BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, November 29, 2015

G MAN CORNER: KELAPA PELBAGAI PERISA & ROTI BAKAR-AU2 KERAMAT

Apa istimewa roti bakar arang?

MEMPERTARUHKAN menu air kelapa pelbagai perisa dan roti bakar arang, sebuah gerai kecil terletak di Jalan 23/56 AU2, Keramat, di sini nyata menawarkan kelainan yang mungkin sukar ditemui di ibu kota.
Beroperasi bermula jam 1 petang hingga 10 malam, G Man Corner yang diusahakan oleh pasangan suami isteri ini menawarkan sekurang-kurang enam perisa berbeza air kelapa bagi memenuhi citarasa pelanggan.
Pemilik gerai, Azman Mohd Som, 43, berkata, air kelapa madu, laici, gula merah, soda dan lemon merupakan antara perisa yang boleh dipilih pelanggan.
“Air kelapa biasa juga kami jual, namun paling digemari pelanggan adalah perisa lemon dan madu. Air kelapa ini dijual dengan harga RM4 hingga RM5.
“Kira-kira 150 biji kelapa boleh habis jika hari panas dan bekalan kelapa saya ambil terus dari Kuala Selangor,” katanya.
Selain air kelapa, roti bakar arang menjadi satu lagi tarikan utama gerai G Man Corner dan dijual dengan harga RM4.50.
“Memang susah nak cari di Kuala Lumpur. Saya bakar roti dengan arang dan dihidangkan dengan dua biji telur separuh masak,” katanya kepada Sinar Harian.
Azman yang sebelum ini bertugas sebagai jurukamera produksi belakang tabir berkata, G Man Corner beroperasi sejak 2013 dengan hanya berbumbungkan payung.
“Lama-kelamaan saya fikir gerai perlu dibina dengan lebih kemas, jadi kami buat sikit demi sikit.
“Saya ada hasrat mahu kembangkan perniagaan ini dengan buka beberapa cawangan terutamanya untuk menu roti bakar arang,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Saida Maria Said, 40, berkata, dari masa ke semasa mereka cuba mempelbagaikan menu digerai untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
“Terbaru kami juga tawarkan nasi sotong, udang, dan ayam telur yang dijual dengan harga RM5 ke RM6.
“Khidmat penghantaran juga kami buat jika ada tempahan 10 bungkus ke atas,” katanya.

No comments:

Post a Comment