Memasuki ruang Restoran Cozy Place ini, pengunjung akan terpukau dengan konsep dekorasinya yang bertemakan English Tudor. Lampu cimni dan hiasan-hiasan yang mengelilinginya seumpama ruang tamu di sebuah rumah tradisional di Eropah
Apabila hiasan sudah menarik, hidangan yang disediakan juga sudah tentu mampu memukau cita rasa.
Restoran yang dibangunkan sekitar tahun 2008 ini boleh memuatkan kira-kira 150 pengunjung pada satu-satu masa.
Bukan sahaja dikunjungi sebagai restoran untuk menjamu selera, Cozy Place juga boleh disewa untuk pelbagai majlis seperti hari jadi, keraian rakan dan kenduri kecil.
Disediakan ruang yang selesa dengan lampu-lampu malap, merupakan satu kelebihan restoran ini yang sesuai dikunjungi mereka yang berkeluarga atau sedang berteman.
Tenang, tidak bingit, romantik, selesa dan nyaman menjadikan restoran ini sangat popular dalam kalangan penduduk berdekatan.
Menurut Mohd. Lutfi Yussof, 40, yang merupakan rakan kongsi perniagaan restoran berkenaan bersama Peter How, Cozy Place dibina dengan konsep sebegitu rupa hanya untuk menyediakan yang terbaik kepada setiap pelanggan yang datang.
“Apa sahaja cita rasa anda, disediakan di restoran ini yang berkonsepkan sajian Mediteranean, Continental dan makanan tempatan. Pendek kata sekiranya anda inginkan makanan yang bercorak Barat dan cita rasa Asia, boleh mendapatnya di sini.
“Pelanggan suka dengan hidangan chicken salted kami yang rangup dan sedap. Bukan itu sahaja, restoran ini turut menyediakan sambal udang petai, daging masak halia bawang besar, kailan masak bawang putih, udang segar mi wantan dan sebagainya,” jelasnya.
Dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 10 malam, harga-harga hidangannya juga adalah berpatutan dan serendah RM8.00 ke atas sahaja.
Begitupun sekiranya anda mahu mencuba pelbagai variasi kek yang terhidang di dalam almari kaca, boleh memilihnya sebagai hidangan pencuci mulut mahupun hanya makan begitu sahaja di waktu petang bersama secawan kopi.
“Restoran ini adalah halal dan menyediakan hanya barangan yang halal dan kami tidak menghidangkan alkohol.
“Di sini anda boleh makan pelbagai jenis hidangan sama seperti makan di restoran mewah lain dengan harga yang lebih rendah,” katanya.
Restoran ini yang terletak di Jalan Wangsa Delima 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, menyajikan makanan yang disediakan oleh chef tempatan dengan layanan yang mesra daripada pelayan restoran. Bersandarkan tagline, Your Favourite Family Restaurant, Cosy Place boleh dilayari di Facebook cosy place.
No comments:
Post a Comment