Pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie mengorak langkah baharu apabila memilih untuk terjun ke bidang makanan dan minuman (F&B) dengan membuka restoran yang memfokuskan kepada hidangan Indonesia.
Mempunyai susur galur keturunan Menado, Jovian membawakan hidangan asli masyarakat itu ke Malaysia dan mahu pelanggan ‘mencabar’ deria rasa mereka kerana masakan Manado terkenal dengan hidangannya yang pedas.
Kata Jovian, nama ROA diambil bersempena dengan nama ikan Roa yang hanya boleh ditemui di Menado.
Kebiasaannya, hidangan ikan Roa disediakan dengan cara digoreng dan dicampurkan dengan cili, bawang merah serta bawang putih sebagai bahan utama.
“Mengambil inspirasi daripada kegemaran masyarakat di sana, saya mengaplikasikan kepada keseluruhan menu di ROA dengan menyediakan menu dengan ramuan serta bahan-bahan segar berasaskan selera masakan Menado yang berempah pedas dan menyelerakan.
“Resipi ROA diperturunkan oleh nenek saya sendiri yang sememangnya gemar memasak. Apabila pelanggan mengatakan hidangan di sini pedas bayangkan resipi asalnya adalah tiga kali ganda lebih pedas.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh menyamakan selera Menado dengan orang di sini, jadi saya mengolah kembali agar hidangan Menado dapat diterima dan walaupun pedas, ramai yang menggemarinya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran restoran ROA cawangan kedua di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, pelanggan boleh meminta jika mahu dikurangkan pedas dalam setiap masakan yang dipesan.
Meskipun usia restoran pertama miliknya di Seksyen 7, Shah Alam baru sahaja memasuki bulan ke enam, namun dia bersyukur maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sehinggalah dia membuka cawangan kedua untuk memenuhi permintaan daripada warga kota sekitar Kuala Lumpur.
Ucapan ‘selamat bakudapa’ atau ‘selamat datang’ daripada Jovian menyambut kedatangan pengunjung.
Dijemput untuk merasai sendiri hidangan tersebut, saya dihidangkan dengan pelbagai masakan daripada pembuka selera sehinggalah kepada pencuci mulut dari negara seberang itu yang tidak pernah dicuba sebelum ini.
Bermula dengan bubur Manado, hidangan yang sangat terkenal dalam kalangan masyarakat di sana, dilihat secara luaran sama tetapi setelah dicuba terdapat kelainan dari segi rasa.
Bubur nasi telah dicampur bersama sayur-sayuran seperti bawang, kacang panjang, bayam, kangkung, serta jagung manis bersama pelengkapnya sambal pedas.
Sebagai pembuka selera, saya dihidangkan pula dengan mie cakalang. Sup jernih yang dihidangkan bersama mi telur, hirisan ayam, dan pelbagai rempah Menado membangkitkan rasa menyelerakan.
Hidangan utama menyusul dengan sajian sos Roa , begedel jagung, ayam rica-rica, kuah asam ikan marlin, udang tuturaga, sapi bumbu sate garo, sayur campur dan ikan bawal bakar.
Ujar Jovian, ayam rica-rica mendapat sambutan yang menggalakkan. Rasanya seperti ayam masak pedas, namun kelainannya terletak pada tekstur ayam yang lembut serta sambal pedas yang diadun bersama resipi istimewa.
“Mereka yang tidak gemarkan masakan pedas boleh mencuba kuah asam marlin. Bunyinya agak ganjil tetapi sebenarnya marlin adalah ikan yang dipotong kecil-kecil bersama tomato dan daun kesum. Menu kuah asam ini amat menyihatkan kerana turut menggunakan herba-herba Indonesia sebagai pelengkap resipi,” katanya yang ditemani isteri, Nina Ismail.
Tat kelapa dan teh sere dingin dihidangkan sebagai pencuci mulut. Selepas menikmati hidangan pedas, kombinasi dua sajian ini berjaya melengkapkan menu Menado penulis pada malam itu.
Melihat kepada dekorasi restoran, Jovian begitu teliti dengan pemilihan tema pada restoran yang sudah dirancangnya sejak tahun 2011 lagi.
Mahu pelanggan yang datang menjamu selera dapat menikmati suasana yang begitu tenang dan mendamaikan, sentuhan klasik dan vintaj pada keseluruhan restoran membangkitkan aura sofistikated yang cuba diterjemahkan Jovian.
Pilihan warna coklat muda, krim, dan sawo matang bersama lampu suram menampilkan suasana mewah dan memberi kesan dramatik pada ruang makan. Selain dinding yang dihias pelbagai poster vintaj, susunan meja makan dan kerusi juga kemas.
Restoran yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 malam setiap hari itu juga menerima tempahan untuk majlis keramaian.
No comments:
Post a Comment