BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, March 17, 2014

CITILINK TERBANG JB-SURABAYA

NUSAJAYA 16 Mac - Syarikat penerbangan tambang rendah milik Garuda Indonesia, Citilink yakin Johor berpotensi dijadikan hab transit dalam usaha mengembangkan operasi syarikat itu ke negara lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, M. Arif Wibowo berkata, kedudukan Johor yang strategik antara lain diyakini mampu menjadi platform kepada Citilink untuk memperhebatkan lagi operasi mereka di rantau ini.
Menurutnya, Johor dipilih menjadi perintis syarikat itu untuk meneroka bukan sahaja pasaran di Malaysia seperti ke Kuala Lumpur, malah ke destinasi antarabangsa lain seperti China dan negara Asia Tenggara.
“Citilink sudah memulakan penerbangan terus antarabangsa pertama dari Surabaya ke Johor Bahru bermula semalam dengan kekerapan penerbangan tujuh kali seminggu, sekali gus diyakini merancakkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Syarikat ini juga sedang berusaha untuk mengembangkan operasi dan diharap dengan penambahan pesawat tidak lama lagi dapat mempelbagaikan laluan ke tempat lain," katanya semasa ditemui pada Majlis Sambutan Delegasi Citilink, Ejen Pelancongan dan Media Surabaya Sempena Pengenalan Laluan Surabaya-Johor Bahru yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, di sini hari ini.
M. Arif berkata, Citilink kini beroperasi dengan 22 pesawat Airbus 320 dan dijangka menambah lagi pesawat milik syarikat penerbangan tambang rendah itu kepada 70 hingga 80 buah pesawat sama dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, Siew Kiong berkata, dengan penambahan syarikat penerbangan tambang rendah di negeri ini termasuk Citilink, beliau percaya kemasukan pelancong asing terutamanya dari Indonesia akan meningkat sehingga 20 peratus.
“Mengikut statistik Jabatan Imigresen, kedatangan rakyat Indonesia ke Johor pada tahun lalu adalah seramai 2.16 juta dan kita menjangkakan bakal berlaku peningkatan pada tahun ini.
“Kita yakin peningkatan itu dapat direalisasikan ekoran pelbagai tawaran produk pelancongan sedia ada di Johor seperti Legoland Malaysia, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan produk pelancongan perubatan," katanya.

No comments:

Post a Comment