SEREMBAN 24 Jan. - Sasaran kerajaan agar rakyat di negara ini memakan ikan air tawar mendorong sebuah syarikat, Tilapia House Sdn. Bhd. (Tilapia House) yang beribu pejabat di sini memasarkan ikan tilapia bermutu tinggi kepada orang ramai.
Bagi menjayakan wawasan itu juga, syarikat itu mengetengahkan konsep pasar kering moden dikenali sebagai Tilapia Market yang sudah dibuka di bandar ini sejak Jun tahun lalu dan Bandar Puteri Puchong pada Oktober tahun lalu.
Pengarah Urusannya, Mufadzir Huzaireen Datuk Mazlan berkata, idea memasarkan ikan air tawar tercetus apabila kerajaan menyatakan hasrat mahu meningkat pemakanan ikan jenis itu di kalangan rakyat.
Beliau berkata, secara purata seorang individu di negara ini hanya memakan lima kilogram ikan air tawar setahun berbanding 46 kilogram ikan laut.
“Kami memilih untuk memasarkan ikan tilapia hitam kerana ia kaya dengan protein dan kalori rendah.
“Ikan kami bermutu tinggi kerana ia diternak di Tasik Temenggor, Perak oleh Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) menggunakan kaedah dan kepakaran teknologi dari Norway yang berpengalaman luas dalam penternakan ikan tilapia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, ikan tersebut dijual dalam bentuk kepingan isi ikan tanpa tulang dengan pembungkusan berkualiti tinggi iaitu pek kedap udara bagi mengekalkan kesegaran produk berkenaan.
Tambahnya, produk itu mempunyai Sijil Kualiti Ikan (FQC) dan Sistem Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP).
Mufadzir berkata, ia ditawarkan dalam dua saiz iaitu 330 gram dan 850 gram dengan harga masing-masing bermula pada RM8.90 hingga RM20.90
“Sejak beroperasi, setiap cawangan Tilapia Market mampu menjual antara 1.5 tan hingga dua tan produk tersebut sebulan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Tilapia House, Affandi Ab. Latif berkata, Tilapia House juga dilantik sebagai agen pemasaran tempatan ikan tersebut oleh Trapia Malaysia.
Katanya, setiap hari pusat penternakan ikan di Tasik Temenggor mengeluarkan 17 tan ikan tilapia yang mana 80 peratus daripadanya dieksport ke luar negara kebanyakannya ke Amerika Syarikat.
Jelasnya, baki 20 peratus dipasarkan dalam negara sama ada secara pukal kepada hotel, restoran dan katering manakala jualan runcit dilakukan melalui Tilapia Market.
No comments:
Post a Comment