Hal ini terjadi kerana lebih separuh daripada pesakit diabetes ini tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya sehinggalah penyakit tersebut berada di tahap teruk.
Begitupun, sekiranya dikesan awal, risiko pemotongan kaki boleh dielakkan dan pesakit mampu menjalani kehidupan secara lebih sihat.
Menurut Pendidik Kanan Diabetes Institut Jantung Negara (IJN), Siah Guan Jian, penyakit diabetes dan kesakitan kaki saling berkait rapat.
Katanya, ini kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf khususnya di bahagian kaki dan tangan.
“Bagi pesakit diabetes, mereka akan merasai denyutan atau kebas pada tangan, betis atau kaki.

“Ini dikenali sebagai neurpoati dan akan berlaku secara perlahan dan mengambil masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf terutamanya pada bahagian kaki dan tangan.
“Apabila ini terjadi kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari dan keadaan neuropati boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan,” ujarnya ketika ditemui pada forum Kencing Manis dan Kaki Anda di IJN, baru-baru ini.
Diabetis adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa.
Keadaan ini berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.
Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan.
Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita dan secara amnya seseorang dianggap menghidap penyakit diabetes apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap tujuh atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Guan Jian menjelaskan, kerosakan sistem saraf kaki bagi pesakit kencing manis akan menyebabkan pesakit ini kehilangan keupayaan mengesan sentuhan, kesakitan, perubahan suhu, dan perubahan pada sendi kaki sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah.
Oleh yang demikian, Guan Jian menasihatkan pesakit diabetes terutamanya daripada kalangan kronik memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penjagaan dan kebersihan kaki, sebagaimana anggota-anggota lain seperti mata, jantung, buah pinggang, dan kulit.
Pada masa yang sama, beliau turut menyarankan agar pesakit diabetes memeriksa celah-celah jari kaki dan tapak kaki sekurang-kurangnya sekali sehari, iaitu sebelum tidur untuk memastikan tahap kebersihan dan tiada luka atau kecederaan pada tempat-tempat yang dinyatakan tadi.
Dalam pada itu, Guan Jian memberitahu, memotong kaki atau bahagian yang luka bukan satu jalan penyelesaian kepada pesakit diabetis.
Tuturnya lanjut, sekiranya doktor memutuskan untuk melakukannya, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum melakukan rawatan alternatif lain.
“Rawatan mencuci dan membersihkan luka ini hendaklah dilakukan oleh mereka yang berkemahiran seperti jururawat atau mereka yang berpengalaman dan biasa mengendalikan luka pesakit diabetes.

“Ini kerana bagi pesakit diabetes, mereka tidak digalakkan untuk merendamkan kaki dan cukuplah sekadar membersihkannya seperti biasa.
“Sekiranya luka yang kecil segera dirawat dan dibersihkan, tentu sekali luka tersebut dapat disembuhkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan luka tersebut,” tegasnya.
Memberitahu dengan lebih terperinci, Guan Jian berkata, dari segi perubatan moden, penyakit diabetis ini tidak dapat diubati tetapi boleh dikawal.
Untuk itu, pesakit digalak menggunakan pelembap semasa mengurut kaki dan dinasihatkan tidak menyapu pelembap di bahagian celah-celah jari kaki.
Mereka juga tidak digalakkan berkuku kaki panjang dan memotong kuku kaki secara lurus.
Bagi pemilihan kasut pula, pesakit digalakkan membeli atau memakai kasut yang bertutup sepenuhnya dan bahagian depannya lebar supaya kaki tidak terhimpit.

Pada masa yang sama, kasut yang dibeli juga haruslah mempunyai ruang sekurang-kurangnya satu sentimeter di bahagian hadapan untuk membolehkan kaki ‘bernafas’.
“Bagi pesakit diabetes, pemilihan kasut adalah amat penting dalam usaha menjaga kesihatan kaki masing-masing.
“Untuk itu mereka dinasihatkan membeli kasut pada waktu petang di mana pada masa ini kaki akan kembang sepenuhnya setelah melakukan aktiviti.
“Pesakit juga diingatkan mengukur saiz untuk kedua-dua belah kaki, selain jangan memakai kasut sepanjang hari dan pakailah kasut secara perlahan-lahan,” katanya.