SPAGETI ikan masin dan spageti gulai lemak udang, antara sajian Barat yang ‘dikacukkan’ untuk memenuhi selera masyarakat setempat.
Bukan sahaja sajian yang cukup enak untuk dinikmati seisi keluarga, malah mempunyai keistimewaan dalam kategorinya tersendiri.
Tidak akan menyesal atau berasa rugi sekiranya anda memesan sepinggan spageti ikan masin mahupun spageti gulai lemak udang, kerana kedua-dua sajian ini juga menjadi pilihan pengunjung di Kopimeo.
Memilih untuk menawarkan masakan-masakan Barat kepada pengunjung, pasangan suami isteri, Meor Azlan Che Saffry, 37, dan Ili Bazlina Razmi, 33, bagaimanapun membuat keputusan untuk memberikan kelainan dalam menu-menu sajian di kafe mereka.
Mengakui membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke atas semua menu yang ditawarkan, menurut Meor Azlan, ini bertujuan memberikan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya.
“Jika dilihat pada menu, memang kami menawarkan sajian masakan Barat kepada pengunjung, tetapi ada sesetengah menu kami olah mengikut cita rasa masyarakat tempatan.
“Ini kerana, tidak semua pelanggan gemar dengan masakan Barat jadi apa yang kami lakukan ialah gabungkan masakan Barat dengan masakan kampung.
“Sudah pasti apa yang kami lakukan ini terlebih dahulu kami buat kajian agar ‘kacukan’ yang kami lakukan sesuai dan enak untuk dinikmati dan rasanya tidak pelik,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 29, Jalan Tengku Ampuan Zabedah B 9/B, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Menjelaskan apa yang dilakukan mereka adalah disebabkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan berkaitan makanan, pasangan ini jelas gembira dengan perniagaan kafe yang diusahakan sejak April tahun lalu.
Bosan dengan pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, baik Meor Azlan mahupun Ili, kedua-duanya sepakat untuk bergelar usahawan.
Menggabungkan minat masing-masing dalam satu bidang di bawah satu bumbung, jelas Meor Azlan lagi, isterinya seorang yang suka memasak sementara dia pula seorang penggemar kopi.
Daripada minat masing-masing, tercetus idea untuk membuka sebuah kafe yang menawarkan masakan Barat dan minuman berasaskan kopi.
“Di Kopimeo, kami turut menawarkan pelbagai minuman berasaskan kopi seperti latte ais, matcha latte teh hijau ais, dan mocha panas.
“Masakan pula pelanggan boleh memilih untuk menikmati makanan laut pedas arrabbiata, sriracha dan ayam madu bbq, salisbury stack, churros, dan banyak lagi.
“Berlakunya gabungan antara masakan Barat dan masakan kampung ini adalah disebabkan saya penggemar masakan kampung tetapi pada masa yang sama ingin menjadikan masakan Barat sebagai menu utama di kafe ini,” kata Meor Azlan lagi.
Memberi pujian kepada bapa mentuanya, Ramzi Chik, untuk resipi spageti ikan masin, dia berkata, kafenya dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.
Katanya lagi, buat masa ini Kopimeo boleh memuatkan seramai 35 pengunjung pada satu-satu masa.
Sentiasa berada di kafe dan turut sama membantu pekerja-pekerjanya, Meor Azlan kini dalam perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan.
Selain membuka cawangan melalui konsep francais, dia dan isteri ingin menawarkan perkhidmatan katering pada masa hadapan.
Menyediakan hanya hidangan yang segar, dia memberitahu, setiap masakan hanya akan dimasak apabila tempahan diterima.
No comments:
Post a Comment