KITA perlu menyasarkan dalam lima hingga 10 peratus penurunan berat badan bergantung kepada berat badan sedia ada. Ujar Nurul Aziah, secara amnya, mungkin dalam tempoh tiga bulan pertama. penurunan berat badan yang selamat adalah dua hingga empat kilogram dalam tempoh sebulan.
Tegas beliau, dalam mengurangkan berat badan, sasaran perlulah realistik. Sasaran yang terlalu drastik akan membuatkan kita sukar untuk patuh kerana apa yang paling penting ialah menjaga momentum yang berterusan.
“Ramai yang putus asa kerana cara yang tidak betul dan ia boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil rebound membuatkan kita makan dalam jumlah yang lebih tinggi daripada sebelum ini.
“Lagipun, tidak digalakkan turun terlampau cepat kerana selalunya apabila turun berat badan secara drastik, bukan lemak yang hilang sebaliknya adalah air kerana lemak mengambil masa yang lama untuk hilang.
“Keadaan ini akan menyebabkan penyahidratan lalu mengundang pelbagai penyakit berkaitan. Air merupakan antara asas yang penting dalam sistem badan seseorang dan pastikan pengambilan air putih sebanyak 1.5 hingga 2.5 liter setiap hari.
“Untuk melihat sama ada berlaku penyahidratan atau tidak, perhatikan air kencing, jika ia jernih maka menunjukkan jumlah air mencukupi dan jika pekat ia adalah sebaliknya. Tanda lain termasuk dahaga, sembelit, sakit kepala dan penat,” terangnya.
Tambah Nurul Aziah, antara prinsip penting lain, jangan lupa untuk makan setiap kali waktu makan kerana ia akan membuatkan kita semakin lapar. Tegasnya, sarapan pagi merupakan hidangan paling penting untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan dan saiz hidangan perlu semakin kecil apabila petang.
Mengulas tentang pelbagai jenis diet yang wujud, ujar Nurul Aziah, tidak dinafikan ramai yang memilih pelan diet yang memberikan kesan penurunan berat badan yang drastik kerana mahu mengejar matlamat namun mereka perlu maklum tentang kebaikan dan keburukan cara pemakanan tersebut.
“Sebagai seorang pakar diet, tiada istilah makanan yang baik dan makanan yang buruk, cuma ada diet yang baik dan diet yang buruk. Selagi kita ikut cara makan dalam piramid makanan, kita boleh makan semua yang kita mahu cuma perlu tahu jumlah makanan yang sesuai,” terangnya.
Diet Yang Tidak Berkesan
1. Diet satu jenis makanan
Diet ini diamalkan dengan mengambil sejenis makanan sahaja tanpa had. Ia tidak seimbang dan tidak dapat membekalkan nutrisi lengkap yang diperlukan untuk keperluan badan.
2. Diet rendah karbohidrat tinggi protein
Diet ini boleh menurunkan berat badan tapi ada kesan jangka masa panjang yang boleh mendatangkan mudarat iaitu:
a) Penurunan berat badan pada peringkat awal adalah lebih kepada kehilangan air di dalam badan (kesan diuretik).
b) Diet tinggi protein berkemungkinan meningkatkan pengambilan lemak dan kolesterol. Ini mungkin meningkatkan risiko untuk penyakit kardiovaskular dan kanser.
c) Diet ini adalah kurang dari segi kanji dan serat. Ia boleh mendatangkan risiko sembelit.
3. Diet Sangat Rendah Kalori (menggunakan formula yang dibancuh dengan air)
Diet ini mungkin berkesan untuk satu jangka masa yang pendek tetapi ia tidak boleh dilaksanakan untuk jangka masa panjang kerana ia membosankan dan tidak seperti rutin harian makanan biasa. Ia mungkin boleh menyebabkan rasa lesu, lemah, sembelit, mual dan perlu pemantauan doktor atau pakar dietetik sekiranya ingin dilakukan pada tempoh masa yang sekejap.
Secara amnya, diet yang mempromosikan ‘makanan magik’, kadar penurunan berat badan yang terlalu banyak dalam masa yang singkat dan penggunaan produk yang harus diambil bersama, tiada senaman diperlukan adalah jenis diet yang tidak selamat untuk dipraktikkan.
Bersenam
Tidak lengkap perjalanan mengurangkan berat badan jika tidak disertakan senaman secara berkala. Selain membuatkan individu sihat dan cergas, ia amat membantu proses mengurangkan berat badan.
Sekurang-kurangnya lakukan senaman selama 30 hingga 45 minit untuk tiga kali seminggu dan pastikan mencapai 10,000 langkah sehari. Sekali lagi Nurul Aziah menegaskan tidak susah untuk memastikan senaman tersebut dicapai dengan penggunaan aplikasi telefon pintar dan gajet yang boleh merekodkan segala aktiviti.
“Jika di pejabat, cuba mencari masa untuk bersenam dengan banyakkan berjalan, menaiki tangga, elakkan menggunakan lif dan letak kereta jauh sedikit dari pejabat.
“Pastikan ada kepelbagaian aktiviti untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kecergasan kendiri serta dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Keseimbangan dalam aktiviti fizikal adalah penting untuk tujuan kesihatan seperti senaman kardio, kekuatan otot dan fleksibiliti untuk menjadikan kita lebih bertenaga dan sihat.
“Selain itu, keserderhanaan dalam senaman adalah penting bagi memastikan senaman adalah mengikut kemampuan badan individu dan tidak memudaratkan sekiranya terlalu kuat dan berat,” terangnya.
Diet DNA
Pelbagai jenis pelan diet mengurangkan berat badan yang muncul selain cara mengira kalori. Terbaru, satu kajian dijalankan yang bakal membuatkan mereka yang berdepan dengan masalah menguruskan berat badan kembali bersemangat iaitu diet DNA.
Kajian yang disiarkan dalam journal Obesity itu merupakan diet genom khusus, alternatif untuk mereka yang mahu mengurangkan berat badan pada tahun 2020, menurut penyelidik Institut Kesihatan Kebangsaan AS.
Saintis mengelarkan teknik tersebut sebagai pengurangan berat badan yang tepat dan efektif. Kajian tersebut melibatkan pemahaman kaitan gen dan obesiti serta gabungan diet dan senaman khas menurut struktur unik DNA setiap individu.
Ujian analisis genetik dan data perubahan berat badan serta kajian genomik dilakukan dalam mencari kaitan antara obesiti dan gen. Mereka telah mengenal pasti beberapa gen yang dapat dikaitkan dengan obesiti tetapi masih belum mengetahui bagaimana ia memberi kesan kepada badan.
Bagaimanapun, saintis menyatakan tang diet DNA tidak akan menyebabkan seseorang itu turun berat badan dengan automatik. Senaman masing memainkan peranan penting dalam memastikan penurunan berat badan yang efektif.
No comments:
Post a Comment