TERINGIN menikmati keenakan masakan Sundar asli, anda tidak perlu terbang jauh ke Indonesia tetapi boleh berkunjung ke Restoran Bumbu Desa di pusat dagangan I-com Square, Jalan Pending di Kuching, Sarawak.
Bukan hanya masakan, malah restoran ini turut menampilkan suasana seolah-olah anda berada di restoran Sundar di negara jiran itu apabila kehadiran disambut dengan senyuman penyambut tetamu diiringi bau wangian nasi liwet serta alunan muzik tradisional orang Sundar.
Hiasan dalaman restoran ini melambangkan keunikan kehidupan orang sundar yang tidak lari dengan buluh yang berwarna kecoklatan.
Antara keunikan Restoran Bumbu Desa ialah ia menyediakan empat jenis sambal istimewa yang mempunyai tahap kepedasan tertentu.
Sambal Bomba (mengandungi epal) menduduki hieraki tertinggi tahap kepedasan, diikuti sambal Terasi (mengandungi belacan), cabe ijo (mengandungi cili hijau) dan sambal tomat (sambal tomato).
Sambal-sambal ini akan dihidangkan kepada pelanggan bersama dengan ulam-ulaman tanpa had dan mereka boleh menambahnya jika mahu.
Selain itu, hidangan disediakan bagi satu juadah juga dalam kuantiti yang banyak iaitu boleh dinikmati oleh dua hingga tiga orang.
Saiz juadah yang besar ini membolehkan pelanggan lebih daripada dua orang mendapatkan harga makanan dengan lebih murah berbanding jika makan di restoran makanan laut.
Kira-kira 20 juadah terdiri daripada pelbagai jenis lauk-pauk masakan Sundar disediakan untuk pilihan pelanggan dan mereka boleh cuba merasainya dahulu sebelum mengambil hidangan.
Pelanggan hanya perlu memilih hidangan dan memberitahu nombor meja untuk makanan dihidangkan kemudian.
Tidak sampai beberapa minit, juadah mereka akan dihidangkan di atas meja. Juadah bagi 10 orang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk disediakan termasuk juadah ‘ala carte’.
Antara juadah paling mendapat sambutan di restoran ini ialah ayam bakar kicap, ikan terbang, cumi bakar, kulit ayam, iga bakar (tulung rusuk lembu), daging dendeng dan sup buntut (sup ekor asli sundar).
Menurut pemilik restoran, Abang Adib Izzaniq Abang Iskandar, 23, sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada orang ramai terdiri pelbagai kaum meskipun restorannya baru beroperasi pada 12 Jun lalu.
“Konsep restoran ini ialah masakan Sundar asli yang mengekalkan keasliannya dari semua sudut bermula daripada layanan sehinggalah masakan.
“Kami juga mementingkan layanan bagi memastikan para pelanggan yang datang mendapat layanan baik dan cepat. Ketika ini, kita mempunyai 30 kakitangan bagi menjalankan operasi restoran,” katanya kepada wartawan S2 baru-baru ini.
Abang Adib memberitahu, bahan-bahan digunakan dalam masakan juga dijaga kualiti dengan membeli terus daripada pembekal daging lembu dan ayam yang halal serta dijamin bersih.
Menurutnya, restoran terbabit boleh menempatkan 120 pelanggan dalam satu masa iaitu 80 orang di dalam dan 40 orang di bahagian ruang terbuka di luar yang mempunyai kerusi unik yang rendah bagi membolehkan anda duduk bersantai.
Selain menawarkan hidangan biasa, katanya, pelanggan juga boleh membuat tempahan bagi majlis hari jadi dan keraian. Bagi menyambut hari jadi, pihaknya menyediakan sekali pemuzik dalam kalangan kakitangan yang akan bermain gitar dan memainkan lagu selamat hari jadi.
“Kejayaan membuka restoran ini adalah hasil sokongan dan dorongan ibu bapa saya. Insya-Allah... saya bakal membuka cawangan Restoran Bumbu Desa di pusat beli-belah CityOne di sini pada November depan.
“Ikutilah laman Facebook Bumbu Cabe iaitu www.facebook.com/Bmbucabe bagi mengetahui sebarang promosi dan memberikan maklum balas tentang restoran kami,” ujarnya.
Mengakhiri pertemuan, beliau mengingatkan agar orang ramai yang mahu merasai keenakan masakan Sundar asli ini agar membuat tempahan terlebih dahulu supaya tidak dikecewakan kerana bimbang meja dipenuhi pelanggan.
Pembetulan nama resto:BUMBU CABE
ReplyDelete(Bumbu desa adalah resto lain dan tidak ada persamaan dari pemilik ataupun konsep,rasa dan servis)
Pembetulan nama resto:BUMBU CABE
ReplyDelete(Bumbu desa adalah resto lain dan tidak ada persamaan dari pemilik ataupun konsep,rasa dan servis)