SEBAIK sahaja melangkah masuk ke Warung Bistro, selera makan pasti terbuka melihatkan pelbagai makanan yang disajikan. Perut yang lapar akan meminta segera diisi dengan masakan-masakan kampung yang ada di antaranya sudah agak jarang ditemui di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur ini.
Tidak dilengkapi dengan pendingin hawa atau dekorasi canggih ala hipster seperti trend kebanyakan restoran baharu sekarang, Warung Bistro hanya perlu bersandarkan kepada sajian-sajian enak yang memenuhi selera bagi menggamit hati pengunjung.
Dengan sajian makanan lebih 15 jenis, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan ‘nasi campur’ mengikut cita rasa masing-masing.
Menurut pemiliknya, Latifah Omar, restoran tersebut merupakan perniagaan pertama yang diusahakan sejak 1999, malah tidak pernah cuba untuk makan gaji sebaik menamatkan pengajian peringkat sarjana.
Mula berniaga dengan menjual makanan ringan, akhirnya pada 2012 dia mengambil keputusan membuka restoran yang menawarkan pelbagai sajian masakan kampung.
Apabila ditanya mengapa tidak mendapatkan pekerjaan setimpal dengan pendidikan yang diperoleh, ujar ibu kepada empat cahaya mata ini, dia lebih selesa bekerja sendiri tanpa perlu dan tidak berminat makan gaji.
“Perniagaan saya bermula pada 1999 dengan menjual makanan ringan hinggalah tahun 2002 saya membuat keputusan untuk menjual pelbagai aneka sup, nasi ayam, dan nasi campur.
“Antara tahun 2002 hingga 2006 perniagaan makanan yang diusahakan ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ sebab kurangnya promosi dan keadaan kedai ketika itu agak kecil.
“Begitupun saya tidak berputus asa.Pada 2012 saya mengambil keputusan untuk menjenamakan semula perniagaan dan menukar menu kepada sajian kampung,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 2, Jalan 14/144A, Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.
Menyedari masakan kampung mempunyai daya tarikan serta keistimewaannya yang tersendiri, Latifah membuat ‘ujikaji’ sendiri bagi setiap menu untuk mendapatkan yang terbaik.
Akhirnya wanita berusia 51 tahun ini tampil dengan senarai sajian masakan kampung yang enak, yang digilir setiap hari agar pengunjung tidak berasa jemu.
Restoran yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 4 petang itu bukan sahaja menyediakan hidangan tengah hari, malah sarapan pagi seperti nasi lemak, makanan bergoreng, bakso, dan bubur nasi.
Tetapi untuk hari Sabtu dan Ahad, Latifah memilih untuk menyajikan sarapan pagi dengan masakan Barat seperti sup cendawan dan pelbagai hidangan berasaskan spageti.
Antara masakan kampung yang menjadi menu wajib setiap hari di Warung Bistro, ialah siput sedut masak lemak (bergantung kepada bahan mentah), daging salai masak lemak mangga, ikan keli masak bercili, gulai kawah, ayam kalio, pecal, daging, ayam dan ikan bakar, kerabu mangga, kerabu perut, ikan keli masak hijau, ikan keli goreng, serta pelbagai jenis ulam-ulaman segar.
Sajian lain, nasi ayam dan bakso dijual pada harga RM3.50, selain pelbagai aneka sup pula hanya RM3.
Bukan itu sahaja, nasi lemak dan juga air panas dijual pada harga RM1 dan sudah pasti segala-galanya dimasak segar pada hari jualan serta bahan-bahan yang digunakan juga adalah segar.
Dibantu seramai 15 pekerja dan dua orang tukang masak, restoran tersebut akan memulakan operasi memasak seawal 6 pagi setiap hari.
Menyedari persaingan yang begitu sengit dalam perniagaan berasaskan makanan, anak kelahiran Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor ini, memberitahu, dia tidak hanya bergantung dengan pendapatan harian Warung Bistro.
Latifah melangkah setapak ke hadapan apabila menawarkan perkhidmatan katering untuk pelbagai jenis majlis dan perkhidmatan penghantaran makanan setiap hari (Isnin hingga Jumaat).
“Berniaga hari ini bukan macam dahulu kerana hari ini cakap apa jua perniagaan persaingan pasti ada. Untuk itu Warung Bistro tidak ketinggalan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dengan menawarkan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis.
“Pada masa yang sama kami turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan harian sama ada untuk makan tengah hari atau malam.
“Menu-menu yang ditawarkan sudah semestinya masakan kampung dan kepada mereka yang menggemari masakan kampung bolehlah mencuba masakan di Warung Bistro,” katanya lanjut.
No comments:
Post a Comment