BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, April 20, 2012

SEMBELIHAN GUNA ARUS ELEKTRIK DIBENARKAN


UTUSAN MALAYSIA 19/4/2012
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD


ARUS kemodenan teknologi dunia telah merubah kehidupan manusia dalam segala aspek. Bermula dengan inovasi peralatan canggih dan moden hinggalah melibatkan seluruh gaya hidup manusia.
Transformasi modenisasi bukan sahaja semakin memudahkan urusan harian manusia, malah memberikan hasil yang lebih baik, pantas dan memuaskan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Justeru, tidak ketinggalan kemajuan teknologi turut mempengaruhi pelaksanaan ibadah umat Islam untuk diaplikasikan dalam menyempurnakan sesetengah perintah berdasarkan syariat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan isu halal.
Cuba bayangkan, bagaimana seorang peniaga ayam ingin melakukan penyembelihan dalam kuantiti yang banyak untuk dipasarkan dan menampung permintaan ramai.
Jika dahulu, proses penyembelihan memerlukan sebilangan tenaga yang banyak dan kuat untuk menyembelih haiwan ternakan tersebut supaya dapat dilakukan berlandaskan hukum syarak dan halal dimakan.
Adakah bersesuaian dengan masa kini untuk mengekalkan kaedah dulu untuk melakukan proses penyembelihan dalam kuantiti yang banyak tersebut.
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Azman Mohd. Nor berkata, Islam tidak menghalang umatnya untuk mengikuti perkembangan teknologi dalam amal ibadah selagi tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan.
"Oleh itu, menggunakan arus aliran elektrik dalam proses penyembelihan dibolehkan dan disahkan halal oleh majlis rundingan Fatwa Kebangsaan dan kebanyakan negara yang dihuni oleh masyarakat Islam.
"Bagaimanapun, terdapat syarat yang mengehadkan penggunaan aliran elektrik tersebut. Ia hendaklah digunakan sekadar untuk melemahkan haiwan sembelihan tersebut dengan menggunakan arus yang paling minimum," katanya.
Dr. Azman berkata demikian mengulas kekeliruan orang ramai mengenai status halal haiwan sembelihan menggunakan kaedah konvensional yang dilakukan kebanyakan peniaga untuk memudahkan proses penyembelihan.
Bagaimanapun katanya, jika haiwan sembelihan didapati telah mati akibat arus elektrik tersebut, maka haram dimakan dan tidak sah penyembelihan tersebut.
"Status halal yang ditetapkan oleh rundingan majlis fatwa ini juga setelah mengambil kira semua aspek. Ia hanya dibenarkan dengan tujuan melemahkan haiwan tersebut supaya mudah untuk disembelih dan bukan tujuan untuk menyeksa.
"Jika haiwan sembelihan itu didapati mati disebabkan arus elektrik tersebut sebelum disembelih, maka ia haram dimakan. Begitu juga hal yang sama sekiranya haiwan itu tidak disembelih menepati dengan syariat Islam," katanya.
Dr. Azman merupakan salah seorang panel pembentangan dalam Forum Halal Sedunia 2012 (WHF) bertajuk 'Halal dan Tayyib' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Manakala dua ahli panel lain ialah, Pengerusi Akademi Darul Jailani Kebangsaan, Iraq, Shaykh Afeefuddin al-Jailani dan Pengarah Jabatan IFTA, Kementerian Hal Ehwal Islam, Kuwait, Shaykh Turki Isa Al-Mutairi.
Forum selama dua hari bermula 2 dan 3 April lalu itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut dihadiri Pengasas dan pengarah forum, Jumaatun Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI), Darhim Dali Hashim.
Seramai 520 perwakilan daripada 32 buah negara mengambil bahagian dalam forum tersebut bagi menjadi landasan untuk membincangkan industri halal bertaraf dunia yang dianggarkan bernilai USD2 trilion.
Dr. Azman berkata, bagi memastikan industri halal negara terjamin status halal dan tayyiba, maka pegawai agama atau seorang pemantau Islam perlu ditempatkan di setiap pusat penyembelihan seperti yang telah dilaksanakan di Malaysia.
"Ini penting bagi memastikan penyembelih haiwan tersebut adalah muslim dan proses penyembelihan dilakukan bertepatan dengan tuntutan syariat," katanya.
Sementara itu, Shaykh Turki Isa berkata, campuran kandungan yang haram di dalam kandungan halal akan menjejaskan keseluruhan status halal kandungan tersebut walaupun dalam kuantiti yang sikit.
"Jika campuran tersebut dalam bentuk cecair, maka haram sama sekali diminum atau digunakan, manakala jika barang itu dalam bentuk pepejal, ia boleh digunakan dengan syarat mengasingkan antara elemen yang haram dan halalnya," katanya.
Tambahnya, Islam turut tidak menggalakkan menggunakan alkohol (sumber haram) untuk membunuh atau menyingkirkan bakteria dalam makanan.
Ini kerana menurutnya, ia dikhuatiri boleh menyebabkan unsur tidak halal terlekat atau tidak dipisahkan pada makanan tersebut.
Dalam pada itu, Shaykh Afeefuddin berkata, makanan yang tidak halal atau daripada sumber yang haram boleh menjauhkan diri seseorang Muslim itu dengan tuhannya serta mendorong kepada perbuatan yang negatif.
"Makanan yang haram atau datang daripada sumber yang tidak halal akan masuk ke dalam anggota badan manusia dan akan menjadi darah daging. Ini akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan menjadikan pelaku tersebut semakin lupa kepada tuhannya lalu melakukan perbuatan yang tidak baik.
"Manakala makanan daripada sumber yang halal dan tayyib pula dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT sekali gus mendorongnya melakukan amalan soleh," katanya.

No comments:

Post a Comment