Laksa, laksam, nasi dagang, nasi kerabu dan nasi tumpang, antara yang diminati ramai. Begitu juga kuih-muih yang unik seperti jala mas, buah tanjung dan akok yang agak sukar untuk ditemukan di tempat lain.
Salah satu masakan yang menjadi kegemaran ramai ialah laksa Kelantan kuah santan yang dicampur dengan isi ikan dan lada hitam. Aromanya pasti membuka selera para penggemarnya. Justeru itu, Restoran Maheran Laksa yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Tesco Kota Bharu menjadi lokasi terbaik untuk menikmati hidangan tersebut.
Keenakan kuah dan keaslian laksanya dengan menggunakan resipi warisan keluarga serta campuran sambal daging atau serunding dan telur tentu sekali menggamit selera pengunjung termasuk beberapa selebriti terkenal seperti Wak Doyok dan Amee kumpulan Forteen.
Pemilik Restoran Maheran Laksa, Maheran Muhammad, 49, yang mesra dengan panggilan Kak Ree berkata, perniagaan laksa itu bermula pada tahun 1984 yang diasaskan oleh ibunya dan bertapak di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Menurutnya, pada masa itu, dia sudah membantu ibunya mengusahakan perniagaan tersebut dan laksa ibunya cukup terkenal dengan jualan sebanyak 1,000 sehingga 1,500 kilogram sehari.
Tambahnya, selepas mewarisi perniagaan itu pada tahun 1999, dia telah melebarkan sayap perniagaan dengan membuka sebuah restoran dan dibantu oleh suaminya, Mat Nasharuddin Mokhtar, 49.
“Alhamdulillah, perniagaan kami dapat sambutan yang amat baik daripada orang ramai. Ekoran sambutan baik itu, kami buka cawangan Restoran Maheran Laksa di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
“Saya amat menitikberatkan pembuatan laksa yang menggunakan beras asli dan kuah yang enak daripada ikan-ikan segar serta, santan berkualiti supaya kelazatannya terjamin,” katanya kepada S2 baru-baru ini.
Menurut Maheran, restorannya menawarkan harga berpatutan iaitu laksa biasa berharga RM3.50 dan laksa ‘special’ RM5.
Katanya, selain hidangan laksa, restorannya turut menyediakan pelbagai masakan panas.
Tambahnya, restoran yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menyediakan khidmat tempahan untuk majlis-majlis keramaian.
“Bagi yang berada di sekitar Puchong, Kuala Lumpur boleh mendapatkan laksa kami di pasar malam Putra Perdana manakala di Kajang, di pasar malam Taman Delima,” ujarnya.
Orang ramai yang berminat membuat tempahan atau maklumat lanjut boleh menghubungi Kak Ree di talian 013-9952900 atau Mohd. Nazwan (013-2982828).