkejut jika memesan Lamb Chop Paranoid kerana saiznya yang besar amat berbaloi dengan harganya. Dilumur dengan rempah-ratus untuk tempoh yang sekejap sahaja bagi mengekalkan kesegaran rasa bebiri itu, rasanya lengkap dengan pilihan sos yang disediakan.
Pelbagai hidangan burger turut menarik perhatian. Dengan harga bermula RM6.50, anda boleh menikmati hidangan burger dengan patty daging yang tebal dan memuaskan khas dari dapur Paranoid Kitchen.
Bahagian daging yang dicincang terlebih dahulu digabungkan dengan garam dan serbuk lada serta sedikit madu bagi mengikat patty daging tersebut sebelum dibakar.
Setiap hidangan dijual dengan harga yang berpatutan untuk kelas restoran tersebut atas tujuan menarik minat pelanggan muda terutama golongan pelajar.
Merancang untuk menyediakan makanan tengah hari pula bermula bulan Disember ini, ujar Fazrin, Paranoid Kitchen dalam masa yang sama turut menjalankan perniagaan perabot daripada kayu palet.
Paranoid
No. 51-G, Jalan SS15/4c,Subang Jaya, Selangor.
Tel: 03-56125475
Instagram: @paranoidkitchen
Facebook: www.facebook.com/paranoidkitchenss15
Waktu operasi: 5 petang hingga 2 pagi.
No comments:
Post a Comment