PUTRAJAYA 5 Jan. - Malaysia sedang mengkaji kemungkinan menjual tenaga elektrik ke negara jiran Singapura atas inisiatif swasta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perkara tersebut dibangkitkan pada Sesi Pemukiman Malaysia-Singapura di sini hari ini yang menyaksikan pertemuan antara Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Menurut Najib, beliau yakin sektor swasta di Malaysia dan Singapura akan menggerakkan rangka kerja penjualan elektrik itu termasuk dari segi penetapan harga.
''Saya tidak nampak sebarang kesulitan dalam hal ini,'' katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Hsien Loong yang turut dihadiri beberapa barisan menteri Kabinet kedua-dua negara.
Terdahulu Najib dan Hsien Loong mengadakan mesyuarat empat mata dan menghadiri mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia dan Singapura.
Satu majlis pertukaran dokumen di antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings berhubung M+S Pte. Ltd. dan Pulau Indah Sdn. Bhd. turut berlangsung selepas selesai mesyuarat dua hala.
Najib, Hsien Loong dan delegasi dari kedua-dua negara kemudiannya diberi penerangan mengenai model Urban Wellness and Resort Wellness di Iskandar Malaysia.
Hsien Loong dalam reaksi balasnya berkata, Singapura amat terbuka kepada cadangan itu dengan mengambil kira perkara-perkara seperti kewajaran terma dan kesan projek itu ke atas alam sekitar.
Beliau berkata, kerajaannya sedang menyediakan rangka kerja yang sesuai berhubung perkara berkenaan.
''Sebaik sahaja siap, para kontraktor Malaysia akan dipelawa menyertai dan membida projek itu," katanya.
Menyifatkan pertemuan hari ini sebagai produktif dan berhasil, Najib turut menghuraikan beberapa kerjasama baru yang sedang diatur di Iskandar Malaysia termasuk cadangan menyediakan perkhidmatan teksi air dan feri antara Tuas dan Pelabuhan Puteri.
Dalam reaksi balas kepada ucapan Najib, Hsien Loong membangkitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menubuhkan kumpulan kerja baru berkaitan kerjasama industri di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri.
Kumpulan kerja itu akan mempromosikan aktiviti-aktiviti ekonomi berkembar yang mampu dimanfaatkan penduduk di kedua-dua negara bagi merangsang pertumbuhan di Iskandar Malaysia.
Hsien Loong turut menarik perhatian mengenai sektor perkilangan yang menurut beliau mampu diperluaskan di Iskandar. Katanya, Singapura menghadapi kekangan kawasan dan sumber manusia, justeru terdapat pelaburan negara asing untuk bidang tersebut di republik itu tidak dapat dilangsungkan.
Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik jika pelaburan seumpama itu dapat dipindahkan ke Iskandar menerusi mekanisme tertentu yang limpahan manfaatnya dapat dinikmati rakyat kedua-dua negara terutama dari sudut pembangunan hartanah, pendidikan dan hospital.
''Iskandar Malaysia boleh menyediakan kemudahan infrastruktur dan perindustrian bagi projek pembesaran syarikat Singapura atau projek yang mahu memasuki Singapura tetapi tidak dapat ditampung di sana. Kita boleh bekerjasama," katanya.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut ditanya sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan masalah ekonomi global memberi kesan kepada Iskandar Malaysia.
Najib berkata, tidak terdapat sebarang petunjuk perkembangan projek tersebut semakin perlahan.
Katanya, projek itu akan disiapkan mengikut jadual walau pun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.
''Pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual," katanya.
Menurut Najib, keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.
Sementara itu, Hsien Loong berkata, Iskandar Malaysia adalah satu projek jangka panjang dan ia tidak boleh diukur berasaskan prestasi suku tahun ke suku tahun.
Dengan nada amat positif, katanya, ekonomi Singapura masih mencatatkan prestasi yang positif dan perkara yang mesti diberi perhatian adalah kerjasama antara semua pihak mesti diteruskan.
No comments:
Post a Comment