Aroma nasi beriani dengan lauk beriani kambing menusuk hidung. Ditambah dengan acar timun mentah, dalca sayuran serta ayam masak merah memang cukup membuka selera. Di sudut lain terdapat hidangan laksa Johor dengan ulam kacang panjang, tauge, timun, daun kesum ditambah kuah pekat dan sambal belacan. Air bandung soda menambah selera.
Memang tidak tahu nak pilih yang mana satu! Semuanya sedap.
Menurut pemilik Kafe Cerita Kambing Endau Beriani Caterer yang terletak di Tingkat 1, Anggerik Mall, Shah Alam, pasangan Chef Zakaria Latip dan Nor Aziah Md Dahari, dua hidangan ini antara yang paling awal habis selain hidangan lain.
“Kami buka kafe seawal pukul 11 pagi dan biasanya pada 2 petang kedua-dua hidangan ini telah habis dijual walaupun kafe ditutup jam 4 petang.
“Mulanya kami menghidangkan laksa Johor pada hari tertentu tetapi disebabkan terdapat banyak permintaan kami mengambil keputusan menyediakannya setiap hari,” kata Chef Zakaria semasa ditemui di restorannya baru-baru ini.
Chef Zakaria yang mewarisi resipi turun temurun daripada keluarganya dan masih mengekalkannya sehingga ke hari ini menyebabkan nasi beriani resipi istimewa dari Endau, Johor itu hanya memilih ramuan berkualiti dan menggunakan keenakan beras basmathi.
“Di sini rasa nasi beriani memang kami kekalkan kerana telah menjadi identiti kami dan sebagai langkah mengekalkan resipi yang diwarisi turun temurun sejak.
“Keaslian rasa itulah yang menjadikan keenakan nasi beriani kami terus meniti dari mulut ke mulut. Saya lebih selesa dengan cara begitu kerana benar-benar dinikmati dengan ikhlas,” ujarnya.
Walaupun kafe berkenaan baru dibuka awal tahun ini, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan ditambah dengan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
Chef Zakaria berkata, selain kafe mereka juga sedia menerima tempahan katering untuk pelbagai majlis seperti perkahwinan, pertunangan, majlis keluarga dan korporat serta akikah dan doa selamat.
Kafe Cerita Kambing Endau Beriani Katering juga menyediakan makanan secara bufet di majlis-majlis keraian seperti perkahwinan yang dilengkapi pakej kanopi, pelamin, hiasan dan hidangan meja pengantin termasuk hidangan VVIP.
No comments:
Post a Comment