BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, April 27, 2012

PENDUDUK PENGERANG TIDAK AKAN DIABAIKAN

Model projek terminal penyimpanan petroleum yang dibangunkan oleh syarikat Dialog sdn. bhd. di Pengerang yang dijangka siap pada 2014..
KOTA TINGGI – Kerajaan Negeri semalam memberi jaminan tidak akan mengabaikan kebajikan dan juga kesejahteraan penduduk di Pengerang berikutan pembangunan projek Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas di Pengerang, di sini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penglibatan penduduk dalam projek pembangunan tersebut adalah sangat penting.

“Kerajaan akan sentiasa prihatin terhadap pandangan rakyat terhadap perlaksanaan projek ini. Kita akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membendung dan mengatasi segala masalah yang dikenal pasti berhubung perlaksanaan projek ini.

“Proses penilaian bagi pembayaran pampasan dan kemudahan lain kepada penduduk setempat yang terlibat sudah pun dimulakan.

“Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif memelihara persekitaran, selari memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis pecah tanah projek Terminal Laut Dalam Bebas Pengerang di Tanjung Kapal Resort, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Dialog Group Bhd Ngau Boon Keat; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong; dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim.

Menurutnya, pembangunan tersebut adalah inisiatif bermakna kerana bakal mencetuskan banyak kegiatan ekonomi di Timur Johor.

“Inilah pembangunan paling terancang dan berstrategi yang julung kali dilaksanakan, selain bakal merubah wajah Pengerang serta kawasan berdekatan.

“Projek ini akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada rakyat setempat. Ia juga bakal meningkatkan taraf hidup rakyat dengan wujudnya peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Beliau turut berharap agar penduduk dapat merebut peluang yang sedia ada, selain memberikan sokongan padu untuk memastikan pembangunan tersebut mencapai matlamat dan seterusnya berjaya.

No comments:

Post a Comment